CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1327|Reply: 1

[SABAH] Revolusi Jesselton: Sabah Pernah Bermandi Darah

[Copy link]
Post time 21-1-2021 04:11 PM | Show all posts |Read mode

Jesselton, yang kini dikenali sebagai Kota Kinabalu, adalah bandar pentadbiran British di Borneo Utara ketika Jepun menyerang. (Gambar Wikipedia)


FMT

Noel Wong

Tanggal 21 Jan, 1944, bumi Sabah bertukar suram apabila seramai 176 orang awam dijatuhi hukuman mati beramai-ramai oleh Tentera Jepun kerana keberanian mereka melancarkan pemberontakan.

Hari ini, nama Albert Kwok dan Revolusi Jesselton tidak disebut dalam sukatan pelajaran sejarah, hakikat yang cukup menyedihkan bagi rakyat Sabah.

Kisah pemberontakan terhadap penjajahan Jepun, yang berlangsung selama tiga bulan itu, adalah momen luar biasa. Ia membabitkan tentangan terbuka sekumpulan orang awam terhadap kekejaman penjajahan tentera dalam sejarah Malaysia.

Turut dikenali sebagai ‘Kejatuhan Revolusi Kesepuluh’, pemberontakan unik itu menyaksikan pembabitan berbilang etnik, selain rakyat Sabah yang berlainan bangsa bersatu hati mengangkat senjata melawan Jepun.

Keberanian dan semangat yang ditunjukkan pemberontak, memaksa tentera Jepun menyusun strategi untuk menyerang balas serta menghukum rakyat Sabah yang menentang mereka dengan kejam.

Jesselton, yang kini dikenali sebagai Kota Kinabalu, adalah ibu kota pentadbiran British di Borneo Utara ketika Jepun menyerang. Bandar ini diduduki oleh tentera Jepun pada 8 Jan 1942.

Sewaktu pendudukan Jepun, umum mengetahui penderitaan yang harus dilalui terutama orang awam, sekali gus mencetus kebencian yang meluap terhadap penjajah.


Albert Kwok yang lahir di Kuching merupakan seorang doktor yang pernah berkhidmat di China semasa Perang Sino-Jepun Kedua. (Gambar Wikipedia)


Antara mereka yang cukup terkesan adalah seorang doktor berbangsa Cina, Albert Kwok, yang pernah berkhidmat untuk Kuomintang dalam Perang Sino-Jepun Kedua di China.

Tidak lama setelah Jepun menduduki Jesselton, Kwok menjalin hubungan dengan kumpulan pemberontak Filipina dan terdorong untuk menerajui kumpulan pembebasan Borneo Utara.

Dengan sokongan pasukan bersekutu, beliau menubuhkan kelompok penentangnya sendiri, dikenali sebagai ‘Angkatan Pertahanan Gerila Kinabalu’.

Kumpulan yang sebahagian besarnya dianggotai orang awam Cina, akhirnya turut disertai suku orang asli Sabah, setelah merasa waspada terhadap keterlaluan penjajah Jepun.

Penduduk dari semua lapisan masyarakat termasuk petani, pegawai polis, birokrat dan nelayan bersatu dengan satu keinginan untuk melihat Jepun diusir dari Sabah.

Walau berbekal semangat yang tinggi, pasukan itu tidak dilengkapi senjata mencukupi, hanya beberapa senjata api dengan kebanyakannya bergantung pada tombak, parang dan keris, ketika mereka melancarkan pemberontakan pada 9 Okt 1943.

Apa yang mengagumkan, mereka berjaya membebaskan Jesselton, Tuaran dan Kota Belud, termasuk membunuh puluhan tentera Jepun.

Semua kaum di Sabah menyertai perjuangan itu, termasuk pelaut hebat seperti Bajau dan Suluk yang menyediakan kapal untuk membantu serangan terhadap Jepun.


Selepas pemberontakan, Jesselton dibedil oleh Pihak Perikatan pada 1945. (Gambar Australian War Memorial)


Orang Dusun dan Murut turut serta berperang dengan berani di barisan hadapan, bersama orang India dan Sikh yang sebelumnya pernah bertugas sebagai pegawai polis di bawah pemerintahan Inggeris.

Namun, kejayaan yang diraih tidak bertahan lama apabila penjajah Jepun yang marah dengan kelancangan penentang, mula menyusun serangan balas.

