[size=0.8]Oleh Zuliaty Zulkiffli - September 1, 2021 @ 9:07am[email protected]
ALOR SETAR: Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dipanggil untuk membantu seorang wanita yang tertusuk besi di tangan kanan di bilik air rumahnya di Jalan Langgar, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata pihaknya menerima panggilan khidmat khas menyelamat itu pada jam 7.14 pagi tadi.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Alor Setar yang diketuai Fisol Kadir tiba di lokasi jam 7.22 pagi.
"Setibanya di lokasi didapati terdapat seorang wanita berusia 23 tahun berada dalam bilik air dengan keadaan pergelangan tangan kanan mangsa telah tertusuk serpihan besi sepanjang 5.08 sentimeter (dua inci).
"Tindakan awal yang dilakukan anggotanya adalah dengan memberi rawatan awal sebelum menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan besi berkenaan dari tangan mangsa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohamadul Ehsan berkata, mangsa yang mengalami kecederaan luka terbuka hampir satu inci pada tempat tusukan itu.
Beliau berkata, komander operasi kemudian memaklumkan mangsa dibawa ke sebuah hospital swasta oleh keluarganya bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.
"Operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.41 pagi," katanya.