Perubahan reka bentuk dan laluan link ketiga masih dalam kajian - Kon Yeow
MOHD ISKANDAR OTHMAN
28 Februari 2025 02:50pm

Kon Yeow.
GEORGE TOWN – Projek link ketiga hubungan antara bahagian pulau ke tanah besar yang dicadangkan dibina di negeri ini akan dipinda reka bentuk termasuk perubahan laluan bagi mengatasi beberapa isu yang dibangkitkan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan kontraktor projek, Consortium Zenith Construction (CZC) untuk meneruskan kajian kebolehlaksanaan berkaitan perubahan laluan tersebut.
"CZC akan meneruskan kajian kebolehlaksanaan memandangkan syarikat tersebut telah meneliti isu-isu sebelum ini dan mencadangkan perubahan dibuat.
"Sebab masalah sebelum ini ia bertindih dengan pembesaran pelabuhan Pulau Pinang dan penyuraian trafik di Gurney Bay maka syarikat bercadang memperhalusi reka bentuk dan buat pindaan dan perubahan supaya dapat menangani isu-isu terbabit," katanya semasa sidang akhbar di KOMTAR, di sini pada Jumaat.
Kon Yeow bagaimanapun enggan mendedahkan sama ada sambungan link ketiga itu akan kekal sebagai terowong dasar laut yang dicadangkan atau berubah menjadi jambatan.
Katanya, keputusan tersebut akan bergantung kepada hasil kajian yang dijalankan oleh CZC.
"Oleh kerana ada pindaan pada reka bentuk, mereka perlu buat kajian kebolehlaksanaan sama ada pindaan itu baik untuk dilaksanakan atau tidak," katanya.
Ditanya berapa lama tempoh yang diberikan kepada syarikat itu untuk melakukan kajian, Kon Yeow berharap syarikat terbabit boleh kemukakan laporan dalam tempoh beberapa bulan.
Pada Khamis, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas teruk di negeri itu ketika ini masih di peringkat penelitian.
Beliau berkata, kerajaan negeri sedang memperhalusi beberapa perkara antaranya pembesaran pelabuhan North Butterworth Container Terminal (NBCT) yang membabitkan jajaran projek berkenaan.
https://www.sinarharian.com.my/article/715252/edisi/utara/perubahan-reka-bentuk-dan-laluan-link-ketiga-masih-dalam-kajian---kon-yeow
|