|
Masjid-masjid Indah & Bersejarah di Malaysia
[Copy link]
|
|
Masjid Kampung Laut
|
|
|
|
|
|
|
|
Masjid langgar
|
|
|
|
|
|
|
|
Masjid Kampung Hulu Melaka
|
|
|
|
|
|
|
|
Balai Rong Seri Bertukar Menjadi Masjid
Oleh Noor Adila Ali
KOTA BAHARU, 6 Ogos (Bernama) -- Dalam tahun 1950an, ada cadangan untuk merobohkan balai rong seri di Istana Raja Dewa Tuan Zainal Abidin, putera baginda Sultan Kelantan, Sultan Muhammad III.
Kediaman Raja Dewa itu terletak berhampiran Istana Balai Besar di Kota Baharu dan balai rong seri yang diperbuat daripada kayu yang dibina sekitar tahun 1900 itu mahu dirobohkan untuk membesarkan istana.
Berita itu kemudian didengari beberapa pekerja istana yang tinggal di Kampung Kedai Mulong, dekat sini, yang percaya balai rong seri itu masih ada kegunaannya. Meskipun binaan balai rong seri itu kelihatan usang kerana lama ditinggalkan kosong selepas Perang Dunia Kedua, penduduk Kampung Kedai Mulong tetap sepakat mengadakan mesyuarat berbincang mencari jalan untuk menggunakannya.
Hasil perbincangan penduduk kampung itu, mereka menyedari mengenai kesukaran penduduk bersolat merata-rata masjid kerana ketiadaan masjid di kampung itu.
"Di situlah mulanya tercetus idea penduduk kampung untuk membeli binaan balai rong itu bagi dijadikan sebuah masjid di petempatan mereka," kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Konservasi dan Arkeologi Jabatan Warisan Negara (JWN), Mat Nasir Baba menceritakan sejarah awal kewujudan Masjid Lama Mulong, yang terletak kira-kira 11 kilometer dari bandar Kota Baharu.
BALAI RONG SERI JADI MASJID
Mat Nasir meneruskan cerita, katanya, dengan nilai RM1,000 yang diletakkan pihak istana untuk balai rong seri itu, penduduk kampung berpakat mengumpul duit dan membeli binaan itu dan menyegerakan proses pemindahannya.
Beliau berkata pemindahan pada waktu itu dilakukan dengan lori dan struktur lantai serta bumbung telah dipotong dua untuk memudahkan kerja pemindahan ke Kampung Kedai Mulong, kira-kira tujuh batu dari tapak asal.
Ia dirombak dan dibina semula sebagai masjid di bahu jalan atas tanah wakaf Abdul Rahman Ismail dan dikenali sebagai Masjid Ar-Rahman.
"Ia kemudian dipasang semula secara gotong-royong seperti bentuk asal balai rong seri dengan penambahan ruang mihrab dan anjung masuk," katanya.
Beliau berkata penduduk kampung berpakat menghulurkan derma untuk menyiapkannya dan masjid seluas 23 kaki x 55 kaki yang boleh memuatkan lebih 100 jemaah itu mula digunakan pada akhir 1958.
KEUNIKAN MASJID
Mat Nasir berkata sebagai sebuah masjid yang asalnya daripada sebuah balai rong seri, bangunan kayu itu memiliki pelbagai ciri keunikan tersendiri antaranya didirikan tanpa paku selain sambungan tanggam dan pasak pada era 50-an itu, yang mengetengahkan keunikan warisan silam seni bina Melayu Kelantan yang kini amat jarang dapat disaksikan.
Walaupun reka bentuk binaannya agak ringkas, ciri-cirinya biasa kedapatan di istana dan kediaman golongan bangsawan di negeri ini pada masa silam.
"Ia boleh dilihat pada struktur keseluruhan bangunan, bahagian dinding, pintu, tiang dan ruang atap walaupun bahagian yang berukir hampir tiada," katanya.
Uniknya lagi masjid itu ialah apabila reka bentuknya menggabungkan pelbagai unsur seni bina Melayu Kelantan bersama unsur binaan Cina.
Disebabkan asalnya juga sebagai balai rong seri, bangunan itu dibina tanpa tiang tengah manakala strukturnya dikukuhkan dengan 16 batang tiang di sekeliling masjid.
Dari sudut kejuruteraan moden, binaan tanpa tiang tengah dibimbangi tidak tahan lama tetapi kepakaran generasi awal dahulu dalam bidang pertukangan membuktikan sebaliknya.
