View: 3652|Reply: 1
|
otak sakit sebab udara kotor
[Copy link]
|
|
Otak sakit sebab udara kotor
MEREKA yang sering terdedah kepada asap kenderaan
berkemungkinan lebih bersikap tertekan.
AMSTERDAM - Mereka yang terdedah kepada asap ekzos kenderaan dalam tempoh sejam bukan sahaja pening malah mampu mempengaruhi fungsi normal otak, kata pakar perubatan Universiti Zuyd di sini.
Kajian terbaru itu mendapati terdapat partikel halus tercemar yang boleh sampai ke otak semasa seseorang menarik nafas dan ia juga mampu mempengaruhi proses informasi otak.
Penemuan yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Particle and Fibre Toxicology itu pada mulanya ingin mengkaji kajian persekitaran yang dialami oleh mereka yang bekerja di bengkel dan di tepi jalan.
Seramai 10 orang sukarelawan diambil untuk kajian tersebut dengan responden diminta menghabiskan masa selama sejam di bilik yang dipenuhi dengan udara bersih dan asap enjin diesel.
Sukarelawan turut dilengkapi dengan graf pengesan elektrik (EEG), peralatan yang dapat merekodkan signal elektrik pada otak. Mereka dikawal selia semasa pendedahan tersebut dan sejam selepas itu.
Namun selepas 30 minit, mereka yang terdedah kepada persekitaran buruk menunjukkan reaksi otak tertekan berdasarkan data EEG. Kesan ini berlangsung walaupun tidak lagi berada di bilik itu.
Ketua pengkaji, Paul Borm berkata, individu yang tinggal di bandar sibuk adalah lebih berisiko tertekan kerana terdedah kepada tahap pencemaran begitu tinggi. - Agensi
byk toxic di udara yg effect function otak tu.. tapi ramai gak org yg mmg otak mereng tak kira udara kotor atau tidak.. dah mmg jenis mereng.. kat bangkok ramai gak yg kena sakit otak ni, kotoq bukan main bangkok tu.. pollution tahap gaban..!! |
|
|
|
|
|
|
|
Anak Malaysia cipta alat khas pesakit otak
Oleh Wan Faizal Ismayatim
Neurojaf berfungsi untuk memastikan cecair dalam otak sentiasa normal
REKAAN alat dalam perubatan setanding negara Barat dan digunakan secara meluas seluruh dunia pastinya menjadi kebanggaan, sekali gus membuktikan anak Malaysia mampu menghasilkan inovasi yang memberikan harapan untuk hidup kepada manusia sejagat.
Prof Dr Jafri Malin Abdullah, 45, adalah anak tempatan yang mencipta nama di peringkat dunia berikutan kejayaan mencipta alat khas bagi pesakit otak dipanggil Neurojaf 5th Ventricular Set (Neurojaf) yang dipasarkan secara meluas seluruh dunia.
Ketua Jabatan Neurosains, Pusat Pengajian Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian itu menghasilkan rekaan Neurojaf yang diinovasi daripada alat External Ventricular Drainage (EVD) keluaran Amerika Syarikat dan Eropah yang setiap satu berharga RM5,000.
Alat mengandungi tiub diperbuat daripada silikon dan plastik PVC itu bertindak sebagai saluran kelima sistem air otak yang berfungsi mengeluarkan cecair bagi memastikan kandungan air otak sentiasa normal.
Berbeza dengan EVD keluaran Barat, Neurojaf mengandungi tiub saluran yang lebih panjang bagi memastikan ia tidak tertanggal apabila dipasang di kepala, mempunyai lubang lebih besar bagi mengelakkan tersumbat dan tahan lebih lama.
Perbezaan paling ketara antara alat rekaan Dr Jafri Malin itu dengan EVD ialah harganya yang jauh lebih murah iaitu RM100 di Malaysia sejak mula dipasarkan lebih 10 tahun lalu.
Hasil kejayaan rekaan itu, pasti ramai beranggapan Dr Jafri Malin kini sudah bergelar jutawan berikutan kejayaan yang mendapat pelbagai pengiktirafan peringkat dunia itu.
Namun, sebenarnya beliau tidak memperoleh sebarang habuan daripada penghasilan Neurojaf yang dibangunkan sebuah syarikat berpangkalan di India, Surgiwear kerana menganggap Neurojaf adalah jihad dalam perubatan untuk membantu pesakit otak, khususnya mereka yang kurang berkemampuan.
Anak kelahiran Kuantan, Pahang ini, berkata, sejak dari mula mereka Neurojaf, beliau tidak mahu ia dipatenkan kerana mahu harganya dijual dengan murah dan boleh digunakan segenap lapisan masyarakat.
"Saya mendapat idea mereka Neurojaf sebaik menamatkan pengajian di Belgium pada 1995. Pada masa itu, saya bertekad mencipta alat untuk pesakit otak selepas melihat seorang petani menangis kerana tidak mampu membeli alat dari Barat untuk anaknya dengan harga RM5,000.
