|
Mufti Wilayah - Bayyan Linnas - Perihal Sebatan Syariah - respons Mufti
[Copy link]
|
|
Kes Sebatan di Terengganu
Kami bahagikannya kepada tiga: |
|
|
|
|
|
|
|
Pertama: Peruntukan Enakmen
Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir (Terengganu) 2001 memperuntukkan seksyen-seksyen berikut bagi kesalahan musahaqah:
Seksyen 30. Musahaqah.
Mana-mana orang perempuan yang melakukan musahaqah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.
Seksyen 59. Percubaan.
(1) Mana-mana orang yang cuba-
melakukan sesuatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Enakmen ini atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang berhubung dengan Hukum Syarak; atau
menyebabkan kesalahan itu dilakukan,
dan dalam percubaan itu melakukan apa-apa perbuatan ke arah pelakuan kesalahan itu hendaklah, jika tiada peruntukan nyata dibuat oleh Enakmen ini atau undang-undang bertulis lain itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, bagi hukuman percubaan itu, dihukum dengan apa-apa hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan itu.
(2) Apa-apa tempoh pemenjaraan yang dikenakan sebagai hukuman bagi suatu percubaan untuk melakukan suatu kesalahan atau untuk menyebabkan suatu kesalahan dilakukan tidak boleh melebihi satu perdua daripada tempoh maksimum pemenjaraan yang diperuntukkan bagi kesalahan itu. |
|
|
|
|
|
|
|
Kedua: Prosiding Mahkamah
Pada 8 September 2018, tuduhan ke atas kedua-dua Yang Kena Tuduh (nama-nama dirahsiakan), masing-masing adalah wanita yang berumur 32 dan 24 tahun, telah didengar di dalam Mahkamah Terbuka, Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu di Kuala Terengganu dalam kehadiran Pendakwa Syarie dari Jabatan Pendakwaan Syariah Terengganu. Kes didengar di hadapan Hakim Syarie, Yang Arif Tuan Haji Kamarulazmi bin Ismail. Pertuduhan dibuat bawah Seksyen 59 (1) yang dibaca bersama dengan Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir (Terengganu) 2001. Mahkamah menerima permohonan Pendakwa Syarie untuk membenarkan kes kedua-dua OKT didengar secara bersama kerana melibatkan kesalahan yang sama dan mereka ditangkap dalam kejadian yang sama secara berpasangan.
Kedua-dua OKT ditangkap pada 8 April 2018, kira-kira jam 1.50 petang kerana cuba melakukan perhubungan seks di Dataran Arena Square, Dungun, Terengganu oleh sepasukan Penguatkuasa Syariah Daerah Dungun, berdasarkan maklumat yang diterima. Kedua-dua OKT ditangkap dalam kereta yang bercermin gelap dan diparkir secara mencurigakan. Kedua-dua OKT, bagaimana pun, memberikan kerjasama apabila diarahkan pintu dibuka dan pihak penguatkuasa menemui alat kemaluan lelaki tiruan berada di bawah belakang kerusi pemandu dan sehelai seluar dalam wanita. Mereka kemudian dibawa kepada Pejabat Agama Daerah Dungun.
Pada 29 Julai 2018, Mahkamah menerima pengakuan daripada kedua-dua OKT setelah pertuduhan dibacakan sekali lagi kepada kedua-dua OKT. Mahkamah sebelum menerima pengakuan tersebut mencelah dengan bertanya kedua-dua OKT sama ada mereka berdua ingin menukar pengakuan kepada pengakuan bersalah atau ingin dibicara, ada sebarang unsur paksaan, ugutan atau pun dorongan untuk membuat pengakuan. Mereka mengesahkan bahawa tiada unsur-unsur demikian dalam pengakuan mereka dan pengakuan itu dilakukan secara sukarela tanpa pengaruh luar. Mahkamah juga mencelah dengan soalan meminta kepastian keadaan diri OKT secara mental dan fizikal semasa membuat pengakuan dan kedua-dua OKT mengesahkannya. Mahkamah juga telah memaklumkan kepada kedua-dua OKT peringatan bahawa setiap kesalahan yang disabitkan melalui pengakuan salah, rayuan tidak boleh dibuat melainkan tentang kadar hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah sahaja. Mereka masing-masing faham dan mengekalkan pengakuan mereka.
Mahkamah kemudian membacakan ringkasan fakta kes dan meminta pengakuan daripada OKT. Kedua-dua mereka bersetuju dan tidak mempunyai bantahan terhadap fakta kes. Mereka kemudian dibawakan barang-barang kes yang dijumpa semasa tangkapan. OKT 1 mengaku memiliki satu set alat kelamin lelaki tiruan dan OKT 2 mengaku memiliki seluar dalam wanita yang ditemui sewaktu tangkapan. Mahkamah sekali lagi bertanya kepada kedua-dua OKT sama ada mahu mengekalkan pengakuan atau menarik balik. Mereka masing-masing mengekalkan pengakuan bersalah mereka.
Mahkamah meneruskan prosiding dengan sesi rayuan terhadap hukuman (mitigation). Mahhkamah mendengar rayuan mereka secara inquisitorial bagi mendapatkan gambaran dan hal keadaan kedua-dua Pesalah untuk memastikan keadilan ditegakkan. Masing-masing Pesalah membuat rayuan hukuman yang dibuat atas faktor kedudukan sosioekonomi, dan penyesalan. Mereka juga mengakui bahawa kejadian itu benar-benar membuat mereka insaf dan bertaubat. Mereka juga sudah mula bersolat sedangkan sebelum itu mereka cuai daripada menjalankan peraturan agama Islam. Mengikut sumber yang dipercayai, kedua-dua Pesalah telah diberikan kaunseling agama oleh ustazah yang dilantik pihak autoriti untuk membimbing mereka ke arah fitrah Islam setelah tangkapan dibuat dan sebelum prosiding.
