Ketika Ramadhan mereka diingati dan kemudian anak-anak yatim ini dilupakan kembali.
“Mak, surat bantuan tak sampai lagi ke?”, tanya saya pada ibu yang sedang membuat biskut raya di dapur. Kakak dan kakngah pula sedang membuat kuih siput.
Agar-agar kering di dalam talam saya balik-balikkan.
“Belum lagi, mungkin esok kot”, balas ibu.
……………………..
Itu di antara kisah saya dahulu. Setiap tahun di bulan Ramadhan ada sesuatu yang saya nanti-nantikan. Begitu juga kakak, abang dan adik saya. Surat yang menjemput anak-anak yatim ke majlis pemberian sumbangan untuk hari raya.
Jumlahnya seingat saya RM30 seorang. Berbekalkan duit itulah kami dapat membeli selipar, baju dan seluar. Saya tidak pernah membeli kasut raya.
Mengenangkan hari raya, kadang kala apabila teringat kisah-kisah lama sering membuatkan saya sebak. Apatah lagi bila terdengar lagu raya yang agak menyentuh hati saya suatu tika dulu.
Siapakah yang sudi
Menghulurkan simpati
Kepada nasibku ini
Agar dapat kurasa
Nikmat di hari raya
Seperti insan yang lain…. Disertakan juga dengan kisah Rasulullah S.A.W yang sudah pasti kita selalu dengar. Kisah tentang sewaktu baginda hendak pergi menunaikan Solat Hari Raya. Di perjalanan baginta ternampak seorang kanak-kanak yang keseorangan. Lantas ditanya mengapa bersedih di hari kanak-kanak lain bergembira. Dijawabnya bahawa dia kini sudah menjadi anak yatim dan tidak mempunyai baju baru untuk dipakai pada hari raya. Akhirnya Rasulullah mempelawa kanak-kanak itu untuk menjadi anak kepada Muhammad, mempunyai kakak bernama Fatimah.
KITA DAN ANAK YATIM
Di bulan Ramadhan, anak-anak yatim di rumah-rumah anak yatim begitu bertuah. Dijemput ke sana sini untuk diraikan untuk majlis berbuka puasa. Dalam masa yang sama menerima sumbangan untuk hari raya.
Walaupun kadang-kala sebenarnya ia lebih mengundang nestapa.
Bagi anak-anak yatim yang lain, mungkin tidak berpeluang untuk diraikan. Apa yang lebih malang apabila mereka ini langsung tidak dipedulikan. Tiada majlis untuk mereka. Juga yang lebih parah ialah tiada sumbangan untuk mereka.
Mereka juga manusia. Mereka juga ingin bergembira. Kita berpuasa, mereka juga sama. Kita bergembira di hari raya.
Bagaimana dengan mereka?
Untuk menjalani kehidupan, jangan dilupa bahawa mereka bukan hanya hidup di bulan Ramadhan. Di bulan-bulan lain juga ada keperluan yang perlu dipenuhi.
Malang apabila anak-anak yatim hanya diraikan di bulan Ramadhan. Ramadhan dilihat signifikan dengan sumbangan untuk anak-anak yatim. Kemudian, mereka dilupakan lagi. Tunggulah Ramadhan akan datang, insya Allah mereka akan diingati kembali.
Perbelanjaan sekolah mereka bagaimana? Lebih dari itu, anak-anak yatim ini perlukan juga kasih dan sayang. Mendambakan perhatian. Menginginkan tunjuk ajar untuk menempuh masa depan.
Ketika baru bergelar anak yatim
Buat mereka yang pernah bergelar anak yatim di luar sana, kita pasti pernah merasai pahit maung, susah payah, pedih derita menjalani kehidupan. Mengorbankan keinginan kerana tidakmampuan.
Menyimpan rasa cemburu melihat teman gembira di sisi ibu ayah. Sedangkan kita menahan rasa rindu itu di sebalik raut wajah seribu rahsia. Menghantar rindu hati pada insan bergelar ayah di dalam doa dan di sisi pusara.
Kita yang pernah melewati saat itu, andai berkemampuan, bantulah anak-anak yatim yang lain kerana kita juga pernah seperti mereka.
Buat anak-anak yatim di luar sana, tabahkan hati. Teruslah berusaha. Bukankah Rasululah dilahirkan sebagai anak yatim?
Malah kehilangan ibu pula ketika berusia 6 tahun.
Gelaran anak yatim bukanlah penghalang untuk meraih kejayaan. Percayalah kejayaan yang diperolehi kelak akan terasa manisnya.
Salam Ramadhan.
Kongsilah kegembiraan bersama mereka.
Hisham Ahmad
ilmuone.com |