View: 4865|Reply: 10
|
di sebalik tabir BALING 55!!
[Copy link]
|
|
Belang sebenar Chin Peng
Oleh Mohd Azis Ngah dan Safuri Kamarudin
Pemimpin PKM itu tunjuk sikap angkuh mahu ideologi komunis diiktiraf
SEMINGGU lalu, genap 54 tahun peristiwa bersejarah Rundingan Baling 1955 yang diadakan selama dua hari pada 28 dan 29 Disember 1955 bertempat di Baling English School atau nama barunya, Sekolah Rendah Kebangsaan Tunku Putra (SRKTP).
Rundingan khas atau 'Baling Talk 55' antara Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dengan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng itu antara usaha menuntut keamanan, menghentikan pertumpahan darah, kekejaman dan kezaliman ke atas rakyat.
Proses rundingan di daerah pedalaman Kedah itu juga boleh dianggap antara usaha terakhir kerajaan meyakinkan British bahawa anak tempatan layak memerintah negara sendiri dan bersedia menuntut kemerdekaan.
Buktinya, beberapa hari hari selepas pertemuan bersejarah itu berlangsung, Tunku terus berangkat ke London meneruskan pula rundingan kemerdekaan dengan British.
Namun, Rundingan Baling dikatakan gagal - puncanya cukup mudah, iaitu kerana sikap ego, degil serta keengganan Chin Peng menerima keamanan, tidak sanggup menyerah diri dan memilih pertumpahan darah sebagai saluran perjuangannya.
| Dari kiri Rashid Maidin, Chin Peng dan Chen Tien pada awal sesi rundingan. Gambar kecil, perakam suara yang dipasang pada siling bilik rundingan.
|
Sepanjang rundingan, Chin Peng sudah memperlihatkan sikap tidak percayakan sesiapa, sedangkan kerajaan bersusah payah menjayakan proses itu serta gencatan senjata bagi memastikan pertemuan berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
Sedikit suntingan catatan Setiausaha Peribadi Tunku, Tan Sri Shafie Abdullah yang menyertai rundingan itu dan catatan wartawan, Harry Miller, memperlihatkan belang sebenar Chin Peng, tetapi maklumat berkenaan sebenarnya jarang dihebahkan.
Catatan berbunyi: "Pada petang 28 Disember 1955, masuklah Tunku bersama Encik David Marshall (Ketua Menteri Singapura), Encik Hamid Jumat, Datuk (Sir) Tan Cheng Lock, Encik Yaacob Latiff, Encik Too Joon Hing, Encik TH Tan dan Tuan Syed Jaafar Albar ke bilik rundingan.
Chin Peng, Chen Tien dan Rashid Maidin dibawa masuk ke bilik rundingan melalui jalan belakang, iaitu dari rumah penginapan mereka oleh Encik John LH Davis (Pegawai Daerah Butterworth). Chin Peng duduk bertentangan dengan Tunku dan diapit Rashid dan Chin Tien.
| Orang ramai berkumpul sepanjang laluan ke sekolah untuk melihat wakil rundingan. |
Sebaik saja duduk, Chin Peng terus memperlihatkan sikap curiga, memerhati keadaan sekeliling seolah-olah tidak percaya jaminan keselamatan yang dijanjikan kerajaan. Chin Peng curiga melihat sesuatu yang dilekatkan pada siling bilik rundingan.
Tunku menjelaskan, ia sebenarnya perakam suara untuk merekodkan butiran perbincangan dan meminta Chin Peng supaya yakin, bahkan membenarkan beliau sendiri memeriksa alat itu jika tidak berpuas hati.
Chin Peng bangun, diikuti Chen Tien lalu memeriksa bilik sebelah dan sekeliling tempat rundingan. Selepas berpuas hati, barulah mereka kembali semula ke kerusi rundingan."
Sikap tidak percaya dan curiga itu berterusan hinggalah tamat rundingan hari pertama. Chin Peng dan rakannya disediakan sebuah bilik tidur di bangunan bersebelahan tempat rundingan. Asal bangunan itu adalah rumah guru dan kini dijadikan galeri pameran.