Pada 28 Ogos 2018, Hakim menghukum sabit bersalah ke atas kedua-dua Pesalah masing-masing dengan hukuman denda RM3,300.00 dan dikenakan hukuman sebat sebanyak 6 kali sebatan. |
|
|
|
|
|
|
|
Ketiga: Pelaksanaan Hukuman Sebat
Perlaksanaan hukuman sebat bagi kedua-dua Pesalah berlangsung pada 3 September 2018 dan dilakukan secara tertutup di Dewan 2 Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu dengan dihadiri 100 orang terdiri daripada wakil media, badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil persatuan peguam tanpa sebarang keizinan jua kebenaran diberikan untuk dibawa masuk bersama mereka kamera dan telefon bimbit.
|
|
|
|
|
|
|
|
Kronologi Hukuman Sebat: [10]
Pukul 8.30 pagi - Kedua-dua pesalah wanita berusia 22 dan 32 tahun berkenaan hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu secara berasingan sambil ditemani ahli keluarga dan rakan-rakan.
Pukul 8.45 pagi - Mereka diarahkan menukar pakaian dengan mengenakan baju kurung dan tudung serba putih yang disediakan oleh Jabatan Penjara Malaysia.
Pukul 9 pagi - Wakil NGO, Persatuan Peguam, Persatuan Peguam Syarie, Wakil media mula berkumpul di Tingkat 4 Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu.
Pukul 9.30 pagi - Kira-kira 100 orang wakil NGO, persatuan peguam, persatuan peguam syarie, ahli keluarga dan wakil media dibenarkan memenuhi Dewan 2 Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu bagi menyaksikan pelaksanaan hukuman sebat terhadap pesalah.
Pukul 9.55 pagi - Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd; Hakim Kanan Syarie Terengganu, Rosdi Harun dan Hakim Syarie Terengganu, Kamalruazmi Ismail masuk ke kamar untuk memulakan pelaksanaan hukuman.
Pukul 10 pagi - Hakum Syarie Terengganu, Kamalruazmi Ismail memberikan kata-kata pendahuluan terhadap kes sebelum pelaksanaan hukuman dijalankan.
Pukul 10.05 pagi - Pesalah pertama berusia 32 tahun dipanggil masuk ke dewan dengan diiringi pegawai wanita penjara yang berpenutup muka sebelum pegawai perubatan mengesahkan tahap kesihatan pesalah yang layak untuk menjalani hukuman.
Pukul 10.08 pagi - Tukang sebat wanita pertama dari Penjara Wanita Kajang dipanggil masuk ke dewan sebelum pegawai pengiring mengarahkan pesalah duduk di atas kerusi yang disediakan dan menyinsingkan tudung pesalah ke paras bahu dengan membelakangkan pemerhati.
Pukul 10.10 pagi - Hukuman sebatan sebanyak enam kali dilaksanakan terhadap pesalah.
Pukul 10.11 pagi - Hukuman sebatan selesai dilaksanakan terhadap pesalah.
Pukul 10.15 pagi - Pesalah kedua dipanggil masuk ke dewan dengan menjalani prosedur sama seperti pesalah pertama.
Pukul 10.16 pagi - Hukuman sebatan sebanyak enam kali dilaksanakan oleh tukang sebat kedua dari Penjara Wanita Kajang.
Pukul 10.17 pagi - Hukuman sebatan selesai dilaksanakan terhadap pesalah
Pukul 10.18 pagi - Mahkamah ditangguhkan dan orang ramai mula beredar dari Dewan 2 Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu.
|
|
|
|
|
|
|
|
Reaksi Tokoh-Tokoh
Pengamal Undang-Undang
Hakim Syarie Terengganu, Yang Arif Kamarulazmi Ismail:
“Janganlah anggap dua pesalah wanita ini hina, orang yang buruk dan jelik kerana apabila mereka bersedia menerima hukuman ia adalah tanda sudah insaf dan sedar atas kesilapan….Sebatan dalam syariah bukan untuk mencederakan, menyeksa, dan mengazabkan pesalah. Mudah-mudahan hukuman ini menjadi pengajaran dan peringatan kepada seluruh umat Islam dan memberi gambaran bagaimana hukuman syariah itu adalah satu hukuman yang berbentuk mendidik dan bukan untuk menyeksa,”[11]
Yang Arif Datuk Daud Muhammad (Ketua Hakim Syarie Kelantan)
Kelantan sudah pun mengenakan hukuman sebatan secara terbuka terhadap 13 individu yang menyalahi undang-undang di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1985 sejak diperkenalkan di negeri ini. Beliau berkata, jumlah itu membabitkan 10 kes termasuk kesalahan mukadimah zina dan minum minuman yang memabukkan seperti arak. Menurutnya, enakmen ini diamalkan bermula tahun 1985 dan sejak itu hukuman sebatan secara terbuka sudah dikuatkuasakan terhadap pesalah yang melakukan kesalahan syariah di negeri ini. Sebatan ini pula dijalankan di dalam penjara dengan disaksikan lebih 10 orang termasuk pegawai penguat kuasa dan orang ramai. "Sebatan juga boleh dilakukan di dalam mahkamah terbuka, tertakluk kepada hakim yang memiliki bidang kuasa untuk menentukan di mana-mana tempat perlaksanaannya. Cuma kalau dibuat di padang terbuka, perlu diambil kira soal keselamatan kerana lebih ramai orang akan melihatnya.”[12]
Tan Sri Datuk Syeikh Ghazali bin Abdul Rahman, mantan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia
Beliau bersetuju dengan hukuman yang dilaksanakan di Terengganu dan menceritakan permulaan undang-undang digubal oleh jawatankuasa teknikal dan juga sejarah undang-undang-undang tersebut diqanunkan.[13]
Peguam Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia, Datuk Haji Zainul Rijal Abu Bakar.
