View: 9764|Reply: 0
|
KLIA yang terbaik di dunia
[Copy link]
|
|
Antara terbaik di dunia
Oleh JOHANNA A. SOBREY
Tanggal 27 Jun 1998 adalah tarikh keramat industri aviasi negara apabila Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dibuka secara rasminya sekali gus menjadi mercu tanda dunia. Tanpa kita sedari, usianya kini sudah pun mencecah 10 tahun.
SEJARAH dunia penerbangan Malaysia bermula dengan kejayaan penerbangan pertama pada tahun 1911. Menjelang tahun 1930-an, padang terbang yang hanya mempunyai landasan ringkas diperbuat daripada tanah dan rumput telah dibina.
Lapangan terbang sebenar yang pertama dibina di Malaysia ialah di Pulau Pinang dengan landasan sepanjang kira-kira 869 meter.
Daripada satu permulaan yang ringkas, industri aviasi dan lapangan terbang negara terus berkembang sehingga menjadi medium penting kepada perkembangan negara.
Lapangan terbang bukan lagi sekadar sebuah terminal pengangkutan udara tetapi memberi makna yang lebih mendalam. Ia merupakan pemangkin pembangunan sosioekonomi negara, di samping merapatkan hubungan masyarakat tempatan mahupun antarabangsa.
Hari ini, Malaysia Airport Holdings Bhd. (MAHB) menguruskan dan mengendalikan 39 buah lapangan terbang di seluruh negara, termasuk lima lapangan terbang antarabangsa, 16 domestik dan 18 terminal lapangan terbang kecil (STOL Ports).
Menurut Pengurus Besar Kanan Operasi MAHB, Datuk Azmi Murad, lakaran sejarah dunia penerbangan negara sekali lagi terbentuk apabila Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor, kira-kira 70 kilometer dari Kuala Lumpur mula dibangunkan pada 1994.
"Sebelum kehadiran KLIA, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang merupakan poin masuk utama ke Malaysia. Namun demikian, pertambahan bilangan penumpang menjadi faktor utama pemindahan lapangan terbang itu ke lokasi baru di Sepang.
| KEHARMONIAN di antara infrastruktur moden dengan alam semula jadi merupakan salah satu aspek penting yang ditekankan dalam pembangunan KLIA.
|
"Tambahan pula, lapangan terbang di Subang tidak boleh diperluaskan lantaran pembangunan di sekitar kawasannya. Jalan penyelesaian terbaik ialah mencari kawasan yang lebih bersesuaian," kata Azmi ketika ditemui di pejabatnya di KLIA baru-baru ini.
Apabila kerajaan memutuskan bahawa MAHB dipertanggungjawabkan menguruskan KLIA, operasi komersiol di lapangan terbang antarabangsa itu dimulakan pada 30 Jun 1998.
"Semasa peringkat awal pembukaan, operasi KLIA diakui tidak licin kerana kami masih lagi menyesuaikan diri dengan persekitaran baru. Tetapi tidak lama selepas itu, ia berjaya ditangani dan operasi berjalan dengan lancar," jelas beliau.
| SEHINGGA tahun lalu, sebanyak 57 syarikat penerbangan beroperasi di KLIA.
|
Kewujudan sebuah jawatankuasa untuk mendedahkan KLIA dan potensinya kepada syarikat-syarikat penerbangan telah berjaya menambah dan menetapkan standard tahap perkhidmatan, di samping meningkatkan lagi rangkaian hubungan lapangan terbang tersebut.
"Langkah-langkah strategik yang diambil telah berjaya memindahkan paradigma perkhidmatan lapangan terbang," katanya sambil memberi contoh pengenalan standard penyampaian perkhidmatan seperti pengurusan bagasi, kelulusan pasport dan pendaftaran masuk penerbangan.
Tambah Azmi : "Pengenalan pelbagai insentif antara tindakan dan strategi yang diambil oleh kerajaan melalui MAHB seperti memberi pengecualian 100 peratus ke atas caj-caj meletak pesawat dan pendaratan kepada syarikat penerbangan sedia ada yang ingin menambah perkhidmatan dan kepada syarikat penerbangan baru yang bercadang beroperasi bagi tempoh tiga tahun. Langkah itu telah berjaya menambah bilangan syarikat penerbangan asing mendarat di KLIA.
"Terdapat 44 buah syarikat penerbangan yang beroperasi di KLIA pada peringkat awal operasi dan sehingga tahun 2007, jumlah tersebut meningkat kepada 57 buah."
Melangkah tahun ke-10 kewujudannya, Azmi tersenyum lebar apabila ditanya mengenai keunikan KLIA yang kini dilihat sebagai salah satu mercu tanda di negara ini.
"Malaysia terkenal dengan kehijauan negaranya. Oleh itu, kawasan bangunan terminal telah dibina menggunakan konsep 'lapangan terbang dalam hutan, hutan dalam lapangan terbang' di mana ia dikelilingi dengan kehijauan.
"Dengan konsep seni bina yang direka oleh arkitek Jepun, Kisho Kurokawa, kehijauan yang menempatkan kira-kira 400 spesies flora dan fauna dapat direalisasikan melalui kerjasama dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)," ujarnya.
