Edited by FOTHER-MUCKER at 18-2-2019 07:49 PM
Misteri rangka remaja mencangkung Mesir
SEBUAH bengkel purba berusia ribuan tahun yang digunakan untuk membina dan membaiki kapal ditemukan di Semenanjung Sinai, baru-baru ini. Gambar kecil, rangka misteri seorang remaja perempuan yang tertanam dalam kedudukan mencangkung ditemukan di sebuah piramid berusia 4,600 tahun dekat Kaherah, baru-baru ini. AGENSI14 Februari 2019 3:00 AM
KAHERAH 13 Feb. - Sekumpulan ahli arkeo logi Mesir menemukan rangka misteri seorang remaja perempuan yang tertanam dalam kedudukan mencangkung bersama dua tengkorak lembu jantan di sebuah piramid berusia 4,600 tahun dekat sini.
Mail Online melaporkan, rangka remaja berusia 13 tahun itu ditemukan di dalam sebuah makam di sebalik sisa kemusnahan Piramid Meidum, kira-kira 96 kilometer dari Kaherah. Namun, bila dan bagaimana remaja itu mati masih menjadi tanda tanya ketika pakar memaklumkan tapak penemuan tersebut wujud sejak dinasti ketiga, kira-kira 4,600 tahun yang lalu.
Menurut Kementerian Antikuiti Mesir, tengkorak dua ekor lembu berserta tiga bekas seramik yang didakwa digunakan untuk upacara pengebumian turut ditemukan berdekatan rangka berkenaan. Kerja-kerja pembinaan piramid itu dipercayai bermula semasa pemerintahan Firaun Huni, pemerintah terakhir dinasti ketiga sebelum diteruskan firaun pertama dinasti keempat, Sneferu.
Sebelum ini, makam Putera Nefar-Maat, anak sulung Sneferu juga ditemukan di tapak yang sama. Dalam perkembangan lain, Kementerian Antikuiti Mesir turut menemukan sebuah bengkel purba berusia ribuan tahun yang digunakan untuk membina dan membaiki kapal di Semenanjung Sinai.
Bengkel yang dibina sejak Dinasti Ptolemaic itu ditemukan semasa kerja-kerja penggalian di tapak arkeologi Tel Abu. Dua halaman membaiki dan membina kapal turut ditemukan dalam bengkel itu. – AGENSI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/misteri-rangka-remaja-mencangkung-mesir-1.840322#ixzz5fwfx5tR6
© Utusan Melayu (M) Bhd
|