“Sebatan syariah amat berbeza dengan rotan di mahkamah sivil yang mencederakan pesalah sivil sudah pasti ada yang akan pengsan..Amat tidak benar dan mengelirukan jika mengatakan sebatan syariah adalah kejam, tidak berperikemanusiaan atau menjatuhkan maruah…Sebatan dijatuhkan oleh mahkamah sivil memang tidak dibenarkan terhadap wanita disebabkan sifatnya yang kejam dan mencederakan. Sepatutnya apa yang perlu dilakukan ialah menuntut sebatan ini dimansuhkan. Mungkin ada golongan tertentu yang beranggapan kerana ia hanya dikenakan kepada lelaki, maka tidak apalah hukuman tersebut walaupun ia amat kejam dan menyakitkan. Pendekatan ini amat pelik.”[14]
|
|
|
|
|
|
|
|
Ashab al-Samahah Mufti-Mufti
Mufti Perak, Sahibus Samahah Tan Sri Dato' Seri (Dr) Haji Harussani bin Haji Zakaria
“Pelaksanaan hukuman sebat terhadap dua wanita di Terengganu perlu dinilai dari hikmah undang-undang Islam dan bukannya berdasarkan perspektif politik. Berbeza sudut politik, undang-undang Islam menilai hukuman berkenaan sebagai satu pengajaran bukan sahaja kepada pelaku tetapi orang ramai. Istilah bengis hanya sekiranya terdapat sebarang bentuk cakaran atau bunuh, bagaimanapun hukuman dilaksanakan itu tidak mendatangkan sebarang kecederaan. Mana-mana pihak juga tidak perlu mempertikaikan hukuman dijalankan secara terbuka kerana sememangnya perlu dilakukan dikhalayak agar dapat dijadikan pengajaran dan didikan.”[15]
Mufti Kedah, Sahibus Samahah Datuk Syeikh Fadzil Awang
“Perkara sebegini tak perlu dipertikai kerana hukuman dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah. Kena hormatilah kerana hukum tersebut dilaksanakan mengikut peruntukan yang ada dalam Islam…Dalam Islam, memang ada dalil yang membenarkan hukuman dijalankan di depan khalayak supaya menjadi pengajaran kepada yang lain. Jadi usah kita pertikai kerana perkara ini bukan rekaan manusia…Apabila Allah menetapkan sesuatu, sudah tentu ada pengajaran yang amat besar di sebaliknya. Hakim yang menjatuhkan hukuman itu juga sudah tentu memiliki ilmu agama yang tinggi dan mempunyai kelayakan secukupnya…Bagi mereka yang tidak memahami, itu lain cerita tetapi buat individu yang sedar dan tahu tetapi masih mahu mempertikai, tindakan itu mampu membawa implikasi besar kepada akidah mereka.”[16]
Mufti Pulau Pinang, Sahibus Samahah Dato' Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor
“Perbuatan lesbian tidak termasuk di dalam kategori kesalahan hudud, justeru ia hanya dikenakan hukuman ta'zir yang diserahkan kepada budibicara mahkamah atau pihak kerajaan untuk menentukannya sama ada sebatan, penjara, denda atau cara-cara lain yang difikirkan wajar dan sesuai supaya menjadi pengajaran kepada pelakunya dan juga kepada masyarakat…Tindakan sebat yang dilaksanakan itu mesti disokong oleh semua pihak demi untuk mencegah perbuatan keji dan terkutuk ini daripada merebak di dalam masyarakat yang akhirnya mampu mengheret bangsa dan negara ke jurang keruntuhan…Malah dilihat dari perspektif Islam, mecegah perbuatan keji dan tidak bermoral adalah sebahagian daripada tanggungjawab pihak berkuasa seperti mana yang dinyatakan di dalam Al-Qur'an, surah Al-Haj: 61.”[17]
Mufti Kelantan, Sahibus Samahah Datuk Mohamad Shukri Mohamad.
“Tak perlu dikaji semula proses sebatan pesalah undang-undang syariah…Langkah terbabit tidak wajar dilihat semula memandangkan pelaksanaan hukuman itu tidak bercanggah dengan peruntukan undang-undang sedia ada…Hukuman sebatan yang berlaku di Dewan 2 Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu semalam adalah mengikut undang-undang syariah yang ditetapkan…Sekiranya hukuman sebat yang dijalankan bercanggah dengan undang-undang, maka ia wajar di kaji semula….Namun, jika kajian semula yang ingin dijalankan adalah bagi tujuan penambahbaikkan, mungkin ia boleh dilakukan.”[18]
Mufti Pahang, Sahibus Samahah Datuk Seri (Dr.) Abdul Rahman Osman
“Saya berpendapat hukuman sebat itu lebih berperikemanusiaan berbanding sebat dalam undang-undang sivil, ia tidak mencederakan sebaliknya hanya bersifat mendidik, memberi peringatan kepada orang lain supaya tidak melakukan perbuatan dilarang Allah contohnya hubungan sejenis seperti lesbian…Saya rasa mereka yang membantah itu lebih baik mengkritik terlebih dulu hukuman sebat dalam undang-undang sivil yang lebih memudaratkan seperti merosakkan anggota badan.”[19]
Mufti Negeri Sembilan, Sahibus Samahah Datuk Mohd. Yusof Ahmad
“Rata-rata hari ini orang Islam tidak mengetahui apa yang ada dalam syariat sehingga menganggap hukuman itu (hukuman sebat) sengaja diada-adakan. Sepatutnya orang Islam sudah tahu hukum sejak mula baligh, kena belajar dan akhirnya tidak akan timbul masalah dan salah faham…Mereka yang rasa begitu (hukuman sebat beri imej buruk kepada Islam) kerana mereka jahil tentang hukum Islam sedangkan hukum Allah lebih cantik. Malah dalam kes di Terengganu, pesalah sendiri reda, mengaku salah dan tidak bantah hukuman dijalankan. Disebabkan kejahilan, orang Islam sendiri memandangnya tidak adil dan tidak berperikemanusiaan. Di mana tidak adil dan tidak berperikemanusiaan itu, saya tidak tahu.”