Mat Nasir berkata masjid itu juga berlainan dengan binaan tradisional Kelantan yang lain dengan lantainya tidak disokong oleh 'rasuk panjang'.
"Apa yang ada hanyalah rasuk melintang dan lantai disokong oleh 32 kayu penyokong berbentuk kaki cermin.
"Biasanya sebuah rumah tidak memerlukan kayu penyokong atau 'tongkat' yang sebegitu banyak. Tetapi ketiadaan 'rasuk panjang' menyebabkan perlunya kepada bilangan tongkat sedemikian," kata Mat Nasir.
BANGUNAN WARISAN NEGARA
Dek kerana rupa luaran Masjid Lama Mulong yang dahulunya kelihatan usang dimamah usia, dengan saiznya yang kecil dan serba uzur seperti menunggu masa untuk roboh itu, tiada siapa menyangka, ia masih mampu menarik perhatian sehingga bangunan itu menjadi pilihan JWN untuk disenaraikan sebagai Bangunan Warisan Negara.
Penyenaraian itu menjadikan ia antara 11 bangunan bersejarah di seluruh negara yang diberi tumpuan untuk baik pulih sepanjang tahun ini.
Sebenarnya Masjid Lama Mulong ini terlalu istimewa, kerana bukan sahaja seni reka bentuknya yang cantik dan unik malahan cerita sejarah di sebalik kewujudannya itu yang menjadi faktor utama ia dipilih sebagai Bangunan Warisan Negara.
Beliau berkata keunikan Masjid Lama Mulong tidak harus disia-siakan, dan JWN mahu menjadikan bangunan ini satu monumen yang akan terus dipulihara untuk kegunaan dan tatapan generasi akan datang.
Mat Nasir bagaimanapun berkata tanpa usaha dan kesungguhan penduduk kampung itu sendiri terutama idea konservasi masjid berkenaan yang pada mulanya dipelopori oleh Allahyarham Cikgu Hamzah Mahmud, penduduk asal di situ, JWN mungkin langsung tidak mengetahui kewujudan masjid bersejarah ini.
"Allahyarham Cikgu Hamzah adalah individu yang bertungkus lumus melobi idea untuk melakukan konservasi ini bersama dengan Pesuruhjaya JWN, Prof Emeritus Datuk Siti Zuraina Majid tetapi Cikgu Hamzah meninggal sebulan selepas jawatankuasa masjid menyerahkan masjid kepada JWN pada 22 Nov 2008 untuk tujuan pemuliharaan," katanya.
Menurutnya sebahagian tapak bangunan masjid itu kini merupakan wakaf daripada Allahyarham Abdul Rahman Ismail atau lebih dikenali sebagai Ayah Su.
PROJEK KONSERVASI
Sebaik sahaja Masjid Lama Mulong disenaraikan sebagai Bangunan Warisan Negara, projek pemuliharaan binaan berusia lebih 100 tahun itu terus dilaksanakan.
Ia melibatkan proses awal mencerap kayu, mengikis lapisan cat pada tiang, dinding dalam dan luar, panel janda berhias, jejala dan motif serta menukar bata asbestos bumbung kepada batu jenis singgora Thailand.
Pemuliharaan masjid itu juga mencatat sejarah apabila ia melibatkan peralihan masjid dari tapaknya yang asal berikutan masalah berkaitan keluasan tanah wakaf yang sebenar.
"Masjid itu digerakkan ke depan sejauh 21 kaki ke sisi kanan sebanyak 11 kaki dengan menggunakan kaedah chain-lock.
"Secara berhati-hati, kaki-kaki tiang masjid diangkat naik ke atas dan dilapik dengan batang besi paip untuk menggerakkannya," jelas Mat Nasir.
Persiapan untuk proses pergerakan itu memakan masa selama lapan hari dan dua hari diperlukan untuk menariknya.
Semasa pekerja mengikis cat lama ke atas panel 'janda berhias' atau dinding asal balai rong seri, mereka terjumpa ukiran awal berbentuk bunga atas kepingan-kepingan panel itu.
"Ukiran bunga ini akan dikekalkan agar sejarah asal balai rong tidak hilang," kata Mat Nasir.
Menurutnya, ciri uniknya diperkukuh dengan sisip angin berukir geometrik bagi memudahkan pengaliran udara yang menyejukkan ruang dalaman dan buah guntong pada siling menggantikan tiang.
JADI MERCU TANDA
Kini, selepas lapan bulan mengalami proses baik pulih, Masjid Ar-Rahman atau lebih dikenali penduduk kampung dan sekitarnya sebagai Masjid Lama Mulong muncul dengan wajah silamnya yang indah dan dibuka untuk diimarahkan semula baru-baru ini.
