300 ayam golek RM1 habis dijual tak sampai sejam
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Mac 2, 2025 @ 5:10pm [email protected]

Orang ramai duduk menunggu giliran untuk membeli ayam golek yang ditawarkan pada harga RM1 seekor, hari ini. - NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI
ALOR SETAR: Sebanyak 300 ayam golek yang ditawarkan oleh sebuah restoran di Jalan Langgar di sini pada harga istimewa cuma RM1 seekor sempena hari pertama Ramadan, hari ini, habis dijual dalam masa tidak sampai sejam.
Pengurus restoran terbabit, Mohamad Amri Mhd Shukri, 29, berkata orang ramai sanggup beratur seawal jam 2 petang tadi untuk mendapatkan tawaran juadah itu walaupun ia hanya dijual mulai jam 3.30 petang.
"Kami menjual ayam bakar RM1 pada hari pertama berpuasa saja sebagai promosi supaya orang ramai ke bazar yang kami buka sendiri di pekarangan restoran sepanjang Ramadan ini.
"Memang tidak disangka nombor giliran akan habis pada jam 2.30 petang walaupun juadah itu hanya boleh dibeli satu jam kemudian
"Malah, ada yang sanggup datang dari jauh termasuk Perlis, untuk mendapatkan ayam golek jualan kami ini tetapi setiap pelanggan dibenarkan membeli seekor saja," katanya ketika ditemui.
Menjelaskan lanjut, Mohamad Amri berkata, ayam golek itu dijual pada harga RM1 berikutan ada individu yang berinfaq, selain bagi tujuan mempromosikan perniagaan mereka.
Beliau berkata, pihaknya bersedia untuk menawarkan harga jualan RM1 lagi jika ada individu yang ingin berinfaq pada bila-bila masa di lokasi sama.
"Kami sudah berniaga Bazar Ramadan di sini sejak tahun lalu tetapi kurang mendapat sambutan ketika itu.
"Alhamdulillah pada Ramadan kali ini, ia mendapat sambutan, malah ada banyak lagi gerai makanan lain yang dibuka di sini," katanya sambil memaklumkan ayam golek itu dijual pada harga RM21 seekor pada hari biasa.
Seperkara menarik, beliau berkata, orang ramai juga dipelawa ke restoran itu pada jam 10 malam esok untuk mendapatkan 300 bungkus nasi lemak percuma untuk sahur.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/03/1367690/300-ayam-golek-rm1-habis-dijual-tak-sampai-sejam
|