[size=0.8]Oleh Zuliaty Zulkiffli - September 1, 2021 @ 8:42am[email protected]
Anggota bomba dengan bantuan penduduk kampung melakukan pencarian lelaki yang dipercayai hilang di Kampung Alor Yoi, Nai Teh.- Foto NSTP/Ihsan Bomba
PADANG TERAP: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang dipercayai tersesat selepas memasuki kawasan hutan berhampiran rumahnya di Kampung Alor Yoi, Nai Teh, di sini sejak awal pagi semalam ditemui selamat.
Mangsa, Mohd Faizal Harun, 37, yang juga mempunyai masalah mental itu dipercayai pulang ke rumahnya pada jam 11.08 malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata lelaki itu ketika ditemui dalam keadaan lemah dan mengalami luka kecil pada badan.
Beliau berkata, dia kemudian dihantar ke Hospital Kuala Nerang untuk menjalani ujian saringan COVID-19 namun hasil keputusannya mendapati dia negatif.
"Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat dilakukan anggota Bomba bersama penduduk kampung pada radius jarak kira-kira 500 meter dari kediamannya selepas kali terakhir dilihat keluar dari rumah berkenaan jam 4.30 pagi semalam.
"Operasi pencarian menemui petunjuk berdasarkan penemuan pakaian yang dipercayai milik lelaki berkenaan berhampiran tali air pada jarak 200 meter arah utara dari rumahnya dan operasi pencarian diteruskan jam 10.23 malam tadi," katanya.
Bagaimanapun, komander operasi menerima laporan yang lelaki itu ditemui pulang ke rumahnya pada jam 11.08 malam ketika operasi mencarinya sedang dilakukan.
Katanya, berikutan itu, operasi tamat sepenuhnya jam 12.30 tengah malam selepas mangsa yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental itu ditemui.
Dalam kejadian semalam, Mohd Faizal dilaporkan hilang sekitar jam 4 pagi semalam dan dipercayai memasuki hutan berhampiran rumahnya dan tersesat.
Phak bomba bersama penduduk kampung melakukan pencarian di sekitar kawasan itu selepas menerima laporan kehilangannya jam 4.52 petang semalam.