Masjid Lama Mulong yang hanya sepelaung jauhnya dari Masjid Kampung Laut dan terletak betul-betul di tepi jalan besar itu meskipun tidak lagi diwartakan untuk solat Jumaat seperti seketika dahulu, kini sudah mampu menarik perhatian pengguna jalan raya untuk memandang sekilas ke arahnya.
Anggota jawatankuasa kariah masjid itu, Ahmad Farid Mahmood berkata lebih menggembirakan selepas projek konservasi itu, masjid berkenaan sering menjadi kunjungan masyarakat serata pelusuk negeri.
"Apatah lagi sejak ia dirasmikan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim pada 17 Julai lalu, ramai yang mula sedar kewujudan masjid ini," katanya.
-- BERNAMA |
|
|
|
|
|
|
|
Masjid 100 tahun Kampung Tuan
Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
[email protected]
Masjid Kampung Tuan kini dijadikan surau oleh penduduk berikutan pembinaan masjid baru yang lebih besar di Chukai, Kemaman. – utusan/Fauzi Baharudin
KEMAMAN 11 Nov. – Siapa sangka dalam suasana hiruk-pikuk dan kepadatan penduduk bandar ini terdapat binaan tinggalan sejarah berusia lebih 100 tahun yang masih tersergam indah.
Terselindung di sebalik rumah-rumah moden, sebuah masjid lama yang masih kukuh berdiri sama megah dengan bangunan baru lain di sekelilingnya.
Masjid Kampung Tuan, Chukai, yang suatu ketika dahulu merupakan sebuah surau yang terletak di pinggir Sungai Limbong, Kampung Tuan.
Namun disebabkan pertambahan penduduk, ia ditukar menjadi surau apabila banyak masjid baru yang lebih besar dibina bagi menampung keperluan penduduk di kawasan tersebut.
Surau lama yang dibina pada tahun 1830 itu dibina oleh seorang guru agama berasal dari Pattani, Thailand, Syed Abdul Rahman Abdul Samad, yang melarikan diri ke sini akibat peperangan di negaranya.
Beliau mula membina surau tersebut bagi memudahkannya mengajar agama kepada penduduk kampung memandangkan kelasnya mendapat sambutan menggalakkan.
Selepas kematiannya, tempatnya diambil alih anaknya yang dikenali sebagai Tuan Wok dan ketika itu Abdullah Munshi dikatakan pernah ke surau tersebut untuk bersembahyang.
Wan Jaafar
Struktur binaan yang klasik serta sedikit mengikut tradisi surau lama di Siam membuktikan bahawa ia dibina oleh pendatang tersebut.
Bumbungnya yang mempunyai empat lapis dengan menggunakan atap genting yang dibawa dari negara itu memberi suasana yang amat tenang apabila pertama kali melihatnya.
Selain itu, di atas bumbung pula diletakkan replika buah butung yang diperbuat daripada tembaga.
Difahamkan, replika buah butung itu dibina untuk diletakkan pada Masjid Keresek di selatan Thai tetapi pembinaan masjid itu tergendala lalu ia dibawa dan diletakkan di atas surau berkenaan.
Yang menariknya, menurut cerita penduduk, pembinaan surau berukuran 9.14 meter x 9.14 meter ini diperbuat dengan hanya menggunakan sebatang kayu cengal yang besar yang ditemui di hutan berhampiran.
Struktur mihrabnya berbentuk bulat difahamkan ditebuk daripada sebatang kayu cengal juga, sehingga seni dan ukirannya kelihatan sangat halus.
Struktur tingkap yang hanya berukuran lebih kurang 60 sentimeter dan dibina tanpa pintu, menyerlahkan lagi keaslian reka bentuknya.
Mungkin hanya memerlukan sedikit sahaja cahaya memasuki ruang solat itu bagi membolehkan ibadat dilakukan dengan kusyuk, justeru tingkap dan pintu dibina agak terhad.
Sebahagian binaan tradisional pada bahagian tiang masjid.
Sebanyak 12 tiangnya pula disambungkan hanya menggunakan pasak dan tiada paku digunakan.
Setelah lebih 100 tahun dibina, Surau Kampung Tuan masih kukuh dan digunakan oleh penduduk sekitar termasuk menunaikan solat terawih pada setiap kali Ramadan walaupun masjid-masjid baru telah dibina.
Wartawan Utusan Malaysia sempat menemui cucu Tuan Wok, Wan Jaafar Wan Hassan, 60, namun beliau tidak banyak bercerita.
