[size=0.8]Oleh Izad Thaqif Hassan - November 2, 2021 @ 7:33pm[email protected]
Halimaton Shaadiah (kanan) menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir, Mariani Saad, 47, Kampung Sungai Petani, Kubang Pasu. - NSTP/DANIAL SAAD
KUBANG PASU: Dua keluarga positif COVID-19 yang masih menjalani kuarantin antara mangsa banjir yang melanda sembilan kampung sekitar Mukim Temin, Sungai Laka dan Hosba dekat Bukit Kayu Hitam, malam tadi.
Dua keluarga penduduk di Kampung Nongmi itu kini berada di rumah masing-masing kerana air semakin surut, namun diarah berpindah ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) jika banjir terus melanda.
EXCO Pembangunan Wanita, Kebajikan, Keluarga dan Masyarakat negeri, Datuk Halimaton Shaadiah Saad, berkata pihaknya perlu mengasingkan penduduk yang didapati positif COVID-19 daripada mangsa banjir lain.
"Jika perlu, individu yang positif akan dipindahkan ke PKRC Dewan Wawasan Jitra manakala PPS khas turut disediakan bagi kontak rapat.
"Dua keluarga yang disahkan positif terbabit tidak akan bercampur dengan mangsa banjir lain bagi mengelak jangkitan," katanya.
Beliau ditemui selepas membuat lawatan dan menyerahkan sumbangan mangsa banjir di Kampung Sungai Petani dan Kampung dan Changkat Setoi di sini, hari ini.
Halimaton yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam berkata, pihaknya bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah membuat persediaan bagi memastikan mangsa banjir selesa di PPS.
Sementara itu, EXCO Kesihatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, berkata mangsa banjir di PPS akan diperiksa pasukan perubatan yang ditempatkan di pusat itu.
"Pemeriksaan dilakukan bagi memastikan kita dapat mengawal penularan COVID-19 ketika menghadapi banjir.
"Setakat ini, belum ada kes jangkitan membabitkan penularan di PPS di negeri ini," katanya.
Dua PKRC iaitu di Dewan Wawasan Jitra dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan (ILKKM) Kulim masih dibuka di Kedah bagi menempatkan pesakit COVID-19.