View: 2537|Reply: 0
|
Gimnas negara wakil tunggal ke kejohanan dunia
[Copy link]
|
|
MELAKA - Gimnas negara Tan Ing Yueh tidak berani meletakkan sebarang sasaran berikutan kehadiran jaguh dunia dan pemenang pingat Sukan Olimpik pada Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia 2013 di Antwerp, Belgium dari 29 September hingga 5 Oktober ini.
Bagaimanapun, gimnas berusia 17 tahun itu, yang menjadi wakil tunggal negara menggalas cabaran pada kejohanan itu, berjanji akan memberi aksi terbaik serta membanggakan nama negara di sana.
Anak kelahiran dari Desa Duyong Melaka, di sini, bakal bersaing dengan lebih 200 gimnas dalam acara melombol, palang bertingkat, batang titian, dan senaman lantai.
"Impian saya menjadi kenyataan apabila dipilih untuk mewakili negara pada kejohanan berprestij ini," kata pemenang lima pingat pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2013 selepas majlis penyampaian hadiah insentif Sukma 2013 atlet Melaka di sini hari ini.
Ketua Menteri Datuk Idris Haron menyampaikan insentif Sukma 2013 berjumlah RM83,000 kepada pemenang pingat Sukma di Kuala Lumpur pada awal bulan lepas.
Pada majlis tersebut, Tan menerima insentif RM8,400 bagi lima pingat yang diraihnya dengan dua emas masing-masing bagi acara palang bertingkat dan senaman lantai, dua perak masing-masing bagi acara melombol dan 'All Round' individu dan satu gangsa bagi acara berpasukan.
Pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu berkata pemilihannya ke kejohanan dunia itu telah membuktikan segala latihan dan usaha keras yang dilakukan sejak pembabitannya ketika berusia lapan tahun dalam sukan tersebut ternyata berbaloi.
Katanya bagi menghadapi kejohanan dunia itu, beliau kini meningkatkan latihan dan disiplin bagi memantapkan stamina dan kemahirannya.
"Setiap hari saya memperuntukkan masa lima hingga enam jam latihan bagi semua acara yang ditandingi dan saya tidak sabar untuk mengutip pengalaman berharga pada kejohanan itu nanti," katanya.
Selain latihan yang konsisten, beliau bersyukur kerana persiapannya bagi menghadapi kejohanan itu turut mendapat tajaan berjumlah RM21,000 daripada kerajaan negeri Melaka.
|
|
|
|
|
|
|
| |
|