[size=0.8]Oleh Zuliaty Zulkiffli - Ogos 22, 2021 @ 4:53pm[email protected]
YAN: Mangsa kelima tragedi kepala air yang berlaku Rabu lalu, ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon, berkata pasukan mencari dan menyelamat (SAR) 4 dan SAR 6 menemui mayat bekas imam, Ku Shuib Ku Abdullah, 91, di bawah timbunan kayu pada jam 3.23 petang.
Beliau berkata, mayat mangsa dikeluarkan pada jam 3.28 petang dan masih dalam keadaan baik.
"Mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
"Usaha mencari seorang lagi mangsa masih diteruskan di sekitar Batu Hampar dan Titi Hayun," katanya ketika ditemui di lokasi.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Yan untuk pemeriksaan lanjut.
Dalam kejadian Rabu lalu, empat orang disahkan meninggal dunia dalam kejadian banjir dan kepala air di Gunung Jerai menyebabkan banjir lumpur di Yan dan Merbok.
Mangsa yang meninggal dunia adalah Ahmad Din, 68, yang ditemui di Kampung Setol, manakala mangsa kedua, Shahruzi Mohamad, 53, ditemui di Kilometer 8, Gunung Jerai pada jam 11 malam hari kejadian.
Mangsa ketiga, Zainol Morad, 66, ditemui di Kampung Titi Hayun dan mangsa keempat, Mohamad Faizal Mohd Zohir, 28, ditemui di Kampung KEDA Sungai Udang, Khamis lalu.
Pasukan SAR membaca doa untuk Ku Shuib yang ditemui di Puteri Ayu Chalet, Batu Hampar. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Pasukan SAR mengusung keluar mayat Ku Shuib. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Pasukan keselamatan melakukan kerja pencarian Ku Shuib. - NSTP/Luqman Hakim Zubir