View: 1536|Reply: 1
|
Idam beraksi di Jelajah LPGA
[Copy link]
|
|
Kuala Lumpur: Pemain golf wanita negara, Norezrina Alisa Che Omar tidak mahu mempersiakan peluang beraksi di luar negara dengan berhajat mahu memberikan persembahan terbaik sekali gus menjadi batu loncatan buatnya untuk bermain di peringkat Jelajah LPGA.
Lebih menarik Norezrina Alisa tidak keseorangan malah akan ditemani kakaknya, Noraishah beraksi di Kejohanan Antarabangsa Hana Financial Group yang berlangsung di Korea Selatan dari 30 September hingga 3 Oktober depan.
"Saya dan kakak saya mendapat jemputan dari penaja kejohanan berkenaan di bawah slot Jelajah Asia Wanita. Ini adalah peluang terbaik pernah saya dapat dan saya akan cuba melakukan yang sebaik mungkin," katanya ketika dihubungi Arena Metro.
Ujar pemain berusia 19 tahun itu, dia dan kakaknya mula beraksi di luar negara ketika di bangku sekolah lagi.
"Ketika itu usia saya 12 tahun, manakala kakak saya pula 14 tahun iaitu sekitar 2014, cuma ini adalah kejohanan kedua profesional di luar negara bagi saya dan kejohanan ketiga professional di luar negara buat kakak saya," kata pelajar Infrastructure University Kuala Lumpur (IUKL) itu.
Norezrina Alisa berkata dia mula meminati golf selepas mengikut kakaknya menjalani latihan dalam sukan berkenaan pada usia tujuh tahun.
"Kakak saya juga mula bermain golf semasa berumur tujuh tahun dan dia meminati sukan ini selepas ternampak set golf di dalam pejabat bapa saya," katanya yang menjadikan legenda golf Sweden, Annika Sorenstam sebagai idola.
Jauh di sudut hatinya, Norezrina Alisa memasang impian untuk beraksi di peringkat lebih tinggi sama seperti bintang golf handalan dunia yang lain iaitu menyertai Jelajah LPGA.
"Sasaran saya untuk masa hadapan adalah untuk melayakkan diri ke Jelajah LPGA dan menjadi pemain terbaik dunia serta untuk membanggakan keluarga saya terutama ibu bapa saya yang banyak menyokong karier golf saya dari dahulu sehingga sekarang.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Golf Wanita (Malga), presidennya, Tunku Datuk Seri Jawahir Tuanku Ja'afar, Pengarah Eksekutif Malga, Datuk Rabeahtul Aloya Abbas dan seluruh warga kerja Malga kerana membimbing dan membentuk karier golf kami sejak dari mula berkecimpung dalam sukan ini bermula dari amatur hingga ke profesional," katanya.
Norezrina Alisa adalah pemain golf profesional termuda di Malaysia iaitu pada usia 16 tahun dan juga merupakan pemenang kejohanan golf profesional wanita termuda di Malaysia (16 tahun) pada tahun 2019 di kejohanan ADT Bukit Jawi & PGM Ladies.
"Kakak saya juga antara pemain profesional golf wanita termuda di Malaysia dan dia pernah mendapat tempat ketiga di kejohanan ADT Maybank & PGM Ladies.
"Saya dan kakak saya, terpilih untuk menyertai kejohanan Hana Financial Group kerana kami adalah antara bintang harapan yang di bimbing oleh Malga. Selain itu, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia , terutamanya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam membantu permudahkan perjalanan saya untuk menyertai Kejohanan ini," katanya. - HMetro
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
|
NOREZRINA Alisa. FOTO Norezrina Alisa
NORAISHAH. FOTO Norezrina Alisa |
|
|
|
|
|
|
| |
|