|
Pengasasan Dan Perkembangan Pentadbiran Kedah Moden
- Tarikh sebenar bilakah istilah "Setiausaha Kerajaan" mula digunakan di Kedah tidaklah dapat dipastikan dengan tepat. Bagaimanapun tokoh pentadbir Che Mohd Ariffin bin Mohd Arshad sudah menggunakan gelaran atau jawatan itu sejak 3 Syawal 1323 (3 Oktober 1905).
- Begitu juga dalam surat menyurat rasminya seperti surat bertarikh 17 Zulhijjah 1323 (12 Februari 1906) terdapat tajuk bertulis begini:
"Surat Che Mohd Ariffin Secretary Pada Che Awang Osman di Pulau Pinang Fasal Beli Marble Yang Hendak Dipakai Di Rumah Duli Yang Maha Mulia".
- Dalam masa yang sama, Che Mohd Ariffin juga menulis jawatannya sebagai "Setiausaha Sultan".
- Hal ini sering dapat dilihat dalam catatan Mesyuarat Majlis Negeri yang menyenaraikan kehadiran ahli-ahli Majlis itu pada setiap kali mesyuarat diadakan, nama beliau ditulis begini: "Secretary Duli Yang Di Pertuan Yang Maha Mulia".
- Dengan ini dapatlah dikatakan bahawa di samping mamakai gelaran jawatan sebagai "Setiausaha Kerajaan", Che Mohd Ariffin juga bertindak selaku "Setiausaha Sultan".
- Dalam susunan pentadbiran Negeri Kedah sejak sebelum Perang Dunia Kedua, di puncak struktur kuasa ialah Sultan. Setiausaha Kerajaan merupakan Pegawai Tadbir Melayu yang paling tinggi. Sebelum tahun 1921, perkhidmatan "Kedah Civil Service" (KCS) belum diwujudkan dan pegawai tadbir dikenali sebagai Pegawai Tadbir Melayu (Malay Civil Service). Ketua pentadbir dikenali sebagai "Kepala Pekerjaan" atau "Ketuha (Ketua) Pekerjaan".
- Merujuk kepada Laporan Tahunan 1937, terdapat seramai enam puluh satu orang menyandang jawatan "Kedah Civil Service" dan dua puluh orang kadet.
- Pejabat Setiausaha Kerajaan yang pertama dikatakan bermula di Balai Besar seperti juga dengan Pejabat Majlis Negeri. Kemudian dalam tahun 1911 ianya dipindahkan ke bangunan setingkat yang dibina daripada kayu terletak di kawasan Kompleks Istana Kota Tengah bersebelahan dengan Wisma Negeri sekarang.
- Di samping "Secretariat", nama lain bagi Pejabat Setiausaha Kerajaan lazimnya dikenali umum dengan panggilan "Opis Dalam". Penggunaan nama tersebut bukanlah kerana pejabat ini terletak dalam kawasan kota atau istana tetapi dirujuk kepada peranan dan fungsinya yang mengendalikan urusan-urusan dalam negeri.
- Dalam tahun 1348 Hijrah (1929), barulah pejabat ini berpindah ke bangunan rumah batu dua tingkat yang masih ada lagi sekarang. Bangunan ini terletak berhampiran dengan bangunan kayu asal yang dirobohkan sesudah itu. Ketika Jepun menduduki Kedah (Disember 1941), sistem pentadbiran Tentera diperkenalkan diketuai oleh Mejar Jeneral Sukigawa Seiji selaku Gabenor dan K. Shiba sebagai penasihatnya. Mereka menjadikan bangunan Setiausaha Kerajaan sebagai ibu pejabat mereka.
- Pada 18 Oktober 1943, majlis penyerahan kuasa secara rasmi ke atas negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu daripada Jepun kepada naungan Thai telah berlangsung di Alor Star.
- Gabenor Jeneral Thai yang bertanggungjawab bagi keempat-empat buah negeri itu ialah Khun Rongchart sementara Gabenor Kedah ialah Khun Pramot Chongcharem.