Berkenaan terdapat pandangan bahawa perlakuan LGBT adalah hak individu, jawab beliau “LGBT adalah jenayah dalam Islam, ada kisah umat Nabi Lut yang Allah murka, tetapi sampai hari ini ada yang kata kasihan kepada golongan itu. Ramai yang menganggap mencuri, membunuh, mencedera dan memukul orang sahaja jenayah. Tetapi mereka tak sedar homoseksual dan lesbian juga jenayah dalam Islam.” [20]
Mufti Terengganu, Sahibus Samahah Dato’ Dr. Zulkifly Muda
“Pihak kami berpandangan hukuman itu mestilah dihormati oleh semua pihak kerana ia dibuat berdasarkan hukum syarak dan peruntukan undang-undang di Negeri Terengganu. Tidak timbulnya ianya satu hukuman zalim kerana melibatkan hukuman sebat.”
“Kenapa pula mereka mempertikaikan cara syariah ini, sedangkan mereka tidak mempertikaikan cara sebatan pada kesalahan di mahkamah sivil yang jelas bercanggah dengan syariat dan tidak berperikemanusiaan? Mereka sepatutnya berusaha mengubah bentuk sebatan itu supaya selaras dengan kehendak syariat yang lebih mementingkan pengajaran daripada mencederakan pesalah dalam hal sebatan itu.”[21] |
|
|
|
|
|
|
|
Menjawab Kekeliruan “Hukuman Pesalah Lesbian Bertentangan Dengan Al-Quran Kerana Melibatkan Intipan Dan Dosa Peribadi.” |
|
|
|
|
|
|
|
Pada asasnya, suatu kesalahan syariah itu mestilah dizahirkan untuk memberi kuasa kepada pegawai amar makruf nahi munkar (dalam bahasa semasa ialah pegawai penguatkuasa) untuk menangkap seterusnya dibawa ke hadapan hakim untuk dibicarakan. Orang awam, bahkan pegawai penguatkuasa, dilarang mengintip dan mencari-cari kesalahan yang dibuat secara sembunyi. Ini kerana Allah SWT berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.
(Surah al-Hujurat: 110)
Berkata Imam Fakhruddin al-Razi mengenai larangan mengintip dalam ayat ini:
“Kemudian Allah SWT berfirman, “Janganlah kamu mengintip,” untuk menyempurnakan mesej sebelum itu apabila Allah Taala berfirman, “Jauhilah kebanyakan dari sangkaan…” Ini memberi kefahaman bahawa perkara yang diambil kira adalah keyakinan. Jika seseorang berkata: “ana aksyifu fulanan” (aku tentang seseorang,” ertinya “aku berilmu tentangnya secara yakin dan aku mengetahui tentang aibnya secara penyaksian. Lalu aku segan dan aku hindarinya,” Allah melarang mengikut-ikut prasangka ertinya jangan kalian bersungguh-sungguh mencari secara yakin akan aib-aib manusia.” Rujuk Mafatih al-Ghayb (28/110)
Pun begitu, terdapat pengecualian yang ulama tetapkan bagi larangan mengintip itu. Perkara ini diulas oleh Syeikh Muhammad Tahir Ibn Asyur dalam tafsirnya: |
|
|
|
|
|
|
|
“(Perbuatan mengintip) itu adalah pencerobohan terhadap persaudaran atas dasar Islam. Ini kerana ia memiliki elemen penyamaran. Apabila mangsa intipan itu mengetahui perbuatan pengintipnya, maka itu akan menyakitinya dan timbullah perasaan benci kepada pengintip itu. Kemudian akan berlaku pencerobohan lain pula daripada pihak yang diintip dan berterusanlah dendam antara saudara seislam. Mulanya larangan mengintip itu hanyalah dikira larangan kecil jika dikaitkan semata-mata dengan intipan, tetapi ia menjadi dosa besar apabila mengakibatkan mafsadah yang meluas. Ini termasuklah jenis intipan ke atas orang-orang Islam dengan niat mendatangkan mudarat kepada mereka. Justeru, intipan yang dilarang ialah intipan yang tidak mendatangkan manfaat kepada orang Islam atau menghilangkan suatu mudarat daripada mereka. Maka, larangan intipan ini tidak termasuk intipan kepada musuh (Islam) dan intipan pihak polis terhadap para penjenayah dan perompak.”
Rujuk al-Tahrir wa al-Tanwir (26/254).
Maka, daripada sudut fiqh, kita boleh lihat para ulama membenarkan intipan dan penyiasatan khususnya dalam kes yang melibatkan intihak al-hurmah (pencerobohan kehormatan seseorang). Tentang perkara ini, Syeikh Abdul Qadir Audah berbahas seperti berikut:
“Ini kerana bagi rumah-rumah manusia itu ada kehormatan; bagi setiap individu itu juga ada kehormatana. Maka tidak boleh seseorang mencabul kehormatan tersebut (dengan mengintip) sebelum maksiat itu dizahirkan… Pengharaman perbuatan mengintip, mencari-cari aib menuntut seseorang insan itu agar jangan mencuri dengar daripada rumah orang lain untuk mendengar bunyi nyanyian dan muzik (yang diharamkan); jangan juga untuk memcium-cium bau untuk mendapatkan bau arak dan ganja. Tidak boleh juga untuk meraba-raba pakaian orang untuk mengetahui apa yang disembunyikan di bawahnya. Tidak boleh memasuki rumah orang untuk mencari apa-apa yang disorok di dalamnya. Bahkan tidak boleh dia bertanya kepada jiran seseorang untuk mengetahui kegiatan jirannya.
Akan tetapi, sekiranya kuat pada prasangka seseorang itu akan cubaan menyembunyikan maksiat oleh seseorang, berdasarkan bukti-bukti yang menunjukkan kepada itu, atau berdasarkan pengkhabaran seseorang yang disangka yang kuat adalah seorang yang jujur seperti dia terbau ganja yang datang daripada rumah seseorang, atau dia mengkhabarkan mendengar bunyi tembakan atau jeritan meminta tolong, atau daripada khabar seseorang yang memang dipercayai kejujurannya bahawa seorang lelaki sedang berkhalwat dengan seorang wanita untuk berzina dengannya atau dengan lelaki untuk membunuhnya, maka dibenarkan dalam keadaan itu untuk mengintip, mencari-cari dan menyiasat, sebagai langkah berhati-hati daripada luputnya suatu kehormatan yang tak mungkin didapati semula dan daripada berlakunya perkara-perkara yang dilarang.” (Rujuk al-Tasyri` al-Jinaie al-Islami, 1/503-504).
