Kepala Batas: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat aduan awam mengenai kelewatan Telekom Malaysia (TM) menaiktaraf pelanggan Streamyx ke Unifi di Kampung Lahar Tiang, di sini, melalui satu pertemuan pada Sabtu lalu.
Jabatan Komunikasi Korporat SKMM dalam satu kenyataan berkata, pertemuan itu diadakan antara SKMM Pulau Pinang bersama dengan wakil TM, pengadu dan wakil penduduk kampung terbabit.
Menurutnya, pertemuan berkenaan membolehkan jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah berkaitan isu naik taraf pelanggan Streamyx ke Unifi dapat diambil.
"Untuk mengatasinya, kerja menaiktaraf liputan jalur lebar tetap di kampung itu dan kawasan berhampiran sedang dijalankan dan dijangka dapat disiapkan pada pertengahan bulan hadapan.
"Pada masa sama, sebanyak 240 premis jalur lebar tetap dengan kapasiti gigabit akan disediakan dan dijangka mampu menyelesaikan masalah dihadapi pengadu dan penduduk di Kampung Lahar Tiang selain beberapa kampung berhampiran," katanya.
Jelasnya, kerja menaiktaraf itu sebahagian daripada Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) fasa pertama yang dirangka untuk memberikan liputan lebih meluas.