Ini kerana beliau sudah tua dan sukar mengingati tentang datuknya yang menjadikan surau itu sebagai tempat mengajar ilmu agama.
Wan Jaafar yang tinggal berdekatan surau itu memberitahu, datuknya pernah menceritakan tentang kesukaran membina surau tersebut.
Tambahnya, moyangnya (Syed Abdul Rahman) terpaksa menukarkan hasil garam yang diperoleh kepada bata untuk dijadikan atap.
“Apa yang anda lihat sekarang ini sudah cantik, sebenarnya bukan mudah untuk membina surau ini.
“Sekarang sudah ada orang jaga, baguslah jika tidak nanti mesti jadi buruk,” katanya.
Difahamkan, kerja-kerja konservasi oleh Jabatan Warisan Negara telah dilaksanakan pada tahun 2006. |
|
|
|
|
|
|
|
Kenangan Masjid Ihsaniah Iskandariah
Oleh MOHD.AZLI ADLAN
[email protected]
SENJA itu Mohamad Anuar Abu Bakar, 60, seperti biasa ke Masjid Al-Wahidiah, Kampung Kuala Dal, Padang Rengas, Kuala Kangsar, Perak untuk mengimamkan solat Maghrib.
Tatkala hampir ke pintu pagar masjid, beliau merenung bangunan kayu unik berwarna kuning, putih dan hitam tersergam indah terletak bersebelahan masjid berkenaan.
Itulah Masjid Ihsaniah Iskandariah. Unik kerana ia satu-satunya rumah ibadah Islam di negara ini dan di dunia yang mempunyai dinding tepas iaitu diperbuat daripada kelarai atau anyaman buluh.
Kisah masjid itu cukup dramatik. Suatu ketika ia pernah menjadi nadi utama kerukunan dan simbol agama penduduk Kampung Kuala Dal.
Keadaan masjid tersebut agak uzur dalam tempoh lebih tiga dekad.
MASJID Ihsaniah Iskandariah semasa ia mula-mula ditinggalkan pada 1976 di Kampung Kuala Dal, Padang Rengas, Kuala Kangsar, Perak.
"Namun ketika ia hampir menyembah bumi, Jabatan Warisan Negara melakukan kerja-kerja konservasi untuk membaiki kerosakan struktur bangunan tersebut dan 'menghidupkan' masjid yang berusia 74 tahun ini.
"Terasa macam mimpi, saya dan beberapa warga emas Kampung Kuala Dal cukup bertuah kerana dapat menyaksikan tiga frasa masjid ini iaitu dari 1930-an sehingga 1976, zaman kesuraman dari lewat 1970-an hingga 2009 dan kini zaman kebangkitan semula," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui.
Mohamad Anuar yang juga Pengerusi Masjid Al-Wahidiah antara individu yang begitu dekat dengan Masjid Ihsaniah Iskandariah dan Masjid Al-Wahidiah.
Datuknya, Abdul Wahid Abdul Daud dan ayahnya, Abu Bakar Ismail juga pernah diamanahkan untuk menjadi imam di masjid kampung tersebut.
Abu Bakar lebih beruntung kerana berpeluang menjadi imam di kedua-dua buah masjid.
Masjid Ihsaniah Iskandariah dibina di atas sebidang tanah yang diwakafkan oleh seorang bangsawan, Juragan Abdul Shukur Mohammmad Ali dan pembiayaannya sebanyak 8,000 pound sterling (RM40,000) ditanggung oleh Sultan Perak ke-30, Sultan Iskandar Shah pada 1936.
Sebelum itu, Sultan Iskandar telah bernazar untuk membina sebuah masjid jika salah seorang daripada anakanda baginda yang gering sembuh.
WAJAH baru Masjid Ihsaniah Iskandariah yang menjadi kebanggaan penduduk Kampung Kuala Dal.
Kampung Kuala Dal dipilih selepas baginda terlihat penduduk kampung berkenaan bersolat di sebuah madrasah yang usang ketika dalam perjalanan pulang berkelah di Lata Bubu tidak jauh dari situ.
Seni bina masjid tersebut diilhamkan sepenuhnya oleh Sultan Iskandar. Masjid tersbeut diinspirasikan daripada seni bina Istana Kenangan di Bukit Chandan, Kuala Kangsar.
Kenangan manis
Masjid yang diabadikan sempena nama baginda bercirikan seni bina tradisional Melayu Perak. Kesemua dindingnya diperbuat daripada panel kelarai bercorak intan yang dikenali sebagai dinding tepas atau tepus.