Pengecualian ini begitu banyak disebut dalam kitab ulama silam seperti Raudhah al-Tolibin (10/220) oleh Imam al-Nawawi; Asna al-Matolib (4/180) oleh Syeikhul Islam Zakariyyah al-Ansari, bahkan beliau menaskan sebagai wajib untuk diintip; Mughni al-Muhtaj (6/11) oleh Imam al-Khatib al-Syirbini dan Ghayah al-Bayan (hlm.21) oleh Imam Syamsuddin al-Ramli.
Kami kemukakan di sini beberapa hadis yang menunjukkan amalan para salaf tentang bagaimana mereka memahami larangan intipan di dalam al-Quran dan pengecualiannya. Daripada Ibnu Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
اجْتَنِبُوا هَذِهِ الْقَاذُورَةَ الَّتِي نَهَى الله عَنْهَا , فَمَنْ أَلَمَّ فَلْيَسْتَتِرْ بِسِتْرِ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ وَلْيَتُبْ إِلَى اللهِ ، فَإِنَّهُ مَنْ يُبْدِ لَنَا صَفْحَتَهُ نُقِمْ كِتَابَ اللهِ عَلَيْهِ
Maksudnya: “Jauhilah kamu sebarang perbuatan keji yang dilarang Allah. Barangsiapa melakukannya maka hendaklah dia bersembunyi dengan tirai Allah (Sitr di sini membawa maksud tirai atau tabir, yakni bersembunyi dengan pengetahuan Allah atau perbuatan Allah yang tidak membongkarkan perbuatan kita) dan bertaubatlah kepada Allah, kerana sesungguhnya orang yang mendedahkan kepada kami safhah (sijil atau rekod kesalahannya), kami akan laksanakan hukuman (hadd) ke atasnya.”
Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (17601, 17602) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (8158). Beliau berkata hadis mengikut syarat Syaikhan. |
|
|
|
|
|
|
|
Hadis ini memberikan istifadah, antaranya:
Hadis ini menunjukkan bahawa Syariat yang mulia menggalakkan pelaku dosa hendaklah menutup aibnya dan bertaubat daripada dosa antaranya dan Tuhannya kerana sifat Allah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Firman Allah SWT:
وَهُوَ الَّذِي يَقْبَلُ التَّوْبَةَ عَنْ عِبَادِه وَيَعْفُو عَنِ السَّيِّئَاتِ
Maksudnya: Dan Dia lah Tuhan yang menerima taubat dari hamba-hambaNya (yang bertaubat) serta memaafkan kejahatan-kejahatan (yang mereka lakukan);
(Surah al-Syura: 25)
Adalah Rasulullah SAW berpaling daripada yang ikrar serta iktiraf atas dosa mereka seperti kisah Ma’iz bin Malik. Ini bertujuan agar taubat mereka hanya dengan Tuhan mereka. Dengan sebab itulah sabda Nabi SAW kepada Ma’iz dengan kata: “Boleh jadi kamu menciumnya atau boleh jadi kamu melihatnya.” Ini juga menunjukkan sebagai hukuman ta`zir, pemerintah boleh memikirkan pendekatan yang sesuai agar pesalah yang telah membuat percubaan jenayah untuk bertaubat dan memperbaiki diri sendiri sekalipun tanpa hukuman.
Apabila perkara tersebut telah dibawa kepada mahkamah dan dijelaskan hakikat sebenar kepada waliy al-amri atau hakim, maka ketika itu wajiblah kepada hakim yang mewakili pemerintah melaksanakan hukuman hadd sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
فَإِنَّهُ مَنْ يُبْدِ لَنَا صَفْحَتَهُ نُقِمْ كِتَابَ اللهِ عَلَيْهِ
Maksudnya: …kerana sesungguhnya orang yang mendedahkan kepada kami safhah (sijil atau rekod kesalahannya), kami akan laksanakan hukuman (hadd) ke atasnya.”
Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (17601, 17602) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (8158). Beliau berkata hadis mengikut syarat Syaikhan.
Adapun hadis:
أَقِيلُوا ذَوِى الْهَيْئَاتِ عَثَرَاتِهِمْ
Maksudnya: “Maafkanlah ketergelinciran dzawil hai’ah (orang-orang yang baik namanya).”
Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (465), Abu Daud (4377) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (17089).
Imam al-Syafi’i berkata’, aku mendengar ulama’ menafsirkan hadis ini dengan berkata: “Iaitu hukuman terhadap lelaki yang bermaruah boleh diringankan selama mana bukan masalah hadd atau hudud.”
Imam al-Mawardi dalam menafsirkan al-‘asarat (العثرات) berkata padanya terdapat dua wajah:
Pertama: Dosa-dosa kecil.
Kedua: Maksiat pertama yang dilakukan oleh seseorang yang taat.
Sesuatu yang disepakati dalam kalangan manusia bahawa dzawil hai’at (orang-orang yang baik namanya) ialah mereka yang mempunyai tingkah laku yang terpuji, yang memelihara maruah dan akhlak-akhlak yang mulia.
Berikut kami bawakan beberapa contoh hukuman sebat yang pernah dijatuhkan pada zaman para sahabat sebagai ta’zir dalam kes-kes percubaan. Antaranya adalah seperti berikut:
رُفِعَ إلى النُّعْمَانِ بن بَشِيرٍ رَجُلٌ أَحَلَّتْ له امْرَأَتُهُ جَارِيَتَهَا فقال لأَقْضِيَنَّ فيها بِقَضِيَّةِ رسول اللَّهِ لَئِنْ كانت أَحَلَّتْهَا له لأَجْلِدَنَّهُ مِائَةَ جَلْدَةٍ وان لم تَكُنْ أَحَلَّتْهَا له لأَرْجُمَنَّهُ قال فَوَجَدَهَا قد أَحَلَّتْهَا له فَجَلَدَهُ مِائَةً
Maksudnya: “Diangkat kepada al-Nu’man bin Basyir bahawa terdapat seorang lelaki yang isterinya telah menghalalkan hamba sahayanya untuknya. Lalu al-Nu’man berkata: Aku akan menghakiminya dengan penghakiman Rasulullah SAW. Jika isterinya telah menghalalkan hamba sahayanya untuknya maka aku akan menyebatnya seratus kali sebatan, jika isterinya tidak menghalalkannya baginya maka aku akan merejamnya. Lalu al-Nu’man mendapati bahawa isterinya telah menghalalkannya untuknya maka al-Nu’man telah menyebatnya seratus kali.”
