|
7 Pelajaran Yang Anak Anda Perlu Tahu Tentang Kewangan
Masih tidak terlewat untuk sesiapa sahaja belajar tentang pengurusan kewangan, yang mana, ia akan menjadikan anda orang tua yang bertanggungjawab dalam kewangan. Kebanyakan sekolah tidak ajar anak anda tentang urusan kewangan, jadi ia adalah tanggungjawab anda untuk ajar anak sebaik mungkin. Jika anda ingin bantu anak-anak menjadi orang yang berjimat-cermat, mula ajarkan 7 pelajaran tentang kewangan kepada anak anda.
1. WANG PERLU DIUSAHAKAN
Dalam keadaan ekonomi yang mendesak kini, membesarkan anak dengan hanya memberi segala-segalanya tanpa usaha daripada mereka akan menimbulkan masalah buat anak-anak sendiri dalam aspek kerja keras. Saya tak maksudkan anda perlu membayar anak anda untuk setiap kerja rumah yang dilakukannya, namun didiklah mereka untuk bantu bungkus produk untuk di pos kepada pelanggan, bantu buka meja di pasar malam, teman anda beli stok jualan, jika anak sudah cukup besar, ajar mereka potong rumput rumah jiran, atau basuh kereta.
2. KEMAHUAN VS KEPERLUAN
Kanak-kanak perlu faham, keperluan adalah lebih utama daripada kemahuan. Jika mereka inginkan mainan atau permainan komputer dan kewangan kita agak terhad, jelaskan kepada mereka bahawa wang adalah sumber terhad, pakaian dan makanan lebih utama untuk dibelanjakan.
3. KEHEBATAN SABAR
Setkan beberapa peraturan mudah. Setiap Rm5 yang anak anda dapat, sekurang-kurangnya 50 sen mesti disimpan. Sediakan 3 buah tabung, tabung simpanan, tabung perbelanjaan, dan tabung derma. Tak perlu arahkan anak anda masukkan wang 50sen tersebut ke dalam tabung derma, namun, seringkali beritahu anak bahawa ada rakan-rakan di luar sana yang nasib mereka kurang baik, jadi memberi sesuatu sudah tentu ia satu perkara yang sangat baik untuk diamalkan. Sebulan sekali, ajak anak anda lihat hasil simpanan mereka, ajar kehebatan sabar. Jelaskan pada mereka bahawa menabung adalah untuk masa depan, kegembiraan adalah di masa depan, bercuti dengan keluarga adalah suatu yang menyeronokkan.
4. BELI KERANA NILAI
Apabila anak sudah faham asas matematik, kurang dan tambah, bawa mereka beli barang-barang rumah dan libatkan mereka dalam pengiraan harga dan pemilihan barang-barang yang dibeli. Tunjukkan dua barang yang sama tapi berbeza harganya, tanyakan mereka yang mana adalah pilihan yang lebih baik.
5. BUKAN SEMUA KAMU BOLEH DAPAT
Setiap orang berhak berbelanja besar sekali-sekala. Namun, membeli semua yang kita mahu boleh memberi masalah yang besar dalam kewangan kita. Bawa anak anda ke sebuah kedai mainan, berikan RM10 dan biarkan anak beli apa sahaja yang mereka mahu selagi masuk dalam bajet tersebut.
6. BARANG LAMA = WANG
Apabila anak membesar, baju-baju dan alat permainan akan dibiarkan begitu sahaja. Ajak anak buat lelongan barang atau ‘car boot sale’ di halaman rumah atau tempat tertentu. Gunakan masa ini untuk kurangkan barang lama dalam rumah. Buku-buku lama juga boleh dikitar semula dan barang-barang yang selebihnya boleh diberikan pada sesiapa yang memerlukan.
7. MEMBERI ITU SUNGGUH INDAH
Suatu hari, belikan hadiah buat anak. Kemudian tanyakan mereka apa perasaan mereka. Selepas anak ceritakan kegembiraan itu, jelaskan kepada anak bahawa ada keluarga yang tiada wang untuk membeli barang yang mereka sukai. Beritahu anak anda bahawa kanak-kanak sekian-sekian (yang anda kenal) tidak mampu untuk miliki barang sebegini. Bawa anak ke kedai, berikan sejumlah wang, beritahu umur kanak-kanak tersebut, biarkan anak pilih hadiah yang dirasakannya sesuai untuk umurnya. Dengan cara ini, anak anda akan jadi lebih bersyukur dengan apa yang ada dan hargai hidupnya sekarang. Kelak mereka boleh menjadi orang dewasa yang pemurah.
Anda bagaimana? Adakah anda ajarkan anak anda tentang kewangan? Adakah ada langkah-langkah yang anda telah buat dalam artikel 7 Pelajaran Yang Anak Anda Perlu Tahu Tentang Kewangan ini?
Sumber:http://wanitakelantan.com
|
|