Robot besi yang menyamai ketinggian bangunan lima tingkat itu bukan sahaja mampu menghembuskan nafas berapi melalui hidungnya malah berupaya meranapkan apa sahaja dalam genggaman
KEBOLEHAN robot melaksanakan tugas yang selama ini hanya mampu dilakukan oleh manusia sememangnya mengagumkan. Tetapi zaman sudah memasuki kurun ke-21, bukankah teknologi seperti itu sepatutnya menjadi satu kebiasaan?
Selepas kejayaan penciptaan robot humanoid, tidak ada lagi ciptaan yang mampu menterbeliakkan mata sehinggalah penampilan robot gergasi di Sydney, Australia baru-baru ini.
Kemunculan robot yang mampu 'menelan' sebuah kereta dan memusnahkan apa sahaja itu pasti menggemparkan. Ibarat seperti serangan dalam cerita Transformers.
Robot besi yang menyamai ketinggian bangunan lima tingkat itu juga mampu menghembuskan nafas berapi melalui hidungnya. Malah ia berupaya meranapkan apa sahaja yang berada dalam genggaman.
Selepas lebih 10 tahun menyepi kerana menjalani proses baik pulih, robot yang diberi nama Robosaurus yang pernah menghiburkan penonton di seluruh dunia satu ketika dulu kini bersedia untuk mempamerkan aksi yang lebih menggerunkan.
Diilhamkan daripada dinosaur jenis Tyrannosaurus Rex (T-Rex), Robosaurus baru-baru ini membuktikan keupayaan terbarunya sebagai raksasa pemusnah pada pertunjukkan prebiu sempena sambutan Hari Easter di Australia.
Mark Hays selaku Presiden Monster Robot iaitu syarikat yang memiliki dan menguruskan Robosaurus berkata, robot yang dikendalikan oleh pemandu di bahagian kepala (kokpit) itu mampu mempertontonkan aksi yang tidak pernah terfikir oleh manusia.
Selain semburan api yang menjulang ke langit, robot berteknologi elektro-hidromekanikal itu juga mampu mengangkat, mematah dan memusnahkan apa sahaja struktur dengan cengkaman berkuasa kira-kira 24,000 paun. Bayangkan aksi yang disaksikan dalam filem Transformer berada di depan mata.
Sementara itu, Serina Hays selaku jurucakap syarikat yang juga anak kepada Mark berkata, Robosaurus bakal mengadakan persembahan dua kali sehari sepanjang dua minggu perayaan Easter di Sydney.
"Penonton berpeluang untuk menyaksikan aksi Robosaurus menghancurkan pelbagai jenis kenderaan sepanjang persembahan itu.
"Setelah sekian lama berehat raksasa berusia 22 tahun itu kini kelihatan begitu berselera untuk menikmati 'hidangannya'," ujar Serina merujuk kepada kereta-kereta lama yang dijadikan objek melepas geram Robosaurus.
Pembinaan semula robot itu selesai baru-baru ini selepas dua tahun kerja-kerja peningkatan fungsi dan operasi melibatkan pelaburan 30 syarikat bersama Monster Robot.
Sebagai robot persembahan, Robosaurus kini dipertingkatkan dengan pergerakan anggota badan yang kompleks untuk mempelbagaikan aksi ketika menikmati hidangannya.
Selain kereta, Robosaurus juga mampu menghancurkan kapal terbang.
Robot yang diperbuat daripada besi keluli seberat 30,000 kilogram itu beroperasi menggunakan hidrolik, konsep automasi, sensor dan teknologi kawalan gerakan.
Pengendaliannya dikatakan mirip seperti kawalan robot gundam dalam permainan video.
Dengan puluhan panel kawalan, hanya pemandu yang berpengalaman dibenarkan mengendalikan Robosaurus bagi memastikan pergerakan raksasa itu 'hidup' semasa pertunjukan.
Pengendalian robot itu memerlukan penyelarasan yang sangat tinggi di mana pemandu harus menguasai semua kawalan yang berada di hujung jari, lengan dan kaki.
Seperti operasi robot yang biasa dilihat dalam filem, pergerakan kedua-dua tangan robot ini menggunakan simulasi pergerakan tangan pemandu itu sendiri.
Selain simulasi bahagian lengan, jari pemandu juga sibuk menekan pelbagai punat yang dikawal secara menaik dan menurun.
Misalnya meregangkan jari tengah dan ibu jari serentak menghidupkan operasi cangkuk dan begitulah sebaliknya jika ia dilepaskan.
Di hujung kaki pemandu pula adalah panel kawalan berbentuk pedal dan stereng yang mengawal pergerakan robot.
Walaupun tidak berjalan secara mengangkat kaki, robot yang digerakkan dengan 10 set roda itu mampu bergerak ke depan, berpusing, mengundur dan memecut.
Ketelitian pergerakannya juga dibuktikan dengan keupayaan memegang objek-objek kecil seperti sebatang bendera.
Selepas persembahan, penonton juga berpeluang melihat Robosaurus bertukar bentuk kepada sebuah treler panjang seperti yang dilakukan oleh Optimus Prime dalam Transformers. Kebolehan yang memudahkan urusan mengerakkan Robosaurus untuk memburu lebih banyak kereta dari satu lokasi ke lokasi lain.
Sejarah pembinaan
Pembinaan Robosaurus bermula pada 1998 oleh Hays bersama jurutera Doug Malewicki yang mendapat cetusan idea daripada siri kartun robot paling popular, Transformers.
Robosaurus yang dibina dengan kos AS$2.2 juta itu kini berada di bawah pengurusan syarikat Monster Robots yang berdaftar di Amerika Syarikat.
Selepas melepasi pelbagai peringkat piawaian termasuk ujian pergerakan dan keselamatan, Robosaurus membuat persembahan pertama dua tahun selepas disiapkan.
Kehebatan aksi robot itu juga pernah ditayangkan dalam filem Waking up Reno pada 2002. Sejak itu kehebatan aksi robot itu terus memukau perhatian khususnya kanak-kanak.