Individu yang bertanggungjawab menyediakan kemudahan buat pemimpin PKM itu ialah Jaafar Ismail, 83, tukang kebun sekolah yang bertanggungjawab menyiapkan keperluan rundingan, termasuk makanan dan minuman Chin Peng.
Membahasakan dirinya sebagai Pak Lang, Jaafar berkata, Chin Peng turut curiga dengan kemudahan yang disediakan di tempat penginapan dan langsung 'tidak menikmati' apa yang diterimanya.
"Saya diarahkan British supaya menyediakan bilik tidur, menyiapkan makanan dan minuman mereka. Sebuah bilik kecil mempunyai dua katil, siap dengan meja kecil untuk meletak makanan.
"Tetapi, sepanjang dua hari (rundingan), mereka langsung tak sentuh makanan. Langsung tak terusik, bila saya masuk selepas rundingan, keadaannya sama seperti asal. Ada yang kata, mereka takut makanan itu diracun," katanya.
Ketika diberi amanat penting itu, Pak Lang yang berasal dari Kampung Seberang Pekan, Baling, menyediakan roti, susu dan minuman yang semuanya diletakkan dalam bekas tin bertutup.
Anak jati Baling ini juga hairan bagaimana pemimpin PKM itu boleh bertahan dua hari tanpa makan dan minum. Terdetik dalam hatinya, jika beginilah keadaannya, rundingan pasti gagal kerana Chin Peng langsung tidak percayakan sesiapa.
Memang benar telahan itu kerana ketika rundingan tiba di penghujungnya pada hari kedua, Chin Peng sekali lagi memperlihatkan keangkuhannya untuk meneruskan ideologi komunis tetapi mahu memastikan kerajaan Tanah Melayu dan Singapura berkuasa penuh mengawal urusan pertahanan negara.
Chin Peng berjanji akan menghentikan peperangan serta merta jika syarat itu dipenuhi, lalu Tunku menjelaskan satu daripada sebab beliau ke England ialah untuk mendapatkan kuasa mengawal sendiri keselamatan dalam negeri.
Namun, Chin Peng menegaskan, meletak senjata bukan maksudnya menyerah senjata kepada kerajaan, keputusan yang kononnya hanya akan diambil mereka sekiranya PKM diakui dan kebebasan mereka tidak lagi disekat.
Sikap angkuh itu ditamatkan dengan kata-kata Chin Peng: "Berdamai ertinya menyerah diri. Menyerah diri ertinya satu penghinaan. Kami tidak akan menyerah diri tetapi akan berjuang sampai ke titisan darah terakhir".
Dengan tegas, Tunku membalas: "Kalau saudara tidak mahu menyerah kalah, kami juga tidak sanggup menerima saudara sekalian menjadi rakyat negeri ini. Kalau keamanan hendak dicapai dalam negeri ini, salah satu pihak daripada kita mesti menyerah.
"Saya tidak sanggup membiarkan Malaya menjadi seperti Korea atau Vietnam. Saya sendiri tidak akan menyerah, sebab itu saudaralah yang mesti menyerah diri," katanya.
Rundingan berakhir begitu saja disebabkan sikap Chin Peng yang angkuh, sedangkan pada pandangan Tunku, tempoh sehari sudah memadai untuk menyelesaikan rundingan.
Namun, Bapa Kemerdekaan ini sanggup memberi ruang dan peluang mendengar penjelasan Chin Peng hingga ke hari kedua, tetapi proses itu tetap juga menemui jalan buntu.
Info: Rundingan Baling
September 1955: Tawaran pengampunan beramai-ramai kepada komunis dan 40 juta risalah 'Tawaran Menyerah Diri' serta 12,000 pas pengampunan digugurkan di hutan belantara dalam bahasa Melayu, Cina dan Tamil.
Kandungannya 'kalau kamu menyerah diri, keluar dari hutan, kamu tidak akan dihukum kerana kesalahan yang kamu lakukan berhubung darurat'.
Akhir September 1955, Chin Peng memberi jawapan bertulis menyatakan perjuangan komunis berakhir dan meminta gencatan senjata serta rundingan menamatkan perang.