Riwayat Ahmad dalam Musnad-nya (no.18421)
|
|
|
|
|
|
|
|
عن ظبيان بن عمارة قال أُتِيَ عَلِيٌّ بِرَجُلٍ وَامْرَأَةٍ، قَالَ رَجُلٌ: إِنَّا وَجَدْنَاهُمَا فِي لِحَافٍ وَاحِدٍ، وَعِنْدَهُمَا خَمْرٌ وَرَيْحَانٌ، قَالَ عَلِيٌّ: «مَرْئِيَّانِ خَبِيثَانِ، فَجَلَدَهُمَا، وَلَمْ يَذْكُرْ حَدًّا»
Maksudnya: “Daripada Zibyan bin Imarah, beliau berkata: Ali telah didatangi dengan seorang lelaki dan wanita. Lalu berkata lelaki (yang lain): Kami temui kedua-duanya dalam satu selimut dan di sisi kedua-duanya arak dan bau arak. Lalu Ali berkata: Dua pemandangan yang buruk. Maka beliau menyebat kedua-duanya tanpa menyebut hudud.”
Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam Musannaf-nya (no.28334)
عن أبي روح أَنَّ امْرَأَةً تَشَبَّهَتْ بِأَمَةٍ لِرَجُلٍ، وَذَلِكَ لَيْلًا فَوَاقَعَهَا وَهُوَ يَرَى أَنَّهَا أَمَتُهُ قَالَ فَرُفِعَ ذَلِكَ إِلَى عُمَرَ قَالَ فَأَرْسَلَ إِلَى عَلِيٍّ فَقَالَ اضْرِبِ الرَّجُلَ حَدًّا فِي السِّرِّ وَاضْرِبِ الْمَرْأَةَ فِي الْعَلَانِيَةِ
Maksudnya: “Daripada Abi Ruh bahawa seorang wanita telah menyerupai hamba sahaya bagi seorang lelaki. Demikian itu pada waktu malam lalu lelaki itu menyetubuhinya kerana menyangka ia adalah hamba sahayanya. Lalu diangkat demikian itu kepada Umar. Umar berkata: Hantarkan ia kepada Ali. Ali berkata: Sebatlah lelaki itu dengan hudud secara tertutup dan sebat wanita itu secara terang-terangan.”
Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam Musannaf-nya (no.28336)
عن جَعْفَرُ بن مُحَمَّدٍ عن أبيه عن عَلِيٍّ أَنَّهُ كان إِذَا وُجِدَ الرَّجُلُ مَعَ الْمَرْأَةِ جُلِدَ كُلُّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا مِائَةً
Maksudnya: “Daripada Ja’far bin Muhammad daripada bapanya daripada Ali bahawa sesungguhnya apabila Ali mendapati seorang lelaki bersama dengan seorang perempuan dalam satu selimut, beliau akan menyebat kedua-duanya seratus kali setiap orang.”
Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam Musannaf-nya (no.28332)
|
|
|
|
|
|
|
|
عَنِ الْقَاسِمِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ، عَنْ أَبِيهِ، قَالَ: أُتِيَ عَبْدُ اللهِ بْنَ مَسْعُودٍ بِرَجُلٍ وُجِدَ مَعَ امْرَأَةٍ فِي لِحَافٍ «فَضَرَبَهُمَا كُلَّ وَاحِدٍ أَرْبَعِينَ سَوْطًا، وَأَقَامَهُمَا لِلنَّاسِ» فَذَهَبَ أَهْلُ الْمَرْأَةِ، وَأَهْلُ الرَّجُلِ فَشَكَوْا ذَلِكَ إِلَى عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ، فَقَالَ عُمَرُ لِابْنِ مَسْعُودٍ: مَا يَقُولُ هَؤُلَاءِ؟ قَالَ: قَدْ فَعَلْتُ ذَلِكَ، قَالَ: أَوَرَأَيْتَ ذَلِكَ؟ قَالَ: نَعَمْ، فَقَالُوا: أَتَيْنَاهُ نَسْتَأْدِيهِ فَإِذَا هُوَ يَسْأَلُهُ "
Maksudnya: “Daripada al-Qasim bin Abdul Rahman daripada bapanya berkata: Abdullah bin Mas’ud telah didatangi seorang lelaki didapati bersama seorang wanita dalam satu selimut. Lalu kedua-duanya telah disebat empat puluh kali dan ia melakukan terhadap kedua-duanya di hadapan orang ramai. Lalu keluarga perempuan dan lelaki itu pergi mengadu hal itu kepada Umar bin al-Khattab. Umar berkata kepada Ibn Mas’ud: Apa yang mereka perkatakan? Ibn Mas’ud menjawab: Aku telah melakukan itu. Umar bertanya: Adakah kamu berpendapat sedemikian? Ibn Mas’ud: Ya. Lalu mereka berkata: Kita menemuinya untuk meminta bantuannya, tiba-tiba dia pula yang bertanya kepadanya (Ibn Mas’ud).”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (no.9694)
عن سَعِيدِ بن الْمُسَيِّبِ وَرُوِّينَاهُ أَيْضًا عَنِ ابْنِ شِهَابٍ قال إنَّ عُمَرَ بن الْخَطَّابِ ضَرَبَ رَجُلاً دُونَ الْمِائَةِ وُجِدَ مع امْرَأَةٍ في الْعَتَمَةِ
Maksudnya: “Daripada Ibn Syihab berkata, bahawa Umar bin al-Khattab menyebat seorang lelaki tidak lebih daripada seratus sebatan yang didapati bersama dengan seorang wanita pada waktu tengah malam.”
