Butterworth: Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movac) membabitkan golongan penjaja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Dato' Haji Ahmad Badawi, di sini, hari ini dikesan mengabaikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Ia berikutan kehadiran orang ramai di luar jangkaan hingga menyebabkan berlaku kesesakan, sekali gus tidak menjaga penjarakan fizikal.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, beliau segera mengambil tindakan awal dengan mengarahkan anggota dari Balai Polis Butterworth bersama polis bantuan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk mengawal kesesakan berkenaan.
"Beberapa tindakan diambil supaya penjaja dapat beratur dengan mengamalkan penjarakan fizikal dan patuh kepada SOP ditetapkan.
"Kami dimaklumkan program ini akan berlangsung sehingga esok dan menasihati penjaja supaya merancang terlebih dahulu supaya dapat mengelak kesesakan.
"Tolong ikuti arahan dikeluarkan petugas di PPV bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak lagi berulang," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai kesesakan di PPV itu apabila terdapat deretan penjaja beratur untuk mendapat suntikan vaksin.
Dalam pada itu, Noorzainy berkata, polis menasihati orang awam supaya tidak lagi menularkan kejadian yang boleh menimbulkan kegusaran dan kebimbangan masyarakat setempat.