"Ekoran peristiwa itu, saya terfikir kenapa kita terlalu bergantung kepada hasil dari negara Barat. Saya lakarkan alat itu pada sehelai kertas dan cuba mengetengahkannya di beberapa syarikat di negara ini.
"Malangnya, tiada satu pun syarikat berminat atas alasan alat ini tidak mampu memberi pulangan lumayan. Lantas, saya mencari alternatif lain dan akhirnya melalui rakan-rakan, ia dibangunkan syarikat di India," katanya.
Dr Jafri Malin berkata, tempurung kepala manusia terdiri daripada beberapa komponen iaitu cecair otak, sel otak dan saluran darah.
Katanya, otak individu menjadi bengkak atau lebam disebabkan luka dan pengaliran cecair yang tersumbat pula berpunca daripada kecederaan akibat kemalangan, angin ahmar yang teruk atau barah.
Beliau menerangkan, kegagalan air otak mengalir dengan normal akibat masalah itu menyebabkan otak mengembang dan sel otak membengkak dan air yang bertakung itu akan menekan sel otak dan menghancurkannya.
"Otak manusia mempunyai empat ventrical yang berfungsi menghasil, mengalir dan meresapkan air otak. Fungsinya seperti sistem perparitan dalam otak. Apabila tersumbat disebabkan masalah tertentu, air yang terkumpul itu akan merosakkan sel otak.
"Atas sebab itu, Neorojaf berperanan sebagai sistem saliran kelima yang bertindak memintas saluran tersumbat secara sementara bagi mengeluarkan air takungan itu sehingga pesakit kembali normal," katanya.
Bagi mengeluarkan takungan air itu, kepala pesakit terpaksa ditebuk untuk membuka ruang kira-kira lima milimeter (mm) sebelum tiub pada Neurojaf dimasukkan ke dalam ruang berkenaan dan membawa keluar cecair dalam otak.
"Melalui alat ini, kita tidak perlu menyedut air itu keluar kerana ia akan keluar dengan sendirinya melalui tiub Neurojaf disebabkan tekanan dalam otak yang terlalu tinggi.
"Air yang dikeluarkan kemudian disukat bagi mengetahui jumlahnya sebelum dibuang. Proses mengeluarkan air itu dilakukan secara berterusan sehingga keadaan otak pesakit kembali normal," katanya.
Dr Jafri Malin yang pernah menerima Anugerah Saintis Muda Negara 2000, berkata berbanding EVD keluaran Barat, Neurojaf lebih tahan lama kerana lubang saluran pada tiubnya lebih besar dan panjang serta mesra pesakit, jururawat dan doktor.
"Kebanyakan EVD keluaran Barat dicipta jurutera, bukan doktor. Saya panjangkan tiubnya supaya tidak mudah tercabut ketika pembedahan. Kalau tercabut, kita perlu masuk semula ke dewan bedah dan menggantikan alat itu yang tentunya menyebabkan kos rawatan meningkat.
"Selain itu, jika tiub saluran bagi mengeluarkan air otak itu direka dengan kecil, ia mudah tersumbat dan menyusahkan pesakit yang kurang berkemampuan kerana terpaksa beberapa kali menukar alat terbabit," katanya.
Beliau turut bercadang melakukan inovasi lanjut terhadap Neurojaf bagi memastikan ia lebih tahan lama dan dapat digunakan secara meluas dalam perubatan, bukan saja semata-mata terhadap pesakit otak.
"Ketika ini, Neurojaf perlu ditukar setiap tujuh hari kerana dikhuatiri dijangkiti kuman sedangkan tiada alat khusus bagi mengenalpasti ia benar-benar dijangkiti kuman.
"Saya mahu mereka alat yang mampu memberitahu doktor bahawa alat itu dijangkiti kuman selepas digunakan dalam tempoh tertentu, misalnya 14 hari dan jika berhasil, sudah tentu akan mengurangkan lagi kos," katanya.
Beliau merancang mereka satu alat bagi mengawal kelajuan pengeluaran air otak ke perut manusia menggunakan tiub yang dimasukkan ke bawah kulit pesakit bertujuan memastikan pengaliran air dilakukan dengan sempurna.
"Ada banyak kes air otak tidak mengalir sempurna hingga kita terpaksa masukkan tiub bawah kulit pesakit. Masalahnya, jika pesakit itu berdiri, air akan mengalir laju dan hilang entah ke mana dalam sistem badan.
"Sebab itu, saya mahu mencipta satu injap yang menjadi perantara dengan tiub bagi membolehkan kadar pengeluaran air dikawal," katanya.
FAKTA: Neurojaf
Diperbuat daripada silikon dan plastik PVC
Lubang pada tiub sebesar 2.1 milimeter
Tiub dimasukkan melalui lubang yang ditebuk pada kepala pesakit
Berperanan sebagai sistem saluran kelima air otak
Berharga RM100 setiap set |
|
|
|
|
|
|
| |
|