Rujuk al-Muhalla (11/403)
عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ رَاشِدٍ قَالَ: سَمِعْتُ مَكْحُولًا، فَحَدَّثَ، أَنَّ رَجُلًا وُجِدَ فِي بَيْتِ رَجُلٍ بَعْدَ الْعَتْمَةِ مُلَفَّفًا فِي حَصِيرٍ: «فَضَرَبَهُ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ مِائَةً»
Maksudnya: “Daripada Muhammad bin Rasyid berkata: Aku mendengar Makhul menceritakan bahawa seorang lelaki ditemui (bersama seorang wanita) di rumah seorang lelaki selepas tengah malam, bergulung di dalam tikar, lalu Umar bin al-Khattab menyebatnya seratus kali.”
Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam Musannaf-nya (no.13638)
عبد الرزاق عن بن جريج عن رجل عن الحسن أَنَّ رَجُلًا وَجَدَ مَعَ امْرَأَتِهِ رَجُلًا قَدْ أَغْلَقَ عَلَيْهِمَا ، وَقَدْ أَرْخَى عَلَيْهِمَا الْأَسْتَارَ " فَجَلَدَهُمَا عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ مِائَةً ، مِائَةً
Maksudnya: “Daripada Hasan bahawa seorang lelaki menemui isterinya bersama seorang lelaki yang telah bertutup atas kedua-duanya dan dilabuhkan kain penutup atas kedua-duanya lalu Umar bin al-Khattab menyebat kedua-duanya seratus seratus.” (HR Ibn Abi Syaibah dalam Musannafnya, 13636)
Jelas daripada riwayat-riwayat di atas bahawa apabila terdapat syubhah terhadap perlakuan zina, maka tiada hukuman hudud yang dikenakan. Namun, pemerintah berhak untuk mengenakan ta’zir bagi mereka yang didapati cuba untuk berzina, atau kesalahan yang dikategorikan seumpamanya seperti musahaqah dan liwat. |
|
|
|
|
|
|
|
Edited by mbhcsf at 22-9-2018 09:10 AM
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Selepas menekuni isu ini dan mentelaahnya dengan mendalam di samping mengadakan muzakarah dengan ashab al-fadilah dan ahli ikhtisas dalam bidang masing-masing, maka kami nyatakan berkenaan dengan isu ini seperti berikut:
Isu yang terjadi di Terengganu, kes tersebut mengikut keseluruhan fuqaha’ bahawa ia termasuk dalam hukuman ta’zir.
Hukum sihaq atau musahaqah adalah haram dengan nas dan ijma’ ulama’ dan wajib dita’zir mengikut pendapat jumhur ulama’ termasuk ulama Syafi’iyyah seperti Imam al-Nawawi dan lain-lain.
Pelaksanaan hukuman ta’zir telah dilakukan oleh Khulafa’ al-Rasyidin dengan ijma’ ulama’. Justeru, ia bukanlah satu perkara yang menjadi kecacatan.
Terdapat hukum dalam Islam yang tidak diketahui hikmah dan falsafahnya dengan detail tetapi akan dapat dirasai apabila pelaksanaan dilakukan dengan penuh keadilan mengikut petunjuk Ilahi dan Nabawi.
Penggunaan logik akal semata-mata dengan sebebas-bebasnya dan seluas-luasnya dengan hukum akal adalah tidak semestinya benar seratus peratus tetapi perlulah dibataskan dengan kehendak hukum wahyu dan hukum sunnah. Justeru, benarlah kata-kata Saidina Ali R.A:
لَوْ كَانَ الدِّينُ بِالرَّأْيِ ، لَكَانَ أَسْفَلُ الْخُفِّ أَوْلَى بِالْمَسْحِ مِنْ أَعْلَاهُ
Maksudnya: Kalaulah agama berdasarkan akal semata-mata, maka di bawah khuf itu lebih utama disapu daripada atasnya.
Riwayat Abu Daud (140) dan al-Baihaqi
dalam al-Sunan al-Kubra (1438)
- Mahkamah telah memutuskan mengikut prosedur dan undang-undang yang diperuntukkan dengan mengambil kira semua aspek. Justeru, kami menghormati apa yang telah diputuskan oleh hakim. Maka kaedah seperti “حُكْمُ الْحَاكِمِ يَرْفَعُ الْخِلَافَ” patut dijunjung dan dipatuhi.
- Pelaksanaan hukuman dilakukan dengan penuh tertib dengan menjaga air muka pesalah dan tatasusila pakaian yang sopan. Begitu juga kehadiran adalah yang dibenarkan oleh pihak berwajib selaras dengan nas Ilahi.
- Kami bersetuju dengan kebijaksanaan pihak Mahkamah Syariah yang melarang sebarang nama, gambar dan video berkenaan kes sebatan melibatkan musahaqah ini didedahkan kepada awam. Ini bagi menjaga air muka pesalah sesuai dengan hukuman yang telah dijatuhkan oleh pihak mahkamah. Jika ditularkan, maka akan menyebabkan pesalah menanggung malu melebihi hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim.
- Kami juga meminta masyarakat agar tidak mencemuh pesalah yang sudah dijatuhi hukuman kerana mereka sudah menyesali perbuatan mereka dan berjuang menjadi lebih baik. Bahkan, perbuatan ini amat dilarang oleh Rasulullah SAW. Baginda sendiri menyebelahi seorang sahabat yang dijatuhkan hukuman sebat akibat kerap minum arak daripada dilaknat oleh orang lain dan baginda mengisytiharkan bahawa sahabat berkenaan mencintai Allah dan Rasul-Nya. Ini menunjukkan konsep rahmat dalam Islam agar masyarakat memberikan sokongan, motivasi, dan dorongan kepada bekas pesalah agar konsisten dengan perubahan ke arah kebaikan, tanpa sikap suka menghukum dan berasa diri mulia.
