[size=0.8]Oleh Zuhainy Zulkiffli - September 14, 2021 @ 5:46pm[email protected]
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang. - Foto NSTP/Danial Saad
GEORGETOWN: Polis sudah memanggil 10 saksi setakat ini bagi membantu siasatan berhubung laporan yang mendakwa Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tidak mematuhi perintah kuarantin di rumah, baru-baru ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata antara yang memberi keterangan ialah pengadu, Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN), Pegawai Kesihatan Daerah Timur Laut dan Pegawai Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara.
Ahli Parlimen Bagan itu juga sudah dipanggil bagi membantu siasatan pada 11 September lalu.
"Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sekiranya ada pelanggaran seperti yang didakwa atau tidak," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.
Pemuda Gerakan dan MCA Pulau Pinang membuat laporan polis terhadap Guan Eng yang didakwa melanggar tempoh kuarantin kendiri pada 1 hingga 10 September lalu, selepas beliau menghadiri sidang DUN pada 2 September.
Dalam perkembangan lanjut, Mohd Shuhaily mengingatkan orang awam supaya tidak bimbang mengenai dakwaan kemungkinan berlaku serangan pengganas di rumah ibadat dan kawasan tumpuan ramai di beberapa negara di Asia Tenggara.