[size=0.8]Oleh Zuliaty Zulkiffli - Ogos 22, 2021 @ 7:56pm[email protected]
Anggota pasukan penyelamat melakukan pencarian mangsa di lokasi di Titi Hayun. - Foto NSTP
YAN: Mayat mangsa kelima tragedi banjir dan tanah runtuh akibat fenomena kepala air, Ku Shuib Ku Abdullah, 91, ditemui pada jarak kira-kira 1.5 kilometer dari rumahnya di Batu Hampar, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar, berkata mangsa kelima itu ditemui jam 3.17 petang tadi oleh pasukan penyelamat yang melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Dengan penemuan mayat itu, katanya, memberi sedikit petunjuk modus operandi pada operasi hari keenam esok pagi akan dilakukan sama seperti hari ini.
"Kita akan gunakan teknik sama dengan pencarian di bawah timbunan kayu seperti hari ini.
"Mayat Ku Shuib dihantar ke Hospital Yan untuk proses pengecaman dan bedah siasat," katanya ketika ditemui di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Titi Hayun hari ini.
Shahnaz berkata, rumah Ku Shuib terletak di Salak Denai dan ketika kejadian jam 4.30 petang Rabu lalu itu mangsa gagal menyelamatkan diri kerana uzur dan dilaporkan hilang.
"Untuk pencarian SAR di laut kita akan teruskan pencarian namun akan menambah aset iaitu bot kecil serta kayak untuk menyusuri laluan yang sukar ditempuhi.
"Dengan penemuan mangsa kelima hari ini, kita mengesyaki ada kemungkinan mangsa keenam turut berada di bawah timbunan kayu," katanya.
Empat lagi mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian banjir dan tanah runtuh akibat fenomena kepala air itu adalah Ahmad Din, 68, Shahruzi Mohamad, 53, Zainol Morad, 66, dan Mohamad Faizal Mohd Zohir, 28.