- Kedua-dua mereka menggunakan Bangunan Setiausaha Kerajaan sebagai ibu pejabat mereka sehinggalah pentadbiran Thai di Kedah berakhir pada bulan September 1945. Haji Mohd Sheriff Osman dikekalkan menjadi Setiausaha Kerajaan sementara Gabenor Thai itu bertindak sebagai penasihat kepadanya. |
|
|
|
|
|
|
|
Sejarah Perkembangan
Sejarah penubuhan Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman bermula sejak 84 tahun lalu dengan terasasnya Majlis Negeri (State Council) pada 3 Ogos 1905 bersamaan 1 Jamadilakhir 1323, bertempat di Balai Besar, Alor Star.
Ketika itu Kedah masih di bawah naungan Kerajaan Siam dan Sultan Kedah waktu itu ialah Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah, Sultan Kedah Darul Aman yang ke-25 (1881-1943).
Sebab utama yang membawa kepada penubuhan Majlis tersebut ada kaitan rapat dengan soal krisis kewangan yang berlaku di Kedah yang begitu rumit untuk diselesaikan.
Seorang Pegawai Inggeris yang berkhidmat dengan Kerajaan Siam di Bangkok iaitu W.J.F. Williamson telah dipinjamkan kepada Kerajaan Kedah sebagai Penasihat Kewangan.
Baginda Sultan Abdul Hamid telah melantik adindanya Tunku Abdul Aziz (Raja Muda) selaku Presiden Majlis Negeri yang pertama, manakala ahli-ahli lainnya ialah Muhammad Ariffin bin Muhamad Arshad (Setiausaha Sultan), Syed Abdullah Al-Mahdali (Pegawai Perbendaharaan)*, Haji Muhammad (Hakim Besar), Tunku Ibrahim Ibni Sultan Abdul Hamid Halim Shah (Setiausaha Presiden Majlis Negeri) dan W.J.F. Williamson (Penasihat Kewangan).
Dalam tahun 1907, Baginda telah melantik adindanya Tunku Mahmud sebagai Raja Muda, merangkap Presiden Majlis Negeri untuk menggantikan Tunku Abdul Aziz yang mangkat pada tahun itu. Setelah berlakunya perpindahan naungan dari Kerajaan Siam kepada Kerajaan Inggeris (1909), kedudukan ahli-ahli Majlis Negeri semakin bertambah bilangannya dengan bertambahnya jabatan-jabatan pentadbiran yang penting.
Ahli Majlis Negeri dalam tahun1912 ialah Tunku Mahmud (Presiden), Tunku Ibrahim Ibni Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Syed Hassan Shahabuddin (Hakim Besar), W.G. Maxwell (Penasihat Inggeris), Muhamad Ariffin bin Muhammad Arshad (Setiausaha Kerajaan), Muhammad Sharif (Setiausaha Majlis Negeri) dan G. Gorman (Jurutera Negeri).
Selepas Perang Dunia Kedua dan terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu (1948), jawatan Penasihat British telah dimansuhkan, diganti dengan jawatan Menteri Besar. Menteri Besar yang pertama ialah Haji Mohamad Sheriff bin Osman (1948-1957).
Beliau juga bertindak selaku Presiden Majlis Negeri. Ahli-ahli yang dilantik di samping ahli-ahli rasmi, mengandungi juga ahli-ahli tidak rasmi yang mewakili kepentingan pelbagai kaum di negeri ini.
Di antara golongan kedua yang berkhidmat di peringkat awal ini termasuk Ayob bin Abdullah, Soon Cheng Sun dan C. Moosa bin Haji Abdullah.
Selepas Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan (31 Ogos 1957), pilihanraya umum pertama untuk Ahli Dewan Undangan Negeri telah diadakan pada 15 April 1959.
Sebelum itu, Majlis Negeri yang telah diasaskan sejak 1905 telah dibubarkan pada 31 Mac 1959 (Kedah Gazet No. 20/22 Januari 1959), digantikan dengan Dewan Undangan Negeri yang bertempat di Balai Besar telah berpindah ke bangunan yang baru iaitu di Wisma Negeri.
* nama clan di belakang tu nm org itu adalah nama clan kami |
|
|
|
|
|
|
| |
|