Dengan ketibaan bantuan bala tentera dari Kuching, Jepun mula melancarkan serangan udara ke atas Jesselton dan kawasan sekitarnya.

Kwok dan pengikutnya terpaksa berundur dan berlindung di kawasan tanah di Menggatal untuk meneruskan perjuangan.

Akibat kecewa dan marah, Jepun terus membalas serangan dengan mengebom bandar-bandar di pesisir dan kampung-kampung serta sesuka hati melepaskan tembakan rambang terhadap orang awam yang cuba melarikan diri.

Kampung-kampung dibakar, dengan lebih 3,000 penduduk yang tidak bersalah dibunuh, terutama etnik Bajau dan Suluk yang cukup dibenci kerana pembabitan mereka dalam pemberontakan.

Kwok tidak dapat meneruskan perjuangannya selepas tentera Jepun menghantar mesej mengancam akan membunuh 400 orang awam di Lembah Shantung jika dia tidak menyerahkan diri.

Enggan melihat insan yang tidak berdosa menderita, Kwok bersama anggota tertinggi Gerila Kinabalu menyerah diri.

Sikap Jepun yang tiada belas belas kasihan bukanlah sesuatu yang mengejutkan, pada 21 Jan, Kwok dan 175 anggota yang kebanyakannya orang awam, dibunuh dengan kejam di Petagas.

Menurut seorang saksi, walau sedang berdepan maut, dalam keadaan berlutut di hadapan parit yang berair, tiada langsung riak gentar di wajah Kwok dan pengikutnya, jauh sekali merayu untuk diampunkan.

Kaedah hukuman yang dilaksanakan cukup sadis. Sebahagian tahanan ditanam hidup-hidup manakala yang lain ditikam dengan bayonet sehingga terkeluar isi perut.

Walaupun pemberontakan berjaya dipatahkan, Jepun yang semakin menggila, memilih untuk terus melakukan kekejaman terhadap seluruh penduduk Sabah.

Orang Suluk, terutamanya lelaki, yang kebanyakannya mendiami pulau-pulau di pesisiran, menjadi sasaran utama penjajah dalam operasi yang dikenali sebagai ‘pembunuhan beramai-ramai secara sistematik’.

Penduduk lain turut diseksa polis rahsia Jepun atau Kempeitai untuk mendapatkan maklumat, tidak kira sama ada mereka tahu atau tidak.

Kekejaman yang tidak berkesudahan itu sampai kemuncaknya apabila dalam satu kejadian, wanita dan anak-anak kecil Suluk ditembak secara rambang menggunakan mesingan di sebuah masjid.


Pulau Dinawan, antara pulau yang kekurangan penduduk akibat dibunuh oleh tentera Jepun. (Gambar Trip Advisor)


Sejumlah 120 penduduk di pulau Dinawan, yang tidak terbabit dengan pemberontakan, hanya berbaki 54 orang selepas semua lelaki di pulau itu dibunuh.

Di beberapa pulau lain, jumlah penduduk turut menyusut selepas Jepun melenyapkan semua lelaki yang ditemui selain membakar kediaman mereka.

Tentera Jepun turut membawa wanita dan kanak-kanak yang masih hidup ke pulau-pulau yang terasing dan meninggalkan mereka sehingga mati kebuluran.

Dianggarkan kira-kira 3,500 orang terbunuh ketika serangan balas berdarah penjajah.


Tugu Peringatan Petagas untuk mangsa-mangsa yang terkorban akibat perang. (Gambar Uwe Aranas)


Selepas kekalahan Jepun, sebuah tugu peringatan dan tanah perkuburan khas untuk korban didirikan di Petagas dan masih berdiri teguh sehingga hari ini.

Pada salah satu plat epitaph terukir kata-kata yang bermaksud, ‘Tiada cinta yang lebih besar dari ini, selain cinta insan yang sanggup menggadaikan nyawa untuk negaranya’.

Mungkin, suatu hari nanti, kisah keberanian anak jati Sabah ini akan terpahat di hati seluruh rakyat Malaysia sebagai peringatan, bahawa wujud perpaduan kaum di kala negara berdepan kesukaran.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 21-1-2021 05:03 PM | Show all posts
kalau masuk sukatan sejarah alamat sejarah kaka dapat c minus . alangkah parameswara jumpa anjing tendang myvi di pohon melaka tu pun hafal sambil menulis baru ingat perjalanan dari temasik ke melaka
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

10-11-2024 03:27 PM GMT+8 , Processed in 0.170455 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list