|
BEBERAPA pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyambut baik jaminan Kementerian Pelajaran Malaysia tidak mewujudkan sekolah aliran Inggeris kerana bertentangan Akta Pendidikan dan Dasar Pendidikan Negara.NGO yang disertai golongan intelektual dan pejuang bahasa itu sebelum ini berpendirian dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan menjadikan semua sekolah aliran sains kepada aliran Inggeris.\n\n\n\n Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), Dr Shaharir Mohamad Zain, berkata GMP menyokong usaha Kementerian Pelajaran menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama negara manakala bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua menerusi dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Mengukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).\n\n\n\n\n\n Beliau yang juga bekas Prof Fizik-Matematik di Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, GMP yang membabitkan 48 persatuan gabungannya menyanjung tinggi ketegasan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bertekad memansuhkan PPSMI. “Bagi mengamankan lagi suasana pelaksanaan pemansuhan PPSMI itu, GMP memohon agar Timbalan Perdana Menteri juga menyeru mana-mana pihak yang selama ini sentiasa mempersoalkan kewarasan dasar kerajaan ini supaya berhenti daripada berbuat demikian.“Sebaliknya, semua pihak patutlah bersama-sama membantu kerajaan memartabatkan bahasa Melayu di dalam pendidikan sehingga bahasa Melayu kembali bertakhta seperti sebelum PPSMI dilancarkan,” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur. Muhyiddin sebelum ini dilaporkan berkata, beliau bertanggungjawab untuk melaksanakan apa yang termaktub dalam akta dan dasar yang jelas menyatakan bahasa pengantar di sekolah kebangsaan ialah bahasa Melayu atau bahasa Malaysia.\n\n\n\nSementara itu, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) menyatakan kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu bertepatan dengan dasar pelajaran kebangsaan yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.Presidennya, Dr Mohamad Saleeh Rahamad, berkata kedudukan bahasa Melayu dalam dasar pelajaran kebangsaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sememangnya tidak boleh diganggu-gugat kerana proses pembentukannya sudah melalui pertimbangan yang saksama dan penelitian yang rapi.Beliau berkata, pembentukan negara bangsa yang berteraskan satu bahasa perlu dipertahankan.“Kita tidak wajar berundur daripada agenda pendidikan nasional yang terbukti mewujudkan ketenangan dalam masyarakat di samping memacu kecemerlangan pendidikan dalam kalangan semua bangsa.“Dasar pelajaran dan sistem persekolahan yang berteraskan bahasa Melayu yang sedia ada sudah terbukti berkesan membangunkan negara,” katanya.Mohamad Saleeh berkata, jika ada keperluan untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris, biarlah kaedah lain digunakan, bukannya dengan mewujudkan sekolah dua aliran.Katanya, sekolah dua aliran hanya akan melebarkan jurang masyarakat kerana sudah pasti kedudukan pelajar beraliran Inggeris diberi perhatian oleh majikan kerana pasti mereka memiliki persepsi yang berat sebelah berbanding pelajar beraliran bahasa Melayu. Beliau berkata, pendirian PENA itu tidak bermakna pembelajaran bahasa Inggeris perlu dipinggirkan, malahan NGO itu menyokong dasar MBMMBI.
[Source] [Go Back to Citizen Journalist] [Pump!]
|
|