![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250215/sbw-ub150225-wz-bantuan-p1.jpg)
Keadaan SK Nanga Selangau yang dilanda banjir besar baru-baru ini.
SIBU: Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Selangau baru-baru ini dilanda bencana banjir yang membawa kesan buruk terhadap fasiliti dan peralatan sekolah, sekali gus dikhuatiri menjejaskan sesi persekolahan yang bakal bermula minggu depan.
Dalam usaha memulihkan keadaan dan meneruskan kelancaran sesi pembelajaran, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah merayu agar ada pihak yang prihatin tampil menghulurkan bantuan kewangan dan sumbangan bagi membantu sekolah tersebut.
Timbalan Yang Dipertua PIBG SK Nanga Selangau Catherine Sada dalam kenyataannya melalui laman Facebook berkata, banjir besar yang melanda kawasan itu telah menyebabkan kerosakan yang sangat serius terhadap pelbagai peralatan sekolah, sekali gus bakal menjejaskan pengajaran dan pembelajaran.
"Kami memerlukan bantuan segera untuk menggantikan peralatan yang rosak dan membaik pulih kemudahan yang terjejas, agar murid-murid dapat kembali meneruskan pembelajaran dengan selesa," ujarnya.
PIBG SK Nanga Selangau berharap agar sumbangan daripada individu atau pihak yang mampu dapat meringankan beban dan membantu memulihkan suasana pembelajaran di sekolah tersebut.
Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun PIBG di Agrobank (Bank Pertanian Malaysia) dengan nombor akaun 2001771001446735.
Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Yang Dipertua PIBG Thomas John di talian 012-8813147 atau Catherine Sada (014-9983407).
|