[size=0.8]Oleh Safuri Kamarudin. - Ogos 21, 2021 @ 2:26pm[email protected]
Gajah liar ditangkap oleh anggota PERHILITAN di Kampung Bukit Hijau, Kupang, Baling, Kedah semalam. - Foto ihsan pembaca
BALING: Gajah jantan yang berkeliaran di hutan Kampung Bukit Hijau, Kupang dekat sini ditangkap pagi semalam dan dijangka dipindahkan ke Hutan Simpan Belum, Temengor, Perak.
Pengarah PERHILITAN Kedah, Jamalun Nasir Ibrahim, berkata pihaknya menerima aduan daripada penduduk mengenai seekor gajah liar yang merosakkan tanaman menyebabkan penduduk bimbang untuk ke kebun.
Susulan itu, sembilan anggota Unit Tembak Gajah (UTG) Kedah dan Baling menjalankan operasi dan gajah berkenaan ditangkap pada jam 10 pagi.
"Gajah jantan berusia antara 18 hingga 20 tahun itu sihat. Ia ditambat di hutan berkenaan sementara menunggu gajah denak yang dijangka tiba Isnin ini," katanya dihubungi hari ini.
Jamalun berkata, gajah liar berpindah dari satu tempat ke tempat lain untuk mencari makanan, tetapi apabila kawasan habitatnya diceroboh akibat projek pertanian atau pembangunan, mereka akan masuk ke kampung.
"Kumpulan haiwan liar ini dikesan bergerak dari Hutan Simpanan Ulu Muda dan Gunung Inas, selain turut memusnahkan banyak tanaman penduduk seperti pisang, kuinin, durian, kelapa, dokong dan kelapa sawit," katanya.