|
Written by Siti Nurhaliza
| Wednesday, 15 April 2009 15:48
| Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua.
Pertama sekali Siti ingin memanjatkan rasa syukur kehadrat Ilahi kerana denganbakat kurniaanNya kepada Siti, kita semua dipertemukan sepanjang 14 tahun ini. Menerusi bakat seni yang Siti ada, kita diberikan ruang dan peluang untuk bertemu dan saling mengenali, menghargai dan tentunya Siti amat berterima kasih dengan pengalaman ini.
Alhamdulillah, 1 April yang lalu, genap 14 tahun Siti berkecimpung dalam bidang seni, satu jangkamasa yang bagi Siti sudah mematangkan dan Siti telahpun mengharungi segala kemanisan dan pahit maung.
Banyak kisah yang terjadi, pelbagai peristiwa datang dan pergi, kejayaan dan kedukaan silih berganti namun semua yang diharungi ini adalah sesuatu yang telah menjadikan Siti lebih mengenal erti hidup, insaf, bersyukur dan tabah.
Terima kasih kepada anda semua yang telah menjadi sebahagian daripada hidup Siti, suka, marah, rajuk, tangis anda juga adalah sebahagian daripada apa yang kita kongsi bersama selama 14 tahun ini.
Sebagai manusia biasa, setiap seorang daripada kita mahu menjadi sempurna tetapi itulah fitrahnya kita sebagai insan, tak lepas dengan salah dan silap dan juga kita diajar untuk terus memperbaiki diri, memberikan apa yang terbaik di sampai menghargai antara satu sama lain.
14 tahun tidak akan memberi erti tanpa anda semua di sisi Siti, kerana andalah Siti masih berada di sini. Kemanisan mengulangi gelaran Penyanyi Wanita Popular kali ke 12 dalam Anugerah Bintang Popular pada 12 April lalu adalah berkat sokongan dan kepercayaan anda semua, terima kasih di atas setiap apa yang telah anda lakukan.
Banyak sekali perkara yang mahu Siti kenang, namun sesuatu yang menyentuh hati Siti adalah kesediaan anda untuk berada bersama Siti waktu susah dan senang. Tidak mudah mencari dan memiliki peminat seperti anda dan Siti amat berterima kasih.
InsyaAllah banyak lagi kerja yang harus dilakukan, perancangan dan juga perjalanan masih jauh, doakan yang terbaik buat Siti dan SNP. Semoga apa yang kami lakukan memberikan kejayaan kerana semuanya adalah untuk anda.
Siti juga dengan gembira dan bersyukur di sini ingin mengumumkan bahawa album Coda, anak didik pertama SNP, sudahpun berada di pasaran yang berjudul Retorik Audio. Berilah sokongan kepada mereka sebagai artis baru dan dapatkan album mereka, hayati lagu dan liriknya kerana Coda adalah sebahagian daripada keluarga kita.
Salam sayang buat semua. Terima kasih atas segalanya.
Siti Nurhaliza
| Last Updated ( Wednesday, 15 April 2009 16:02 )
| |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|