View: 2114|Reply: 1
|
Faizal, Dayang Bantu Pesakit HIV/AIDS
[Copy link]
|
|
Post Last Edit by santubung at 6-9-2009 11:30
Oleh NORZASRUDIN MOHAMED NOR
[email protected]
DAYANG dan Faizal tidak lokek menyampaikan mesej positif kepada masyarakat.
PENGARUH golongan selebriti dalam membantu mengubah persepsi negatif orang ramai terhadap HIV/AIDS semakin dirasai.
Tumpuan orang ramai sangat berbeza apabila seorang artis berbicara mengenai AIDS, berbanding ketika doktor atau pakar bercakap mengenai isu yang sama.
Ternyata usaha Majlis AIDS Malaysia (MAM) mengumumkan Program Selebriti Sokongan Riben Merah 2009/2010 pada 21 April lalu tidak sia-sia.
Hasilnya dapat dilihat dengan jelas pada Majlis Berbuka Puasa di Pusat Konvensyen Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu pada 28 Ogos lalu.
Majlis anjuran bersama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu itu mendapat sambutan yang hangat ekoran kemunculan dua selebriti popular tanah air, Faizal Tahir dan Dayang Nurfaizah. Pada majlis itu, seramai 45 orang ibu tunggal dari Kuala Terengganu menerima sumbangan Hari Raya daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Nordiyanah Hassan dan Presiden MAM, Prof. Dr. Adeeba Kamarulzaman.
Menurut Faizal, beliau mempunyai peranan dan tanggungjawab yang sangat besar dalam memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kempen stigma dan diskriminasi ini.
Katanya, HIV atau AIDS bukan satu isu baru di negara ini dan semua orang termasuk golongan pelajar sekolah dan orang dewasa sudah mengetahuinya.
"Mesej yang ingin disampaikan dalam kempen ini adalah satu mesej yang dipilih dengan motif yang penting iaitu memberi kesedaran.
"Bagaimanapun ia bukan untuk memberi kesedaran tentang kewujudan HIV/AIDS tetapi mengenai stigma dan diskriminasi di kalangan orang-orang kita terdapat golongan yang mengidap penyakit ini," katanya.
Menurut Faizal, pembabitan beliau adalah lebih kepada berkongsi pendapat dan menggunakan kelebihannya sebagai artis untuk memberi kesedaran pada orang ramai. Katanya, dalam hal-hal seperti ini, beliau dan rakan-rakan yang artis lain tidak dibayar dan meminta apa-apa balasan untuk melakukan perkara-perkara begini.
Sementara itu, bagi Dayang, peranan beliau dalam kempen ini adalah untuk mengurangkan stigma dan diskriminasi yang dialami golongan yang mengidap penyakit ini.
"Sebagai seorang penyanyi, orang ramai terutamanya peminat Dayang lebih senang dan tidak malu untuk bertanya berbanding terhadap seorang doktor atau pakar.
"Peminat Dayang sendiri ada bertanya mengenai Program Selebriti Sokongan Riben Merah yang dilancarkan ini," katanya.
SIBUK melayan anak-anak yatim yang cukup seronok dengan kehadiran mereka.
Menurut Dayang, beliau turut terbabit dalam program Bazar Amal Karyawan untuk kanak-kanak HIV/AIDS yang diadakan di Petaling Jaya baru-baru ini.
Katanya, ramai artis-artis terlibat dalam program itu untuk melelong barang-barang mereka dan sebahagian daripada pendapatan hari itu didermakan kepada Yayasan AIDS Malaysia.
Ketika ditanya mengenai aktiviti yang dilakukan dalam bulan Ramadan ini, Faizal mendedahkan bahawa beliau sibuk untuk menyiapkan album kedua di studio.
Katanya, jumlah lagu untuk album kedua ini masih belum diketahui tetapi mengikut perancangan awal beliau akan muncul dengan lapan lagu. Bagaimanapun ada kemungkinan album yang akan berada di pasaran pada Disember ini akan dimuatkan dengan sepuluh lagu.
Pada masa yang sama, Faizal turut mendedahkan bahawa beliau baru sahaja selesai merakamkan single kedua yang akan dikeluarkan tidak lama lagi. Meskipun tajuk lagu hasil ciptaan dengan Audy Mok itu masih belum diketahui, ia dijangka berada di pasaran selepas Hari Raya Aidilfitri ini.
Sama seperti Faizal, Dayang turut mendedahkan bahawa beliau sibuk di studio untuk menyiapkan album terbaru yang dijangka berada di pasaran awal tahun depan. Katanya, setakat ini beliau juga sibuk mempromosikan album rakaman pertama yang diterbitkan tahun ini.
"Tahun ini Dayang tidak terbabit dalam mana-mana program raya kecuali di Singapura selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.
"Buat masa ini, Dayang tidak terfikir untuk berlakon kerana masa yang ada hanya cukup untuk menyanyi," katanya.
Jelasnya, sama seperti tahun-tahun lalu, persiapan untuk menyambut hari lembaran kali ini adalah sederhana.
Bagaimanapun, beliau akan bercuti dari 10 September hingga 1 Oktober untuk pulang ke kampung halaman di Kuching, Sarawak.
credit: KOSMO
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0903&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_02.htm |
|
|
|
|
|
|
|
patut ramai lg artis terlibat dlm kerje2 amal ni..... |
|
|
|
|
|
|
| |
|