View: 26117|Reply: 0
|
Teropong 'burung Borneo'
[Copy link]
|
|
Edited by tatod at 5-3-2025 11:06 PM
Berhampiran pinggir hutan, kelihatan seorang wanita dengan berpakaian samaran hutan sedang khusyuk membidik gambar burung dengan menggunakan kamera DSLR yang dilengkapi dengan lensa telefoto zoom sepanjang m600m.
Biarpun sudah beberapa jam berada di lokasi itu, Intan Syazwani Hazirah Subki, 24, masih setia menunggu burung yang dinantikan-nantikan.
Intan Syazwani bukan setakat menjadikan aktiviti ini sebagai hobi, malah dapat menjana pendapatan apabila dilantik sebagai 'Jr Bird Guide' di Borneo Wild Wings bagi aktiviti melihat burung sejak 2017.
Antara spesies burung yang berjaya ditemui termasuk tujuh dari lapan spesies hornbill Borneo termasuk helmeted hornbill, tujuh spesies burung pitta dan Malaysian honeyguide.
Intan Syazwani berkata, sejak kecil dia sudah didedahkan dengan dunia burung oleh bapanya yang juga jurugambar alam semula jadi.
Cerita Intan Syazwani, bapanya sering membawanya dengan adik-beradik lain mengembara mencari hidupan liar sebagai hobi pada waktu lapang.
"Kebiasaannya saya dan adik-adik menghabiskan waktu berjam-jam dalam meneliti buku panduan hidupan liar dan menghafal ciri-ciri spesies berbeza sebagai persediaan untuk pengembaraan kami yang seterusnya.
"Lama-kelamaan, pengetahuan saya dalam bidang ini berkembang, begitu juga keinginan saya meneroka habitat baharu," katanya.
Menurutnya, apabila meningkat dewasa, minat saya terhadap aktiviti 'bird watching' semakin bertambah.
"Saya kemudian mengambil bahagian dalam perusahaan ayah saya, Borneo Wild Wings sebagai Jr Bird Guide dan membantunya dari segi komunikasi dan pertukaran bahasa dengan pelancong luar kerana kebolehan saya dalam berbahasa Melayu, Mandarin, Inggeris dan Indonesia.
"Selain itu, saya juga membantunya dalam penganjuran lawatan berpandu untuk pelancong dari seluruh dunia yang berminat dengan burung endemik di Borneo terutama 'blue banded pitta,' burung yang sangat sukar ditemui sehingga 'bird watcher' dari pelbagai negara sanggup menaiki pesawat ke Tawau, Sabah semata-mata ingin melihat sendiri burung itu," katanya.
Katanya, sepanjang terbabit dengan aktiviti itu, pelbagai kenangan menarik yang diperoleh termasuk berpeluang melihat keindahan spesies burung yang jarang ditemui.
"Ketika berada di Trusmadi saya dapat melihat banyak haiwan liar lain dan spesies burung yang sukar dijumpai terutama 'bulwest's pheasant' yang sangat cantik berada di depan mata saya secara tiba-tiba.
"Selain itu, ketika berada di Tawau bersama ayah, kami menemui burung 'blue banded pitta' yang sedang berehat sambil bersiul dengan merdu," katanya.
Bagaimanapun, dia mengakui aktiviti 'birding' bukan mudah dan memerlukan minat mendalam kerana perlu berdepan pelbagai cabaran termasuk sifat semula jadi burung yang tidak dapat diramal tingkah lakunya dan pergerakan bermusim mereka.
"Tidak seperti pemerhatian haiwan di zoo atau persekitaran terkawal lain, aktiviti ini berpandukan irama dan tabiat semula jadi burung.
"Lebih-lebih lagi apabila burung mula menunjukkan tingkah laku bersarang dan pembiakan di lokasi berbeza, boleh memberi kesan ketara kepada keterlihatan dan kebolehcapaian mereka kepada pemerhati burung.
"Selain itu, burung juga sensitif dengan cuaca. Persekitaran hutan yang lembap dan terdedah kepada ribut hujan secara tiba-tiba boleh menyebabkan burung bersembunyi," katanya.
Ditanya berkenaan pembabitan wanita dengan aktiviti itu, dari segi norma budaya, 'bird watching' adalah aktiviti yang didominasi lelaki.
"Ini sebahagiannya disebabkan jangkaan masyarakat dan norma budaya yang secara tradisinya mengaitkan aktiviti lasak dan 'outdoor' kebiasaannya dinikmati lelaki sahaja.
"Bagaimanapun, kini ada beberapa kumpulan wanita yang menikmati aktiviti ini secara menyeluruh dan dapat saya lihat daripada pemerhatian pelancong atau pelawat yang mengikut ekspedisi lawatan berpandu kami," katanya.
Dia menasihatkan individu yang ingin terbabit dengan aktiviti ini supaya meluangkan masa mempelajari spesies burung dengan bantuan buku panduan lapangan atau sumber dalam talian berkenaan burung di Malaysia.
"Menyertai kumpulan 'birding' tempatan juga boleh dijadikan sebagai bimbingan dalam membantu anda belajar mengenai hobi ini dengan bertukar pendapat dan pengalaman dengan ahli lain.
"Cari lokasi sesuai melakukan aktiviti ini seperti kawasan taman negara, hutan atau kawasan berair. Sentiasa menghormati alam semula jadi dan jangan merosakkan habitat asal burung," katanya.
Sumber: Harian Metro
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|
|
|
|
|
|
| |
|