|
Dengarnya...: Lagu khas Siti untuk arwah bapa
KETIKA artikel ini ditulis, Datuk Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa sedang berada di Tanah Suci Makkah menunaikan ibadat umrah. Tak silap Cik Normah pasangan ini akan kembali ke tanah air pada malam raya kelak.
Cik Normah sengaja memulakan pembayang kisah penyanyi jelita yang baru muncul dengan album kerohanian, Tahajjud Cinta itu. Dalam sibuk Siti membuat pelbagai perkara, penyanyi kesayangan ramai itu masih sempat melunaskan projek istimewa membabitkan ahli keluarganya yang lain.
Teman sepejabat Cik Normah yang sedang enak bersahur di sebuah restoran di Jalan Yap Kwan Seng memberitahu Siti akan tampil dengan sebuah lagu yang didedikasi khas untuk Allahyarham bapanya, Tarudin Ismail yang menghembuskan nafas terakhir pada 15 Februari lalu.
Menariknya bukan hanya Siti menyanyikan lagu itu, sebaliknya, abangnya, Ayie, Saida, Sairah dan adik lelakinya pun menyumbangkan suara. Lagu itu dicipta oleh komposer popular, Aidit Alfian dan liriknya hasil ilham suami kesayangan personaliti TV Astro Awani, Dang Suria iaitu AD Samad.
Tak dinafikan kolaborasi Aidit dan Ad memang menjadi dan banyak lagu yang dinyanyikan artis tanah air meletup dan mendapat perhatian. Contohnya seperti lagu Juara Akademi Fantasia musim ketujuh, Hafiz menerusi single pertamanya, Masih Jelas.
Suami kesayangan Ekin, Mawi pun turut menggunakan khidmat komposer yang sama bagi menyanyikan sebuah lagu berkonsepkan Melayu deli. Sebenarnya ramai lagi yang sedang menunggu giliran untuk bekerjasama dengan Aidit Alfian. Penyanyi Elyana pun masih menggunakan Aidit untuk album terbarunya.
Terbaru, penyanyi baru mirip pelakon Lisa Surihani iaitu Ana Raffali turut menggunakan khidmat Aidit untuk menerbitkan albumnya. Ana Raffali ini kiranya penyanyi indie seperti Yuna yang menggunakan medium laman maya seperti Myspace untuk berkongsi bakat mereka dalam mencipta lagu.
Ana menjadi artis pertama yang bernaung di bawah label Aidit Alfian Records. Berbalik kepada cerita Siti dan adik- beradiknya itu, Cik Normah diberitahu ketika ini, hanya Siti yang sudah merakamkan bahagian suaranya untuk lagu itu. Kiranya mereka rakam secara berasingan kerana faham-faham sajalah, jadual Siti memang ketat |
|