MBAS larang peniaga asing beroperasi di tapak bazar Ramadan
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Mac 2, 2025 @ 1:14pm [email protected]

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya. - FAIL NSTP/WAN NABIL NASIR.
ALOR SETAR: Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) melarang pembantu atau peniaga asing menjalankan perniagaan di tapak bazar sepanjang Ramadan.
Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Ghafar Yahya, berkata peniaga perlu mematuhi peraturan ditetapkan sepanjang beroperasi mulai hari ini sehingga 30 Mac depan.
Katanya, tindakan penguatkuasaan akan dilakukan sepanjang tempoh operasi Bazar Ramadan dan pemeriksaan meliputi dua aspek iaitu pematuhan syarat lesen dikeluarkan oleh Bahagian Pengurusan Pasar dan Penjaja MBAS.
"Peniaga perlu mempunyai permit sementara bazar, pertukaran nombor tapak tidak dbenarkan, waktu berniaga jam 3 petang hingga 8 malam dan pelesen tidak boleh membuat pindah milik.
"Kompaun dan notis akan dikenakan jika gagal mematuhi syarat lesen manakala kawalan lalu lintas akan dilakukan dengan memberi tumpuan kesesakan seperti berlaku di Bazar Simpang Kuala.
"Bahagian Inspektorat dan Kesihatan MBAS bersama Pejabat Kesihatan Kota Setar akan melakukan pemeriksaan bagi memastikan peniaga dan pembantu mempunyai suntikan tifoid, mengikuti kursus pengendalian makanan, menjalankan pensampelan makanan seperti makanan kerabu, bersantan, berasaskan telur mentah dan kuih-muih dimasak awal," katanya.
Abdul Ghafar berkata, MBAS menganjurkan 15 lokasi Bazar Ramadan tahun ini untuk memberi peluang kepada peniaga beroperasi bermula 2 Mac hingga 30 Mac.
Beliau berkata, sebanyak 942 tapak disediakan untuk perniagaan di bazar Ramadan di bawah seliaan MBAS yang membabitkan makanan dan minuman.
Bagi merancakkan ekonomi di bandar raya ini, katanya, MBAS memperkenal tapak baharu iaitu Bazar Taman Nuri bagi memenuhi permintaan peniaga sekitar selain menswastakan tapak Bazar Stadium kepada Pertubuhan Peladang Kawasan F-IV Sungai Limau.
"Ia terbahagi kepada dua kategori iaitu bazar makanan sebanyak 196 petak bersaiz 10 kaki X 10 kaki manakala tapak pakaian serta barangan hiasan mengekalkan tapak sedia ada sebanyak 76 petak bersaiz 20 kaki X 20 kaki.
"Jumlah keseluruhan 942 tapak makanan dan minuman di 15 lokasi terbabit adalah di Peremba (78), Simpang Kuala (59), Pokok Sena (105), Simpang Empat (47), Medan Selera Darul Aman (44), Kota Sarang Semut (38).
"Selain itu, Media Selera Teratai (25), Tandop (42), Taman Bersatu (42), Kuala Kedah (56), Kawasan Perindustrian Mergong (Lotus Mergong) (21), Mergong Jaya (Radin) (56), Taman Wira Mergong (170), Taman Nuri (97) dan Langgar (62)," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2025/03/1367603/mbas-larang-peniaga-asing-beroperasi-di-tapak-bazar-ramadan
|