Surat itu dihantar dari Kampung Kelian Intan, Keroh, Perak kepada Tunku Abdul Rahman; Ketua Menteri Singapura, David Marshall; Sir Tan Cheng Lock dan pemimpin Parti Perikatan lain.
Pertemuan awal: kerajaan diwakili Timbalan Menteri Pelajaran, Too Joon Hing dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Tanah Melayu, Ian C Wylie, manakala PKM oleh Chen Tien.
Tiga rundingan awal berlangsung di Kampung Kelian Intan (sehingga November).
Wylie yang juga bekas Pegawai Pasukan 136 ketika Perang Dunia Kedua cukup kenal Chin Peng dan Chen Tien kerana berkhidmat dalam pasukan sama.
Tiga hari selepas Tunku pulang dari Indonesia, Chin Tien membawa surat Chin Peng mengandungi cadangan rundingan.
Tempoh 10 hari terakhir Disember, pasukan keselamatan diarah melaksanakan gencatan senjata mengejut meliputi kawasan 400 batu persegi termasuk Baling, Kroh (Pengkalan Hulu), Kelian Intan dan sempadan Thailand.
Tiada kata sepakat dicapai selepas PKM enggan menerima pelan damai kerajaan dan meneruskan gerakan bersenjata. |
|
|
|
|
|
|
|
Penduduk diarah 'berpindah'
Oleh Mohd Azis Ngah dan Safuri Kamarudin
Bangunan asal bilik rundingan kini dijadikan bilik darjah.
|
KETIKA Rundingan Baling 1955, ribuan rakyat berkumpul di daerah pedalaman Kedah itu semata-mata mahu menyaksikan sendiri peristiwa bersejarah berkenaan, tetapi ada juga yang datang kerana mahu melihat rupa pemimpin komunis.
Ketika itu juga, jutaan rakyat Tanah Melayu menunggu dengan penuh debaran hasil rundingan kerana keputusannya akan mempengaruhi rundingan mencapai kemerdekaan daripada British.
Beratus wartawan asing turut berkampung di bangunan lama Pejabat Tanah Baling (Mahkamah) di Jalan Mahmud yang dijadikan pusat media untuk melaporkan perkembangan terkini.
Persetujuan Chin Peng untuk berunding ke arah gencatan senjata dilihat akan mempercepatkan proses kemerdekaan Tanah Melyu, tetapi apa yang tersirat ialah Parti Komunis Malaya (PKM) sebenarnya sudah lemah dan tidak mendapat sokongan.
Pegawai Penyelaras Keselamatan Tanah Melayu, Bob Thomson menganggap gerakan PKM sebagai ‘membuang masa beberapa tahun yang terpaksa ditunggu Tanah Melayu untuk mendapatkan kemerdekaan. Surat dan persetujuan Chin Peng telah menyegerakan tarikh berkenaan’.
Namun hasil rundingan mengecewakan kerana PKM enggan menerima pelan perdamaian dikemukakan Tunku yang membenarkan mereka hidup bebas tetapi syaratnya tidak lagi mengamalkan ideologi komunis.
| Jaafar menunjukkan kedudukan wakil PKM ketika rundingan di Galeri Putera, SK Tunku Putra, Baling.
|
Bekas kakitangan pentadbiran Baling English School, Mat Hassan Bakar Ali, 77, berkata rundingan yang berlangsung di sekolah berkenaan diadakan pada musim cuti sekolah.
Sepanjang tempoh itu, katanya, penduduk dan penyewa rumah dalam lingkungan 10 kilometer persegi dari sekolah terbabit diarahkan berpindah keluar selama empat hari.
“Cuma ketua polis daerah dan pegawai daerah dibenarkan berada dalam lingkungan kawasan itu. Kerajaan memperuntukkan RM10,000 nak buat rundingan... jumlah yang cukup besar pada masa itu.
“Belanjanya termasuk untuk kos elektrik, keselamatan, makanan dan logistik untuk pastikan rundingan lancar, tetapi hasilnya cukup mengecewakan. Saya sendiri sanggup menunggu lama di tepi kawasan sekolah untuk tengok rundingan,” katanya.
