|
Cubaan melarikan diri gagal, 15 dicekup sabung ayam di Bintulu
Kesemua lelaki tersebut ditahan ketika leka menyabung ayam di kawasan Sungai Sebutin Tubau petang Ahad. - Gambar ihsan polis
BINTULU: Polis menangkap 15 lelaki berumur 19 hingga 69 tahun yang leka menyabung ayam di kawasan Sungai Sebutin Tubau, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah menghampiri gelanggang sabung ayam berkenaan secara perlahan-lahan sebelum melakukan serbuan sekitar jam 3 petang.
"Pada mulanya, kesemua suspek yang terkejut disergah polis cuba untuk meloloskan diri, namun berjaya dikepung sebelum diberkas," ujarnya dalam satu kenyataan.
Menurut Zulkipli, turut dirampas ialah lima ekor ayam sabung yang masih hidup, tiga ekor ayam sabung mati, penimbang, dua bilah taji ayam, pen dan papan tulis sebagai bahan bukti kes.
Kesemua tangkapan dan rampasan katanya akan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan Penganiayaan Terhadap Binatang 1962.
Katanya, jika disabit salah, kesemua suspek berhadapan dengan hukuman penjara tiga bulan atau denda sebanyak RM1,000.
"Kesemua suspek kemudiannya dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bintulu untuk siasatan lanjut," tambah beliau.
oleh
Ambrose Rirang
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|