|
SKUAD Hoki Kebangsaan menerima khabar duka sebelum saingan separuh akhir Liga Hoki Dunia bermula Ahad ini di mana terpaksa mengetepikan khidmat penjaga gawang utama negara, S Kumar.
Kumar terpaksa pulang ke tanah air selepas anak lelakinya berusia tiga tahun, Harshenn, meninggal dunia, hari ini di Hospital Kuala Lumpur, dipercayai akibat jangkitan Kuman.
Ketua Pegawai Eksekutif Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), K Logan Raj berkata, Muhammad Hafizuddin Othman akan menggantikan tempat Kumar dalam saingan WHL di Antwerp, Belgium nanti.
“Ia merupakan satu berita buruk buat kami. Kumar perlukan masa bersama keluarga pada ketika ini.
“Di sebabkan itu, kumar tidak akan beraksi di WHL,” katanya.
Dalam perkembangan lain, skuad The Speedy Tigers bimbingan Tai Beng Hai tewas, 2-1, dalam aksi terakhir pemanas badan menentang skuad Belanda Bawah-21, semalam.
Malaysia membuka tirai melalui jaringan kapten pasukan, Muhammad Razie Abdul Rahim, pada minit ke-31.
Bagaimanapun, Belanda kembali bangkit melalui dua jaringan pada m-44 dan 55.
“Secara keseluruhannya, kami beraksi dengan baik tetapi mensia-siakan peluang terhidang,” kata Pengurus Pasukan, Stephen Van Huizen.
Misi pemburuan tiket ke Sukan Olimpik Rio 2016 di Rio de Janeiro, Brazil bermula Ahad ini, di mana Speedy Tigers akan berdepan China dalam aksi pertama Kumpulan B.
sinar harian
|
|