Edited by Vellfire at 11-7-2021 04:25 AM
Sabah kekal dengan keputusan benarkan dine-in
KOTA KINABALU:Kerajaan Negeri kekal dengan keputusan membenarkan Dine-in di dalam restoran, kedai makan dan premis hotel di Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, arahan untuk membenarkan aktiviti itu dikuatkuasakan Kerajaan Negeri pada 29 Jun lalu. "Ia dikuatkuasakan berikutan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 masih berkuatkuasa. Ini pendirian kita,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Sabah akan beralih ke fasa kedua PPN berkuat kuasa pada 10 Julai 2021 berdasarkan pencapaian nilai ambang tiga indikator utama yang ditetapkan.
Beliau berkata, peralihan itu dilakukan berdasarkan penelitian semua agensi terlibat termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdasarkan nilai-nilai ambang negeri ini.
“Maklumat lanjut mengenai semua kebenaran yang ditetapkan bagi fasa 2 boleh dirujuk di laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my,” katanya.
Menurutnya, sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju membuat peralihan ke fasa kedua PPN di Sabah.
Katanya, tiga indikator perlu dipatuhi bagi membolehkan peralihan ke fasa dua PPN iaitu purata kes harian COVID-19 menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) pada paras sederhana dan kadar vaksinasi bagi penduduk yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 10 peratus.
Sebelum ini, enam negeri sudah beralih ke Fasa 2 iaitu Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang, Perlis dan Pulau Pinang seterusnya membenarkan negeri-negeri terlibat menikmati pelbagai kelonggaran dalam fasa kedua PPN.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 15 Jun lalu mengumumkan pelaksanaan PPN sebagai strategi peralihan keluar menerusi empat fasa daripada krisis wabak COVID-19.
utusan borneo 2021-07-10T11:04:21+08:00
|