CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1810|Reply: 0

Ahli masjid dilindungi, dapat hidayah

[Copy link]
Post time 9-11-2006 09:07 AM | Show all posts |Read mode
*** Sumber dari http://www.bharian.com.my/m/BHar ... 1109062427/Article/

Ahli masjid dilindungi, dapat hidayah
Oleh Mohd Kamel Mat Salleh


MASJID atau Baitullah (Rumah Allah) adalah tempat beribadat dan menjalankan aktiviti sosial masyarakat. Ia mempunyai kedudukan dan martabat yang tinggi di sisi-Nya lantaran ia adalah 'rumah' yang dinisbahkan kepada penciptanya iaitu Allah. Allah berfirman maksudnya: "Dan sesungguhnya masjid-masjid itu adalah kepunyaan Allah." Dalam satu hadis Qudsi, Allah berfirman bermaksud: "Sesungguhnya rumah-rumah-Ku di bumi ialah masjid." (Surah al-Jinn, ayat 18)




Allah menjanjikan bahawa masjid adalah tempat yang paling mulia di muka bumi seawal pembinaan Baitullah oleh Nabi Ibrahim dan puteranya Nabi Ibrahim. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibangunkan sebagai tempat ibadah ialah Baitullah di Bakkah (Makkah) yang diberkati dan menjadi tempat bagi semua manusia." (Surah Ali Imran, ayat 96)

Dalam ayat 97, surah sama, Allah menjamin kepada sesiapa yang memasukinya akan dijamin terselamat. Firman-Nya bermaksud: "Barang siapa memasukinya (Baitullah) pasti akan berasa aman (selamat)."

Sesungguhnya masjid adalah tempat mengagungkan dan membesarkan Allah. Lantaran itu diperintahkan kepada rasul-Nya membina dan membangunkan masjid. Sebelum perutusan Baginda wujud Baitullah yang kemudian diisytiharkan sebagai Masjid al-Haram dan Masjid al-Aqsa.

Sebaik Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi rasul bermulalah era perkembangan Islam menerusi pembinaan masjid seperti Masjid Quba, Masjid Nabawi, Masjid al-Qiblatain dan sebagainya. Atas kehebatan rumah Allah inilah Masjid al-Aqsa dan Masjid al-Haram dipilih sebagai lokasi utama peristiwa al-Israk dan al-Mikraj.

Sejarah mencatatkan bahawa tentera Abrahah pernah mencuba untuk memusnahkan Baitullah tetapi Allah tetap memelihara keutuhan rumah-Nya, malah tidak dapat disentuh walau sedikit pun oleh tentera musuh Allah.

Ia menunjukkan bahawa masjid adalah tempat suci yang jika diimarahkan dengan kejujuran hati, pasti akan dipelihara oleh Allah. Ia dibuktikan menerusi sirah Rasulullah SAW apabila Allah menghalang cubaan membina masjid bukan atas dasar ikhlas dan takwa kepada-Nya.

Firman-Nya bermaksud: "Janganlah kamu bersembahyang dalam masjid itu (masjid dhirar) selama-lamanya. Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (Masjid Quba') sejak hari pertama adalah lebih patut kamu bersembahyang di dalamnya, padanya ada orangyang ingin membersihkan diri dan Allah amat menyukai orang yang bersih." (Surah al-Taubah, ayat 108)

Dalam surah sama, ayat 18, Allah menyatakan bahawa ahli masjid adalah mereka yang dilindungi dan sentiasa mendapat hidayah-Nya "hanyalah orang yang memakmurkan masjid Allah itu ialah mereka yang beriman kepada-Nya dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut melainkan hanya kepada Allah. Merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk dalam golongan yang mendapat petunjuk-Nya."

Ada banyak sandaran hadis berkaitan dengan kelebihan golongan yang menjadi ahli masjid, malah akan sentiasa dinaungi rahmat, dipelihara daripada sebarang bahaya dan terjamin keamanan dan keselamatannya.

Hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda maksudnya: "Tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah (di Padang Mahsyar) pada hari tiada naungan melainkan naungan-Nya iaitu imam yang adil, pemuda yang membesar dalam keadaan sentiasa beribadah kepada tuhannya, pemuda yang hatinya sentiasa terikat dan terpaut kepada masjid, dua orang pemuda yang berkasih sayang kerana Allah bertemu dan berpisah kerana-Nya, pemuda yang diajak berbuat maksiat oleh wanita cantik dan punya kedudukan tetapi menolak pelawaan itu dengan berkata 'aku lebih takutkan Allah', pemuda yang bersedekah secara rahsia sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya dan pemuda yang sentiasa berzikir kepada Allah di tempat sunyi hingga menitis air matanya."

Dalam hadis ini ada disebutkan satu daripada golongan yang dinaungi oleh Allah di Padang Mahsyar tempat hitungan amal iaitu pemuda yang hatinya sentiasa terikat kepada masjid. Maksud terikat hati pada masjid ialah mereka yang sentiasa mengunjungi masjid dan walaupun ketika di luar masjid, hatinya tetap mengingati rumah Allah.

Walaupun dalam teks hadis disebutkan khusus kepada 'pemuda' tetapi ia membawa maksud umum kepada sesiapa saja baik kaum lelaki mahupun wanita. Janji Allah akan memberi perlindungan pada hari akhirat, maka tidak mustahil golongan itu turut dilindungi ketika di dunia.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Sesungguhnya malaikat akan sentiasa berdoa kepada setiap seorang daripada kamu selama dia masih tetap pada tempat solatnya di dalam masjid dan tidak berhadas, malaikat berdoa, Ya Allah, ampunilah dia, Ya Allah rahmatilah dia." (Hadis riwayat al-Bukhari).

Hadis ini menjelaskan berhasilnya niat atau tujuan orang yang mengunjungi dan mendatangi masjid. Jika dia datang untuk beribadah, maka akan dapatlah pahala ibadahnya malah jika seseorang itu datang untuk mendapatkan perlindungan daripada bahaya atau kecelakaan, insya-Allah, dia akan dapat apa yang dihajati dan diingininya.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-12-2024 08:08 AM GMT+8 , Processed in 0.032709 second(s), 11 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list