Akademi Al Bayan santuni 650 asnaf sempena Ramadan
Amirul Azman - Februari 28, 2025 @ 5:26pm

Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan sedang memberi ceramah kepada sebahagian penerima bantuan asnaf sempena kedatangan Ramadan. - FOTO Akademi Al Bayan
PULAU PINANG: Seramai 650 orang asnaf termasuk 100 mualaf menerima bantuan pek asnaf bersempena Bengkel Kesempurnaan Solat dan Penyampaian Bantuan Zakat.
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mohamad Abdul Hamid berkata program seperti itu dapat meringankan beban golongan asnaf dan mualaf di negeri ini.
"Bantuan ini terdiri daripada 250 pek sumbangan zakat yang disalurkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dan 400 pek lagi disumbangkan oleh Pertubuhan Akademi Al Bayan.
"Sumbangan kepada golongan mualaf turut ditaja oleh Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA)," katanya ketika majlis penyampaian bantuan berkenaan yang diadakan di Masjid Al-Qahhar, Permatang Damar Laut di Bayan Lepas, di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Akademi Al Bayan, Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan berkata tahun ini Pulau Pinang menjadi destinasi pertama menerima sumbangan zakat daripada Pertubuhan Akademi Al Bayan, selepas menyampaikan bantuan zakat kepada lebih 3,000 penerima pada tahun lalu.
Sedia peluang pendidikan untuk anak mualaf
Pada masa yang sama, Hadi turut berkongsi perkembangan terbaru mengenai pembinaan kompleks tahfiz anak mualaf pertama di Malaysia yang kini sedang giat dijalankan di Kampung Pegoh, Melaka.
Menurut Hadi, pembinaan akademi tersebut kini sudah mencapai hampir 70 peratus siap dan dijangka boleh memulakan pengajian pada 2026.
"Kompleks yang dibina di tapak seluas 1.8 hektar ini bakal menelan belanja sebanyak RM16 juta dan akan dilengkapi dengan seni bina yang menggambarkan tiga budaya utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India.
"Matlamat utama akademi ini adalah membangunkan anak-anak mualaf menjadi dai yang berkemampuan untuk menyampaikan dakwah Islam dengan lebih meluas dan berkesan berdasarkan identiti masing-masing," jelasnya.
Beliau turut berkata pengambilan pertama di akademi itu dijangka menyasarkan seramai 100 hingga 150 pelajar yang kebanyakannya terdiri daripada anak-anak mualaf.
Selain itu, 30 peratus daripada pengambilan itu akan terdiri daripada pelajar yang berumur antara 10 hingga 16 tahun.
"Pembinaan kompleks ini diharapkan dapat memberi impak positif dalam pembangunan dakwah Islam, terutamanya dalam kalangan generasi muda mualaf di negara ini.
"Dengan kemajuan pembinaan yang semakin hampir, Akademi Al Bayan diharapkan dapat menjadi pusat pendidikan yang memberi manfaat kepada komuniti mualaf, serta membantu mereka dalam pengembangan ilmu dan kemahiran dakwah," ujarnya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/02/1367005/akademi-al-bayan-santuni-650-asnaf-sempena-ramadan
|