|
Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung (PEMBAWA) mendakwa enggan menjual tiket bas ekspres sempena cuti Hari Raya Aidilfitri sehingga kerajaan mengumumkan kadar tambang baharu bagi pengangkutan awam itu.
Yang Dipertuanya, Tajuddin Mohd Yunus berkata kebanyakan pengusaha mahu mengelakkan kerugian dengan menjual tiket pada kadar tambang sedia ada.
Menurutnya, walaupun terdapat permintaan daripada orang ramai yang ingin mendapatkan tiket lebih awal, ia masih belum dibuka untuk dijual pada masa sekarang.
"Manalah tahu, tiba-tiba kerajaan umum tambang baharu, jadi kita nak elak kerugian. Ada yang dah tanya-tanya, kita cakap belum jual lagi. Sabar-sabarlah. Tiada apa yang perlu disegerakan," katanya .
Jelas beliau, seperti tahun sebelumnya, tiket bas ekspres untuk cuti Hari Raya Aidilfitri akan mula dijual pada waktu bulan puasa.
"Selalunya tiket akan mula dijual pada waktu bulan puasa. Tapi sekarang kita pun tunggu tambang baharu," katanya.
Terdahulu, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali menegaskan perjalanan orang ramai untuk balik ke kampung menggunakan bas ekspres sempena sambutan Aidilfitri bulan depan mungkin terjejas berikutan pelbagai kesulitan yang dihadapi pengusaha perkhidmatan itu.
Ini berikutan adanya pengusaha bas yang mungkin tidak dapat menyediakan perkhidmatan bas tambahan bagi menampung permintaan orang ramai pada musim perayaan ini.
Malah, keadaan bertambah buruk berikutan kemelut tambang bas ekspres yang masih belum bernoktah sehingga hari ini.
Ditanya sama ada pengusaha bas akan menyediakan perkhidmatan bas tambahan bagi menampung permintaan yang tinggi sempena cuti perayaan itu, Tajuddin enggan mengulas lanjut mengenainya.
"Saya tidak mahu komen lanjut, itu mungkin pendapat presiden. Mungkin dia sudah tidak tahan kerana tambang dinaikkan kali terakhir lapan tahun lalu," katanya.
Bagaimanapun, Tajuddin turut merayu kepada kerajaan supaya tidak menghampakan nasib 50 peratus pengusaha bumiputera yang bergantung rezeki kepada perkhidmatan tersebut.
"Tolonglah, jangan hampakan harapan kami yang berniaga ini. Kami pun nak hidup juga. Jadi kalau nak bagi (kenaikan tambang) janganlah biar kami ternanti-nanti.
"Kenapa buat kami terus menunggu sedangkan duit kami kehilangan hari demi hari. Ada pengusaha yang hilang RM500, ada yang hilang RM1,000 sehari," katanya.
Beliau berkata, kerajaan perlu memuktamadkan keputusan mengenai isu tambang bas ekspres dengan segera kerana dikhuatiri lebih ramai pengusaha akan 'gulung tikar' kerana tidak mampu menampung kos operasi mereka.
"Kalau menunggu berminggu... berbulan... bertahun nanti sama juga jika (keputusan) diberi sekarang supaya kami tidak 'hilang' dalam tempoh terdekat," katanya.
nak untung menyusahkan orang nak balikraya... boikot kangg |
|