Pak Chot dan kawannya, Mail, merupakan bekas komando. Satu hari itu mereka berdua lalu Lebuhraya Karak dari Gombak ke Pahang sambil berbual di sepanjang perjalanan. Sampai di pertengahan lebuhraya, tiba-tiba mereka ternampak seorang lelaki berdiri di tepi sebuah kereta Proton Iswara sambil mengendong seorang bayi baru lahir, menahan kereta yang lalu lalu. Namun, tiada satu pun kereta yang mahu berhenti. Kasihan melihat keadaan lelaki itu seperti dilanda kesusahan, mereka pun berhenti untuk menghulurkan pertolongan.
"Ya Allah, terima kasih tuan kerana sudi berhenti. Dari tadi saya menahan kereta, tiada satu pun yang mahu berhenti. Saya Razak," kata lelaki itu memperkenalkan dirinya.
"Ya, kenapa dengan kereta? Rosak ke?" tanya Pak Chot.
"Bukan tuan, ceritanya tadi saya dalam perjalanan dari Gombak nak balik ke kampung. Hantar orang rumah (isteri) yang baru lepas bersalin, nak berpantang. Dia duduk depan ni, pegang baby. Semasa saya tengah memandu, tiba-tiba isteri saya menjerit-jerit menyuruh saya memberhentikan kereta. Saya pun berhentilah. Saya tengok mata isteri dah merah macam mata hantu. Dia terus campak baby ini pada saya dan berlari keluar dari kereta, terjun ke gaung di tepi lebuhraya ini," jelas Razak.
"Eh?! Kau ni biar betul?!" soal Mail.
"Betul tuan, saya tak tipu. Saya nak cari dia, tetapi baby ini macam mana?" ujar Razak.
Pak Chot kemudian meninjau-ninjau ke bawah gaung itu. Tidak lama kemudian, datang lagi sebuah kereta berhenti berhampiran mereka. Turun dua lelaki dan bertanya keberadaan mereka di situ. Razak sekali lagi menceritakan apa yang telah berlaku, membuatkan dua lelaki itu ingin membantunya.
Pak Chot dan dua lelaki yang dikenali sebagai Wan dan Edy turun ke bawah sementara hari masih terang di sekitar jam 3-4 petang sebelum waktu Asar. Mail dan Razak pula menunggu di tepi lebuh raya, sambil Mail mengendong bayi berkenaan. Pak Chot, Wan dan Edy meneruskan pencarian di bawah gaung. Puas mereka mencari, tetapi tidak menemui isteri Razak. Apabila mereka nak kembali ke tepi jalan, tiba-tiba jalan yang dilalui tadi tidak ditemui. Mereka berpusing-pusing di tempat yang sama. Hal itu membuatkan Wan dan Edy berpandangan seketika.
"Ah! Sudah!"
Pak Chot berdiri tegak dan mula melaungkan azan. Akhirnya mereka menemui jalan yang dilalui tadi. Disebabkan hari sudah semakin gelap, mereka tidak dapat meneruskan pencarian.
"Kita kena telefon pihak polis untuk minta bantuan," kata Pak Chot.
"Tolonglah tuan, buatlah apa yang patut. Saya dah buntu ni," kata Razak.
Pak Chot segera menghubungi polis dan menjelaskan keadaan yang mereka alami. Selang 15 minit kemudian, polis lebuhraya datang ke lokasi. Razak menceritakan lagi situasi yang sedang berlaku. Mendengar penjelasan itu, polis lebuhraya menghubungi pihaknya untuk meminta lebih ramai anggota yang datang membantu.
"Kau orang mana Razak?" tanya Pak Chot.
"Saya orang Tanjung Minyak, Melaka, tuan. Isteri saya orang Pahang. Tetapi saya bekerja di Selangor," jawab Razak.
"Ini baru seorang ke anak?" tanya Pak Chot lagi.
"Ini anak yang sulung. Dah lima tahun berkahwin, baru dapat anak tuan," kata Razak.
"Aku orang Melaka juga, orang Tangga Batu," kata Pak Chot.
"Rumah saya di belakang Balai Polis Tanjung Minyak. Sebut nama Pak Husin Sarjan, mesti orang kenal tuan. Ayah saya bekas sarjan polis bersara tuan," kata Razak lagi.
Anggota polis yang lain pun tiba bersama dengan anjing pengesan untuk mengesan isteri Razak. Mereka turun ke bawah dan mula mencari wanita baru bersalin itu. Dalam keadaan hari yang gelap menyukarkan usaha mencari walaupun ada lampu suluh dibawa bersama.