Antara keunikan lain masjid dua tingkat itu ialah reka bentuk binaannya yang menyerupai sangkar burung dan tingkapnya dihiasi ukiran serta bumbungnya kelihatan rata.
Masjid yang juga dikenali sebagai Masjid Lama Kampung Kuala Dal itu berbentuk empat segi dan tidak mempunyai kubah seperti masjid-masjid lain di seluruh dunia.
Semua struktur bangunan termasuk ragam dan kelarai dibina dan diukir oleh tukang-tukang kayu tempatan terkenal seperti Panjang Noh, Ngah Gadoh, Wan Ibrahim dan Kulup Ngah.
Masjid tersebut dirasmikan oleh Sultan Iskandar pada 11 Februari 1938 iaitu beberapa bulan sebelum kemangkatan baginda pada Oktober tahun sama.
Mohamad Anuar berkata, tingkat atas masjid tersebut dijadikan dewan solat yang boleh memuatkan 200 jemaah pada satu-satu masa manakala tingkat bawah dijadikan dewan perjumpaan, aktiviti kemasyarakatan serta persidangan pembesar negeri Perak.
Apakah kenangan manis Mohamad Anuar? Sebagai anak dan cucu bekas imam, sebahagian besar zaman kanak-kanaknya dihabiskan di sekitar masjid tersebut.
"Selain menjadi tempat beribadat hampir setiap masa, masjid tersebut memang sentiasa sibuk dengan aktiviti seperti kelas agama, kelas mengenal huruf dan membaca untuk golongan dewasa.
Kelas memasak, menjahit dan kraftangan anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) juga diadakan di situ.
KERJA-KERJA konservasi Masjid Ihsaniah Iskandariah siap sepenuhnya pada Julai 2009.
Sebuah pondok pengawal pernah dibina di perkarangan masjid tersebut pada zaman Darurat bagi memastikan keselamatan penduduk kampung daripada ancaman Komunis.
"Masjid semakin diimarah apabila tiba Ramadan. Kami berbuka puasa, bertilawah al-Quran dan solat tarawih bersama-sama.
"Selepas solat tarawih, sebahagian penduduk kampung akan meneruskan ibadat sunat seperti qiyammulail dan berzikir sehingga Subuh dengan cahaya pelita.
"Menjelang Syawal, arwah datuk dan beberapa penduduk kampung akan memasang panjut yang diperbuat daripada buluh dan tin susu di sekeliling perkarangan masjid bagi memeriahkan suasana," katanya.
Sepanjang ingatannya, Mohamad Anuar pernah berhadapan dengan satu pengalaman misteri semasa menemani ayahnya dan beberapa penduduk kampung lain berzikir dan beratib pada awal pagi Ramadan.
Katanya, ketika mereka asyik berzikir di tingkat atas Masjid Ihsaniah Iskandariah tiba-tiba lantai yang diduduki beralun-alun dan mengeluarkan bunyi seolah-olah turut berzikir.
"Saya terkejut dan ketakutan terus berlari mendapatkan ayah. Namun beliau dan beberapa penduduk kampung cuma bersenyum dan meneruskan aktiviti beratib. Peristiwa itu kekal misteri hingga sekarang," katanya.
Namun kegemilangan Masjid Lama Kampung Kuala Dal pudar apabila sebahagian strukturnya rosak teruk akibat dihempap dahan pokok durian sekitar 1976.
PEMANDANGAN tingkap Masjid Ihsaniah Iskandariah selepas kerja-kerja konservasi.
Kejadian itu menyebabkan sebuah masjid baru yang lebih besar dibina bersebelahannya di atas sebidang tanah yang diwakafkan oleh datuk Mohamad Anuar, Abdul Wahid.
Sebagai mengenang jasa dan pengorbanan Abdul Wahid yang juga pernah menjawat Ketua Kampung Kampung Kuala Dal, masjid baru itu dinamakan Masjid Al-Wahidiah.
Mohamad Anuar memberitahu, biarpun sudah mempunyai masjid baru, kenangan penduduk kampung terhadap Masjid Ihsaniah Iskandariah tidak pernah pudar.
Pelbagai ikhtiar dilakukan bagi menyelamatkan warisan kebanggaan penduduk kampung itu.
Sementara itu, Pesuruhjaya Pesuruhjaya Jabatan Warisan Negara, Profesor Emeritus Datuk Siti Zuraina Abdul Majid berkata, masjid berkenaan telah digazetkan sebagai bangunan warisan negara. Kerja-kerja konservasi dimulakan pada Disember 2008. |
|
|
|
|
|
|
| |
|