Wong Choong Hann yang tidak bergejala sedang menjalani kuarantin kendiri mengikut protokol ditetapkan pihak berkuasa. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann didapati positif COVID-19 selepas menjalani ujian saringan.
Beliau yang tidak bergejala kini menjalani kuarantin kendiri mengikut protokol ditetapkan Kementerian Kesihatan, Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara.
Menurut kenyataan dikeluarkan BAM, 39 pemain dan jurulatih yang menjalani ujian swab mandatori prapertandingan didapati negatif, kecuali Choong Hann.
Bagaimanapun, pasukan badminton Malaysia diberi kebenaran untuk berlepas ke Bangkok, Thailand untuk menyertai pertandingan Jelajah Peringkat Asian Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang dijadualkan esok.
“Pemain Malaysia kekal komited dan bertekad memberikan yang terbaik buat negara. Selain itu, menjadi hasrat Choong Hann melihat pemain menerapkan kerja keras mereka sepanjang latihan berbulan-bulan di Akademi Badminton Malaysia dan bertanding dalam kejohanan pertama mereka di Thailand.”
Pasukan Malaysia akan menjalani kuarantin sehingga 11 Jan ini seperti dikehendaki dalam kejahonan Terbuka Thailand Yonex dari 12 hingga 17 Jan, diikuti Terbuka Thailand Toyota dari 19 hingga 24 Jan ini.
Mereka juga perlu menjalani ujian swab bersiri selepas tiba di negara itu pada hari keempat, kesembilan, ke-13 dan ke-18 di Thailand.
Jika layak ke final Jelajah Dunia BWF, ujian swab akan dilakukan lagi pada hari ke-22 dan ke-26 sebelum pulang dan pasukan negara juga akan menjalani saringan tiga hari sebelum berlepas pulang.
BAM berkata, proses sanitasi dilakukan secara teliti di ABM Bukit Kiara awal hari ini. |