Di samping itu, Azmi berkata, mengambil kira pembangunan pesawat masa hadapan serta pertambahan penumpang, KLIA dibina di atas tanah berkeluasan 25,000 ekar yang mana 8,000 ekar telah dibangunkan untuk operasi lapangan terbang dan 600 ekar untuk Litar Antarabangsa Sepang.
"Pokok-pokok kelapa sawit telah ditanam di kawasan selebihnya sehinggalah pembangunan masa hadapan KLIA dilaksanakan. Walau apa pun, tanaman ini turut menyumbang terhadap konsep kehijauan yang diamalkan KLIA."
Melalui konsep mesra alam yang diperkenalkan, KLIA menyambut kedatangan penumpang dengan persekitaran segar yang menggabungkan keharmonian infrastruktur moden dan semula jadi.
"Struktur asal KLIA mempunyai kapasiti untuk mengendalikan 25 juta penumpang setahun, tetapi ini hanyalah satu perempat daripada kapasiti potensi lapangan terbang tersebut.
"KLIA boleh diperluaskan sehingga menampung 100 juta penumpang dengan lima landasan pada masa hadapan," jelas Azmi.
Beliau turut memaklumkan pada masa ini, KLIA mempunyai dua landasan penerbangan sepanjang empat kilometer dan berjarak 2.5 kilometer antara satu sama lain.
"Ini antara strategi jangka panjang yang dimainkan KLIA," katanya lagi.
KLIA merupakan satu-satunya lapangan terbang di dunia yang menggunakan sistem pengurusan lapangan terbang bersepadu (TAMS).
"TAMS berfungsi mengumpulkan dan memproses data daripada 43 subsistem talian komunikasi lapangan terbang dan merupakan sistem integrasi terbesar dalam mana-mana lapangan terbang pada ketika ini.
"KLIA juga berkedudukan sebagai hab kargo dan perniagaan antarabangsa melalui kewujudan Zon Komersiol Bebas untuk perkhidmatan kargo dengan kapasiti yang boleh diperluaskan lebih 1 juta tan setahun," kata Azmi.
Di skala global, KLIA menawarkan laluan terus ke lebih 100 destinasi seluruh dunia.
Sebagai bukti infrastruktur bertaraf dunia dan perkhidmatan pelanggan berkualiti tinggi, KLIA telah memenangi pelbagai anugerah industri.
Antaranya ialah dipilih sebagai Lapangan Terbang Terbaik dunia untuk kategori 15 juta hingga 25 juta penumpang setahun, buat kali ketiga berturut-turut dari tahun 2005.
Pada tahun lalu, berikutan kejayaan audit sistem pengurusan kualiti perkhidmatan penumpang, KLIA telah menjadi lapangan terbang pertama di dunia yang menerima pensijilan Airport Service Quality (ASQ) Assured daripada badan pentadbiran lapangan terbang dunia, Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI).
ASQ merupakan penanda aras premium bagi lapangan-lapangan terbang yang ingin mengukur dan memberikan komitmen bagi memperbaiki mutu perkhidmatan pelanggan mereka.
KLIA juga dianggap sebagai Lapangan Terbang Terbaik di benua Asia Pasifik dan Lapangan Terbang Ketiga Terbaik di Dunia pada tahun 2006.
KLIA juga meraih Pensijilan Green Globe 21, menjadikannya lapangan terbang mesra alam di Asia Pasifik.
"KLIA amat komited terhadap alam sekitar dengan mengamalkan pengurusan alam sekitar, sisa, tenaga, sumber, pengawalan bunyi, air dan banjir yang baik," kata Azmi.
| LAPANGAN terbang memainkan peranan sebagai pemangkin sosioekonomi negara sekali gus merapatkan hubungan masyarakat antarabangsa.
|
Menyentuh mengenai sambutan ulang tahun ke-10 KLIA, Azmi berkata : "Dalam masa 10 tahun ini, kami telah memenuhi ketetapan dan piawaian standard kategori perkhidmatan lapangan terbang.
"Kami juga bersyukur dengan pencapaian cemerlang yang dikecapi selama ini dan berharap ia terus dirahmati."
Sebagai tanda sambutan ulang tahun itu, KLIA menganjurkan pelbagai aktiviti untuk warga kerjanya, di samping pameran khas bersempena ulang tahun ke-10 di terminal pelepasan dan malam penghargaan kepada syarikat penerbangan dan pembekal perkhidmatan di KLIA
"Pelbagai program telah dirancang untuk meraikan sambutan yang cukup bermakna ini," kata Azmi.
Tambahnya, sehingga tahun 2007, jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan di KLIA mencecah 26.5 juta.
Justeru, mulai tahun ini, KLIA akan bersaing dengan lapangan-lapangan terbang lebih besar apabila ia melangkah ke kumpulan jumlah penumpang 25 sehingga 40 juta penumpang setahun.
aku rasa ni ada lah airport yg bersejarah dan antara yg memang best kat dunia... walaupun aku suka ada lagi few airports yang aku pernah sampai.. masa aku study kat NIU .. aku kena pergi chicago o'hara dulu sebelum aku flew ke Dekalb... dan o'hara memang besar weyyyy dan canggih habis... tapi aku suka KLIA.. sebab teratur dan mudah informasi kat sana... |
|
|
|
|
|
|
| |
|