Setiap hari kita berdepan dengan berbagai isu masyarakat yang pada pandangan umi, ianya adalah berkaitan dengan masalah tidak kenal diri. Umi merasakan bahawa mengenali diri, menyayangi diri, yakin kepada diri merupakan satu isu yang perlu diketahui oleh semua orang.
Jika kita tidak mengenali diri, maka besar kemungkinan kita akan menjadi lalang, tiada pendirian dan mudah terpengaruh dengan sebarang propoganda yang disogokkan kepada kita dalam media massa. Begitu mudah kita dibawa "angin", berubah fikiran dan prinsip hidup mengikut rentak angin yang bertiup.
Siapakah diri kita sebenarnya? Adakah kita mengenali diri sendiri? Itulah persoalan yang akan kita bincangkan dalam pos umi kali ini.
Kita mengharungi hidup ini berdasarkan bagaimana kita ‘melihat’ diri sendiri. Kita sebenarnya tanpa sedar atau tidak, akan meletakkan definasi tertentu kepada diri sendiri dan ada kalanya kita memberi definasi kepada diri berpandukan pandangan orang lain terhadap kita. Memang benar, imej diri dipengaruhi banyak faktor seperti pandangan ibu bapa, rakan, persekitaran dan media. Keyakinan diri pula merujuk kepada bagaimana kita menilai harga diri kita dan pandangan mengenai diri samada positif atau negatif.
Tidak mengenali diri maka seringlah kita merasa rendah diri di hadapan orang lain. Manakan tidak, kekuatan diri pun tidak dicari dan diketahui sedangkan Allah menciptakan kita semua masing-masing dengan potensi dan kekuatan yang tersendiri. Mungkin bukan salah anda, mungkin selama ini tidak ada yang memuji dan meyakinkan bahawa anda sebenarnya tersangat istimewa. Namun, usahlah mengharapkan orang lain lagi, bangkit lah untuk mengenali diri sendiri.
Last edited by sharifahmastura on 15-12-2014 11:22 AM
|