View: 18441|Reply: 0
|
Selepas RC kereta drift bawa Azeem ke Jepun, kini gigih berlatih kendali permainan kapal terbang elak terhempas
[Copy link]
|
|
"PERSEDIAAN untuk bermain alat kawalan jauh (RC) kapal terbang bagai mengendalikan pengangkutan udara sebenar.”
Begitulah yang dapat diungkap oleh Azeem Razali yang meminati permainan tersebut khusus untuk kategori udara.
Juruvideo berusia 29 tahun itu menjelaskan bahawa sekiranya persediaan tidak dilakukan dengan rapi, kapal terbang permainan tersebut yang harganya mencecah ratusan bahkan ribuan ringgit berkemungkinan besar terhempas dan tentunya mengakibatkan ia rosak. Bahkan risiko sukar untuk ia dibaiki semula adalah tinggi.
“Biarpun sekadar permainan, tetapi saya perlu memperbanyakkan latihan bagi mengurangkan risiko terhempas.
Lazimnya, di peringkat awal, sesiapa yang baharu berjinak-jinak dengan permainan ini akan belajar mengendalikan RC kapal terbang menggunakan simulator.
“Menerusi simulator, pemain mengawal RC kapal terbang sama seperti model permainan sebenar.
Apabila sudah cekap, barulah beralih bermain RC sebenar di lapangan,” jelasnya.
Persediaan bermain tidak terhad pada simulator sahaja. Sebelum kapal terbang berlepas ia perlu diperiksa terlebih dahulu sama seperti dilakukan pada kapal terbang sebenar.
“Saya akan memeriksa bateri untuk memastikan ia mencukupi dan keadaan sayap serta tayar sama ada ia boleh keluar atau sebaliknya apabila mendarat.
“Selain itu, faktor cuaca juga perlu dipertimbangkan sama ada sesuai atau tidak untuk bermain pada hari tersebut.
Jika semua elemen ini diabaikan, besar kemungkinan pesawat boleh terhempas,” katanya yang pernah dua kali mengalami insiden terhempas ketika mengendalikan kapal terbang permainan itu.
Dalam pada itu, Azeem juga memberitahu, buat individu yang ingin menjadikan RC sebagai hobi, adalah disarankan untuk menyertai komuniti permainan berkenaan.
“Bersama komuniti kita dapat menimba pelbagai ilmu, pengalaman dan mempercepatkan proses memahirkan diri.
Seperti saya sendiri, kerap meluangkan masa bermain bersama komuniti di beberapa lokasi antaranya di Cyberjaya,” katanya.
Ditanya kenapa kapal terbang menjadi pilihan, jejaka yang baru lima bulan aktif bermain permainan tersebut menyatakan dia ingin mencuba cabaran baharu.
Sebelum ini, dia bermain RC kereta drift selama lima tahun sehingga berjaya mencapai pelbagai kejayaan termasuk di Jepun.
Setakat ini, Azeem mempunyai 20 kapal terbang permainan terdiri daripada pelbagai jenis model dengan nilai keseluruhan mencecah lebih RM10,000. Antaranya jet pejuang, kapal terbang perang dan glider.
Hab penerbangan dan industri pendidikan
Sementara itu, jurulatih penerbangan (dron), Farhanudin Abdul Razak, 37, berkata, Malaysia juga mempunyai sejumlah penerbang dron atau RC udara.
Ini mendorong ketersediaan Malaysia untuk mewujudkan hab penerbangan peranti itu setaraf dengan negara luar.
“Dubai dan Thailand misalnya, penerbangan dron dan RC udara diperakui daripada segi undang-undang sehingga aktiviti tersebut dianggap sesuatu yang eksklusif.
“Mereka memiliki hab yang canggih dan terbuka untuk sesiapa saja,” katanya yang mesra disapa Farhan.
Beliau yang memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Dua Penerbangan (Dron) menjangkakan, dalam masa lima tahun, industri dron akan berkembang maju seiring dengan penglibatan sektor pendidikan yang dibangunkan pihak kerajaan mahupun swasta.
Selain itu, Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI) pun sudah memulakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi dron sejak beberapa tahun lalu.
“Salah satu pembangunan pendidikan adalah penerapan melalui kaedah pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
"Ini akan memberi peluang kepada orang ramai untuk mencapai sijil kemahiran menerbangkan tersebut,” kongsinya.— Majoriti
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|
|
|
|
|
|
| |
|