Pemain boling wanita kebangsaan, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman. - Foto NSTP/Danial Saad.
Berita Harian
Helmi Talkah
[email protected]
KUALA LUMPUR: Pemain boling negara, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman berharap latihan skuad boling kebangsaan tidak lagi terganggu, selepas mereka diberi 'lampu hijau' semalam.
Skuad boling negara kembali berlatih di Sunway Megalanes, Petaling Jaya selepas latihan tertangguh selama sebulan setengah susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 13 Januari lalu.
Siti Safiyah, 30, yang turut membarisi pasukan wanita negara ketika muncul juara Kejohanan Dunia 2017 mengakui agak kekok ketika kembali memulakan latihan. Saya rasa kekok sebab sudah lama tidak bermain.
"Jari semua sudah kecut. Harapnya kali ini dapat teruskan latihan tanpa berhenti lagi," katanya.
Skuad boling negara diberi kebenaran untuk kembali berlatih menerusi pendekatan kuarantin dengan 19 atlet menjalani latihan di rumah manakala 16 lagi menetap di asrama Majlis Sukan Negara (MSN).
Kedua-dua kumpulan menjalani latihan pada waktu yang berbeza dan tidak boleh bertembung antara satu sama lain bagi mengekang penularan COVID-19.
Sementara itu, seorang lagi pemain negara, Timmy Tan teruja dapat kembali berlatih bersama rakan sepasukannya.
"Saya rasa seronok dapat kembali, tidak sabar untuk menerima bimbingan jurulatih bagi meningkatkan prestasi saya sebab dah lama berhenti," katanya yang meraih pingat emas perseorangan dan berpasukan lelaki pada Sukan SEA 2019. |