Tiba-tiba anjing-anjing pengesan yang dibawa menyalak seperti ternampak sesuatu dan berlari ke arah satu tempat. Para anggota polis mengekori anjing berkenaan lalu sampai di bawah sebatang pokok. Anjing berhenti menyalak dan memandang ke bahagian atas pokok. Mereka ternampak ada satu rangka manusia dalam pakaian baju kurung dan berkain batik. Lalu dihubungi Team Forensik. Penemuan mayat itu dimaklumkan kepada anggota polis yang menunggu di atas. Mereka mahu berjumpa dengan Razak. Pak Chot dan Mail, meminta diri untuk meneruskan perjalanan bagi menyelesaikan hal penting dan nak balik semula ke Melaka pada keesokan hari.
"Terima kasih tuan, sebab tolong saya. Saya nak minta tolong satu perkara lagi tuan, boleh?" soal Razak.
"Ya Razak, apa dia?" tanya Pak Chot.
"Boleh tuan tolong jumpa ayah saya dan beritahu berita ini? Dan sampaikan salam sayang saya kepada ayah saya," kata Razak.
"Oh, inshaAllah. Nanti saya sampaikan," kata Pak Chot.
Mereka pun meneruskan perjalanan. Selesai urusan kerja, mereka balik semula ke Melaka. Pada keesokan hari, Pak Chot pergi ke rumah Razak di belakang Balai Polis Tanjung Minyak.
"Assalamualaikum Pakcik. Nama pakcik, Husin Sarjan bapa kepada Razak ke?" tanya Pak Chot sambil menghulurkan tangan bersalam.
"Ya, ya. Kawan kepada arwah Razak ke?" tanya Pakcik itu.
Pak Chot dan Mail terkedu. Arwah Razak?"
"Tak baik cakap macam tu pakcik. Kami baru berjumpa dengan dia semalam. Elok je dia," balas Mail.
"Apa? Semalam kamu jumpa Razak? Di mana?" Pakcik Husin bertanya kembali.
Mereka pun menceritakan tentang apa yang berlaku semalam membuatkan Pakcik Husin tergamam.
"Memang Razak sudah meninggal dunia lima bulan lalu akibat kemalangan di Lebuhraya Karak. Keretanya terbabas dan masuk ke dalam gaung. Dia pada waktu itu dalam perjalanan balik ke kampung menghantar isteri dan bayinya yang baru lahir ke kampung untuk berpantang. Hanya Razak dan bayi dia sahaja yang dijumpai. tetapi mayat isterinya tidak dijumpai," cerita Pakcik Husin kepada mereka berdua.
Tidak lama selepas itu, Pakcik Husin mendapat panggilan dari Balai Polis Tanjung minyak yang meminta dia datang ke balai kerana ada maklumat yang hendak disampaikan. Mereka bertiga pergi ke balai dan apa yang berlaku semalam akhirnya terungkai. Memang rangka manusia yang ditemui polis semalam adalah rangka mayat isteri kepada arwah Razak yang tidak berjaya ditemui selama ini.
Pakcik Chot meminta diri dan sempat menyampaikan salam sayang dari arwah Razak kepada Pakcik Husin. Pakcik Husin juga mengucapkan terima kasih kepada mereka berdua yang sudi menolong anaknya walaupun tidak mengenali anaknya. Rupanya itu roh arwah Razak yang meminta pertolongan. Patutlah tiada kereta lain berhenti. Wan dan Edy berhenti kerana nampak Pak Chot dan Mail.
Sumber: Kasdilla Kasin
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
Macam biasa Tinot.. jawapan klise nye, 'insan terpilih'. Tapi tak dinafikan mmg ada perkara camni berlaku. Dalam hal-hal mistik, misteri camni.. saya lebih suka hal yang berkaitan dengan Precog. Lain macam je mimpi diorang dapat. Dalam board Tinot ada tak pasal Precog?
Tak juga, dalam realiti, US memang ada buat kajian pasal precog. Cuma takde la dibuatnya macam cite Tom Kuyus tu. Hahahahaha! Jadahnya direndam dalam air 24 jam. Tak berkedut ke kulit dak2 precog tu.
sebenarnya "roh" tu nak mintak tolong carikan mayat isteri dia yg tak dijumpai tu kot...
kalau la pokcik 2 orang tu tak terjumpa memang sampai ke sudah la rangka tu tersangkut di situ..
kes kemalangan tu pun dah ditutup kot....
Seram juga.. tapi roh razak tu cite dekat mereka2 tu yg isteri dia tetiba bermata marah dan terjun gaung tu mungkin punca mereka eksiden. BetulkaH ramalan aku?
Razak sekali lagi menceritakan apa yang telah berlaku, membuatkan dua lelaki itu ingin membantunya.
Razak menceritakan lagi situasi yang sedang berlaku. Mendengar penjelasan itu, polis lebuhraya menghubungi pihaknya untuk meminta lebih ramai anggota yang datang membantu.
Bukan Pak Chot jer yg nampak kan?
2 org lagi yg dtg lepas Pak Chot tu pun nampak. Polis2 tu pun nampak jugak. Siap boleh bercerita lagi...