View: 3340|Reply: 0
|
Mike akur hilang gelaran dunia
[Copy link]
|
|
Mike akur hilang gelaran dunia
Syarul Azman (kanan) ketika memperagakan ototnya pada World Bodybuilding and Physique Championships di Tashkent.
KUALA LUMPUR: Jaguh bina badan negara, Syarul Azman Mahen Abdullah akur apabila gagal mempertahankan gelaran dunia yang disandangnya di World Bodybuilding and Physique Championships di Tashkent, Uzbekistan baru-baru ini.
Syarul atau lebih dikenali sebagai Mike yang meraih gelaran juara dunia sebanyak empat kali berturut-turut sejak 2016 hingga 2019 itu berkata, keputusan juri adalah muktamad walaupun jelas gelaran juara sepatutnya disandangnya.
Mike yang bertanding dalam kategori athletics physique sehingga 167cm itu bagaimanapun berkata, dia tetap berpuashati dengan keputusan meraih gangsa di Tashkent, apatah lagi perlu mengharungi kekangan latihan dihadapi susulan pandemik COVID-19.
"Saya tetap gembira, kalah pun tak jauh... hanya satu dua mata," kata Mike ketika dihubungi.
"Kalau melihat kepada rakaman video semula, memang majoriti orang kata, kemenangan itu adalah milik saya.
"Mereka ada membuat siaran langsung, jadi orang yang menonton, menyaksikan pertandingan di sana terutama dari luar negara kata, memang itu adalah tempat (kemenangan) saya tetapi mereka (juri) memberikan kemenangan kepada negara lain.
"Mereka memberi (kemenangan) kepada Tajikistan, mungkin sebab jiran kepada Uzbekistan, itu saya tak tahulah. Selepas itu Madagaskar, satu dua mata saja tak banyak. Apapun, sukan ini subjektif. Kadang-kadang kita tak boleh cakap apa, jadi kita terima saja."
Justeru, Mike enggan memikirkan mengenai keputusan diraih di Tashkent dan bakal kembali merampas gelaran dunia berkenaan di Indonesia pada Oktober atau November tahun depan.
Mengulas lanjut, Mike memberitahu dirinya mempunyai dua lagi kejohanan utama tahun depan iaitu Sukan SEA Vietnam dan Kejohanan Asia yang dijadual berlangsung di Maldives pada Julai.
Begitupun juara Asia lima kali itu tetap memberi tumpuan kepada memburu pingat pada penyertaan sulungnya di Sukan SEA Vietnam yang pada masa ini belum dimuktamadkan tarikhnya selepas ditunda susulan pandemik COVID-19.
"Daripada tiga kejohanan ini, pilihan utama adalah Sukan SEA kerana saya tidak pernah meraih pingat dalam temasya ini. Apapun, apabila ia ditangguhkan (susulan pandemik), kita tak tahu bila ia akan diadakan," kata Mike yang turut berterima kasih atas sokongan moral diberikan Majlis Sukan Negara (MSN) dan bakal menyertai kategori terbuka athletics physique di Vietnam nanti.
"(Di Sukan SEA Vietnam), satu cabaran baharu kerana saya kena lawan peserta yang lebih tinggi daripada saya iaitu 175. Bila 175, berat mereka lebih daripada saya. Kategori saya sertai adalah 167, jadi kena lawan peserta yang lagi berat daripada saya, kurang-kurangnya berat mereka lebih daripada 5kg.
"Apapun, ini satu cabaran baharu namun saya yakin, kalau saya dapat gangsa di sini (Tashkent) dengan latihan yang tidak seberapa dan saya dapat lengkapkan A hingga Z, Insya-Allah saya akan dapat tempat itu (kedudukan pingat). Saya akan cuba sedaya upaya," katanya.
Sumber:https://www.bharian.com.my
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
|