Edited by Vellfire at 15-2-2025 02:38 PM

Kakitangan BDA dan beberapa pihak yang terlibat dalam kerja-kerja pembersihan di kawasan penempatan penduduk pascabanjir.
BINTULU: Kerja berpasukan, berdedikasi dan kolektif dalam usaha pembersihan pascabanjir di kawasan penempatan penduduk telah menjadikan kerja keseluruhan dapat dilakukan dengan lancar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang berterima kasih kepada semua agensi yang mengambil bahagian atas sokongan dan kerjasama dalam proses pembersihan pascabanjir di sini.
"Kita perlu teruskan usaha bersama ini dan terima kasih kepada semua unit kerana bekerjasama untuk terus memulih rumah penduduk yang bermasalah dengan sampah," katanya di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dalam kenyataannya memaklumkan setakat jam 5 petang Khamis, sebanyak 40 kawasan telah selesai dibersihkan dengan lima kawasan lagi dalam perancangan.
Katanya, sebanyak 25 lori dan 13 jentera digunakan dalam operasi itu menerusi kerjasama BDA dengan agensi LCM, Kemena Holdings, Hyup Soon, PS, Golden Transport, Fully, YH Enterprise dan PTTEP.
"Jentera pembersihan jalan juga digunakan di 37 kawasan iaitu 19 kawasan telah dibersih oleh BDA, Yong Yu Resources Sdn Bhd membersih 12 kawasan dan Seni Bumi Contractor membersih enam kawasan," jelasnya.
Selain itu katanya, sebanyak 1,414 trip lori telah menghantar sampah pascabanjir ke tapak pelupusan sampah di Segan.
Manakala, 60 lokasi pula telah menjalani langkah kawalan penyakit melibatkan pengasapan di 20 lokasi, pembunuhan larva (20 lokasi) dan disinfeksi (20 lokasi).
Kerja-kerja pembersihan dilakukan menggunakan jentera.
Pada masa sama katanya, gotong-royong pascabanjir di Bintulu itu melibatkan kakitangan BDA dari pelbagai bahagian, seksyen dan unit yang turun padang membantu membersihkan kawasan yang terjejas.
"Kerjasama dan semangat gotong-royong ini benar-benar membuktikan betapa kuatnya ikatan kita sebagai satu komuniti," katanya sambil turut berterima kasih kepada penduduk setempat yang tidak putus-putus memberikan sokongan dan tenaga serta semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung.
Katanya, usaha dan pengorbanan semua sangat dihargai dan penduduk akan terus bersatu serta bangkit bersama untuk menjadikan Bintulu yang lebih baik.
|