[size=0.8][size=0.9]Nur Izzati Mohamad
[email protected]
FOTO ARKIB NSTP
Georgetown: Pulau Pinang merekodkan 119 kes kematian di rumah (BID) membabitkan pesakit Covid-19 dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, sejak Januari lalu.
Daripada jumlah itu, 12 kes BID membabitkan individu lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Norlela Ariffin berkata, kes BID di Pulau Pinang adalah 20 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian direkodkan akibat wabak itu.
"Dari Januari hingga akhir bulan lalu, 119 kes BID dicatatkan di negeri ini membabitkan 77 lelaki dan 42 wanita.
"Mereka terdiri daripada 95 warga tempatan dan 24 warga asing," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Pinang di sini, hari ini.
Dr Norlela berkata, satu kes BID itu membabitkan pesakit Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak, 17 (belia), 51 (dewasa) dan 50 (warga emas).
Beliau berkata, sebilangan besar kes BID dilaporkan di daerah Timur Laut iaitu 36 kes diikuti Seberang Perai Tengah (30), Barat Daya dan Seberang Perai Utara (20) dan 13 di Seberang Perai Selatan.
"Peningkatan kes BID di negeri ini amat membimbangkan dan saya membentuk satu pusat panggilan apabila pesakit boleh menghubungi talian rawatan kecemasan Covid-19.
"Talian ini membolehkan pesakit dikuarantin di rumah berhubung untuk melakukan penilaian kesihatan mereka dan sekiranya keadaan bertambah buruk, tindakan lebih pantas dapat diambil," katanya.
Dr Norlela berkata, pihaknya berharap Kerajaan Pusat khususnya Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dapat menyalurkan lebih banyak peruntukan kepada Pulau Pinang untuk membuka Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).
Menurutnya, peruntukan itu dapat membantu kerajaan negeri untuk menjadikan hotel bajet contohnya sebagai PKRC.
Katanya, ketika ini, terdapat 7,800 pesakit Covid-19 kategori satu dan dua yang dikuarantin di rumah dan jika ditempatkan di PKRC, mereka boleh dipantau dan diberi rawatan dengan sempurna.
Disiarkan pada: September 2, 2021 @ 5:26pm