- Pihak mahkamah boleh memutuskan jumlah kehadiran saksi ketika pelaksanaan hukum dijalankan. Nas dalam mazhab Syafi’e menetapkan sekurang-kurangnya 4 orang. Justeru, masalah ini tertakluk kepada pertimbangan hakim dan mahkamah menurut maslahah.
- Kami telah mendapat sebuah kepastian dan kefahaman yang jelas berkenaan dengan pelaksanaan hukuman sebat serta perbezaan antara sebatan syara’ dengan sebatan sivil.[22]
- Ucapan sekalung tahniah kepada pihak Jabatan Penjara Malaysia yang telah mengeluarkan video sebagai satu pencerahan dan gambaran yang jelas berkenaan pelaksanaan hukum sebat sivil dan hukum sebat Syarak.
- Kami mengambilkira nas-nas fuqaha’ berdasarkan ummahatul kutub serta tokoh agamawan moden dan masa kini yang hampir selari pendapat mereka dalam isu sebatan di Terengganu ini. Justeru, fahm al-nusus yang diistinbatkan oleh para ulama’ telah diiyakan oleh ulama’ yang datang selepasnya.
- Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak bagi Wilayah Persekutuan telah mengadakan mesyuarat pada 21 September 2018 bertempat di bilik syura PMWP dan telah bersetuju dengan Bayan Linnas yang bertajuk Polemik Sebatan Syariah di Terengganu dan menerima sebulat suara kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan serta semua perbahasan yang terdapat padanya.
- Akhir kalam, marilah sama-sama kita menginsafi diri kita sebagai hamba Allah yang mesti menghambakan diri hanya kepada-Nya sahaja. Sesungguhnya kita milik Allah SWT dan kepada-Nya kita kembali. Justeru, kita memohon keampunan daripada-Nya atas sebarang kekurangan dan kesilapan kita.
- رَبَّنَا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّئَاتِنَا وَتَوَفَّنَا مَعَ الْأَبْرَارِ
|
|
|
|
|
|
|
|
Penutup
Sesungguhnya daripada sepenting usul dan dasar masyarakat Islam (Nizam Ijtima’i Islami) ialah mentahqiqkan kehidupan yang baik lagi mulia dalam kalangan manusia yang menghimpunkan kebaikan dunia dan akhirat dan ditegakkan padanya binaan amalan yang soleh sama ada bersifat maadi atau maknawi. Ini kerana kesolehan amal memberi kesan yang besar untuk meraih kebaikan yang sempurna, kebahagiaan dan nikmat terhadap individu dan masyarakat. Benarlah firman Allah SWT:
مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً ۖ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Maksudnya: “Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.”
(Surah al-Nahl: 97)
Maksud dengan hayah tayyibah (حَيَاة طَيِّبَة) ialah kesempurnaan, kebahagiaan, kesenangan, sifat qana’ah dan cukup daripada bergantung kepada yang lain sebaliknya sentiasa mengharapkan kepada Allah SWT. Begitu juga jauh daripada kesempitan jiwa dan keletihan. Abdullah al-Tustari berkata: “Kehidupan yang baik di mana seorang hamba dicabut daripada terbelenggu dengan urusannya sendiri tetapi kembali kepada Allah Rabb al-‘Alamin.”
Peranan kerajaan dalam mentahqiqkan kehidupan yang baik terzahir dengan perancangan yang rapi untuk menyempurnakan ketenangan, kemewahan dan kesenangan iqtisadi melalui usaha pembinaan kilang, perniagaan, pertanian yang menjadi seutama pekerjaan dalam Islam. Begitu juga membuka ruang seluas-luasnya harapan dan cita-cita untuk memberi peluang pekerjaan supaya dapat menghilangkan pengangguran.
Tambahan pula diluaskan skop pengajaran dan pendidikan agama serta akhlak sehingga para penduduk telah merasa tsiqah, aman dan tenang kerana dapat menolak sebarang bentuk musuh, menghukum dan mendidik pelaku kesalahan serta setiap mana-mana pintu fitnah dan juga godaan yang membawa kepada penyelewengan. Kerajaan hendaklah menutup sebarang bentuk pintu kejahatan dan kerosakan sebagaimana yang telah diserlahkan dalam sirah Khulafa’ al-Rasyidin dan pada zaman era kegemilangan negara Islam. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 8/6395-6397)
Syed Qutb dalam isu zina berkata: “Di sini Islam mengikut jalan dan caranya dalam membersihkan masyarakat. Dalam tindakan pertamanya, Islam memilih cara mengasingkan perempuan-perempuan yang melakukan kejahatan-kejahatan seks dan menjauhkan mereka dari masyarakat apabila mereka thabit melakukan kejahatan itu dan menyeksakan lelaki-lelaki yang melakukan kejahatan seks yang abnormal, iaitu melakukan perbuatan liwat atau hubungan sejenis (homoseks).
Di sini al-Quran tidak menentukan jenis dan kadar penyeksaan itu. Kemudian selepas itu Islam memilih cara menghukumkan perempuan-perempuan dan lelaki-lelaki itu dengan satu hukuman yang sama sahaja iaitu hukuman zina sebagaimana telah diterangkan di dalam ayat Surah al-Nur iaitu hukuman sebat dan sebagaimana telah diterangkan oleh al-Sunnah iaitu hukuman rejam. Matlamat akhir dari kedua-dua hukuman ini ialah memelihara masyarakat dari kecemaran seks dan memeliharanya agar sentiasa bersih dan mulia.
Dalam setiap keadaan dan dalam setiap hukuman, undang-undang Islam mengadakan jaminan-jaminan supaya tidak berlaku kezaliman, kesilapan dan mempersalahkan seseorang berdasarkan prasangka dan kekeliruan di dalam hukuman-hukuman yang berat yang memberi kesan yang berat di dalam kehidupan manusia. (Lihat Tafsir fi Zilal al-Quran, 3/217-218)
Semoga Allah mengurniakan kepada kita kefahaman Islam yang sebenarnya dan menjadikan negara kita Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur. Amin.
Akhukum fillah,
SS Dato' Seri Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
21 September 2018 bersamaan 11 Muharram 1440H |
|
|
|
|
|
|
| |
|