Anak jati Kampung Banggol Lada ini menjelaskan, dalam tempoh gencatan senjata, ramai anggota PKM lengkap beruniform masuk ke pekan membeli barangan dan makan di gerai, bebas bergerak tanpa gangguan dan menghilangkan diri sebaik rundingan tamat.
Disebabkan kawalan keselamatan ketat, Jabatan Penerangan ketika itu mengadakan ‘wayang pacak’ dan sesi penerangan selama tiga hari berturut-turut untuk memaklumkan perkembangan rundingan.
“Mereka siarkan rakaman filem, gambar yang dipancarkan pada skrin putih dan sesi taklimat. Beribu rakyat berkumpul di padang bola, sanggup datang dari jauh semata mata mahu mendengar taklimat selama dua jam sehari.
“Zaman dulu belum ada televisyen dan radio. Jadi, mereka siarkan apa yang berlaku sepanjang proses rundingan,” katanya yang bekerja di Pejabat Pengetua sekolah berkenaan sejak 1952.
Nostalgia itu juga terpahat dalam memori Jaafar Ismail, 83, yang masih ingat betapa bersemangat penduduk bersama polis dan tentera bergotong royong membersihkan semak dan hutan di sekeliling sekolah dalam tempoh dua minggu sebelum rundingan.
Penduduk Kampung Pekan Lama, Pulai, Isa Taib, 74, juga masih ingat bagaimana beliau sanggup berbasikal seawal pagi untuk ke tempat rundingan kerana begitu teruja ingin melihat wajah Chin Peng dari dekat.
“Saya nampak Chin Peng pada jarak 10 meter... mukanya bengis, pakai seluar pendek, memang muka komunis, langsung tak ada belas kasihan. Saya juga pernah tengok Rashid Maidin di Yala, Thailand ” kata datuk kepada lapan cucu ini.
Ahli kaji bumi ini juga pernah menemui bekas makanan komunis dalam hutan, iaitu ketupat daun buluh dan nasi bungkus lalu memaklumkannya kepada pasukan tentera.
Malangnya, enam askar mati diserang hendap pengganas di situ pada 20 Oktober 1984, kira-kira 30 tahun selepas Rundingan Baling berlangsung yang mencerminkan sikap dendam komunis tidak pernah padam. |
|
|
|
|
|
|
|
Dalam peperangan kalau kita jumpa musuh 'samada kita tembak dia atau kita ditembak"
sama juga kalau Askar jumpa komunis terus tembak begitu juga dipihak komunis. |
|
|
|
|
|
|
|
Syaitan tu ni aku rasa tak perlu la balik ke Tanah Melayu ni lagi. |
|
|
|
|
|
|
|
nak balik sini kunun...
leh blah...~ |
|
|
|
|
|
|
|
Chin Peng (lahir 21 Oktober 1924) ialah nama samaran Ong Boon Hwa, ketua Parti Komunis Malaya.
Beliau bukannya berasal dari China sebagaimana sangkaan ramai. Chin Peng dilahirkan di sebuah kedai kecil dua tingkat menjual basikal, di No. 36, Jalan Kampung Koh, Sitiawan yang terletaknya 50 kilometer dari barat daya bandar Ipoh, Perak. Beliau merupakan anak kedua daripada enam beradik yang hidup dalam kemiskinan. Ayahnya datang dari negara China dan kecewa akibat kemelesetan ekonomi 1930. |
|
|
|
|
|
|
|
Reply 6# abae
Aku doakan semoga Chin Peng ni menemui ajal dia dengan penuh kehinaan sebagai balasan atas kekejaman dia pada masa lalu. |
|
|
|
|
|
|
|
Masaalahnyer ada ler org2 Melayu yg sokong si malaun ni blk ke M'sia! |
|
|
|
|
|
|
|
rundingan baling gagal.
pertempuran berterusan.
namun akhirnya sinar damai dicapai pada penghujung 80an |
|
|
|
|
|
|
|
kat mana dia ni sebenarnya sekarang? |
|
|
|
|
|
|
|
Reply 10# sevenoctober
tak silap aku kat selatan thai |
|
|
|
|
|
|
| |
|