Majlis Bandaraya Seremban tanggal pintu penyewa PPR culas bayar sewa
Majlis Bandaraya Seremban (MBS) menjalankan operasi menanggalkan pintu rumah terhadap penyewa yang culas membayar sewa PPR di bawah kendalian agensi itu, minggu lalu. FOTO IHSAN MBS.
Seremban: Majlis Bandaraya Seremban (MBS) menjalankan operasi menanggalkan pintu rumah penyewa yang culas membayar sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah kendalian agensi itu, minggu lalu.
Datuk Bandar Seremban Datuk Masri Razali berkata, tindakan diambil terhadap penyewa yang mempunyai tunggakan sewa RM15,000 ke atas.
"MBS mengadakan Operasi Tunggakan Sewa di Pangsapuri Rakyat Seri Perdana Paroi (PPR Paroi). Operasi ini turut dibantu anggota Balai Polis Paroi.
"Untuk makluman, operasi ini dilakukan secara berhemah tanpa membabitkan sebarang insiden dalam melaksanakan tindakan penguatkuasaan," katanya pada kenyataan, hari ini.
Masri berkata, MBS sentiasa memberi peluang dan mengutarakan pelbagai kaedah supaya penyewa yang mempunyai tunggakan dapat menjelaskan bayaran sewa.
"MBS melaksanakan aku janji antara penyewa yang mempunyai tunggakan melebihi RM15,000 ke atas untuk menjelaskan bayaran tunggakan secara ansuran bermula Januari tahun lalu.
"Namun, penyewa masih gagal mematuhi perjanjian itu sehingga MBS mengeluarkan Notis Penamatan Perjanjian melalui surat bertarikh 30 November 2024.
"Bagaimanapun, MBS masih membenarkan penyewa yang mempunyai tunggakan bayaran sewa untuk tinggal di rumah berkenaan buat sementara waktu.
"Namun MBS juga mengambil tindakan menanggalkan semua pintu di rumah terbabit supaya mereka segera menjelaskan tunggakan," katanya.
Menurutnya, MBS akan meneruskan operasi ini secara berkala dari masa ke semasa dan meminta penyewa di PPR Paroi dan PPRT Lobak menjelaskan bayaran sewaan mengikut masa yang ditetapkan.
|