Tujuh sekeluarga nyaris maut kenderaan terbabas langgar tiang elektrik
BERNAMA - Mac 2, 2025 @ 1:33pm

Sebuah MPV dinaiki tujuh sekeluarga terbabas sebelum melanggar tiang elektrik di Batu Uban, Pulau Pinang, awal pagi tadi.
GEORGETOWN: Tujuh sekeluarga nyaris maut selepas kereta Toyota Innova dinaiki terbabas ke bahu jalan dan melanggar tiang elektrik dalam kemalangan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di Batu Uban di sini, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohd Shoki Hamzah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu pada 1.56 pagi dan jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak terus ke lokasi kejadian.
"Terdapat tiga mangsa dewasa berusia 20 hingga 40-an tersepit manakala empat kanak-kanak cedera ringan di beberapa bahagian badan.
"Kerja-kerja mengeluarkan dua lelaki dan seorang wanita yang tersepit menggunakan peralatan khas dan sema mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 2.54 pagi sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang tersepit mengalami kecederaan antaranya patah tangan kanan dan cedera di kepala serta perut. – BERNAMA
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/03/1367609/tujuh-sekeluarga-nyaris-maut-kenderaan-terbabas-langgar-tiang-elektrik
|