|
Kerusi maut
Sebuah perkampungan kecil di Thirsk, dalam daerah North Yorkshire, England, ada sebuah muzium yang menempatkan pelbagai barangan lama. Salah satu barang terkenal dalam pameran muzium ini adalah sebuah kerusi antik.
Kerusi tersebut digantung tinggi di atas dinding. Tujuannya untuk menghalang pengunjung daripada duduk di atas kerusi tersebut. Lagenda menceritakan bahawa sudah ramai yang mati setelah duduk di kerusi itu.
Permintaan terakhir
Kisah kerusi sumpahan ini bermula pada tahun 1702. Seorang lelaki bernama Thomas Busby, dijatuhkan hukuman mati kerana telah membunuh bapa mentuanya, Daniel Auty dalam satu pertengkaran.
Sewaktu dalam perjalanan ke tempat hukuman, Busby diberikan satu permintaan terakhir. Lalu dia meminta untuk berhenti di sebuah pub yang menjadi tempat kegemarannya. Busby duduk di atas kerusi kesukaannya di situ sambil menikmati minuman terakhir.
Busby sempat menyumpah bahawa sesiapa yang berani duduk di atas ‘kerusinya’ itu, kematian akan memburu mereka. Dia dikenakan hukuman gantung sejurus selepas itu.
Selepas kematiannya, pub tersebut dikenali dengan nama Busby Stoop Inn yang diambil sempena nama Thomas Busby. Ketika itu, tiada siapa pun yang mengambil serius tentang sumpahan yang telah diucapkan oleh Thomas. Namun sebagai tanda menghormati si mati, mereka mengambil keputusan untuk tidak duduk di kerusi tersebut.
Sumpahan Busby
Sewaktu Perang Dunia Kedua, terdapat sebuah kem tentera udara yang terletak berhadapan dengan pub tersebut. Kebanyakan tentera yang datang dan minum di pub itu tidak berani untuk duduk di atas kerusi ‘berhantu’ itu. Ini kerana beberapa orang daripada tentera yang pernah duduk di situ akhirnya tewas di medan peperangan.
Pada tahun 1967, dua orang juruterbang tentera udara diraja yang duduk di kerusi itu menemui ajal apabila kereta mereka terlibat dalam kemalangan sewaktu dalam perjalanan pulang dari pub tersebut.
Antara mangsa lain termasuklah seorang pembersih corong asap yang ditemui mati tergantung keesokan harinya selepas duduk di atas kerusi tersebut.
Tak Percaya
Kemudian pada tahun 1968, Tony Earnshow mengambil alih pub tersebut. Dia yang langsung tidak percaya kepada legenda karut ini dan tidak mengendahkan cerita yang didengarinya daripada penduduk setempat berkaitan kerusi sumpahan itu.
Tetapi, beberapa kejadian yang disaksikannya mengubah pendirian lelaki tersebut.
Dia pada mulanya mendengar dua orang jejaka yang saling mencabar sesama sendiri untuk duduk di atas kerusi malang itu. Akhirnya, kedua-dua mereka terlibat dalam kemalangan apabila kereta yang dinaiki melanggar sebatang pokok. Kedua-dua lelaki yang duduk di kerusi itu meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
Tony juga menyaksikan bagaimana sekumpulan buruh binaan yang datang ke pub itu mencabar seorang buruh muda untuk duduk di atas kerusi itu. Tidak lama kemudian, pemuda tersebut mati setelah jatuh dari atap yang sedang dibaikinya.
Melihat keadaan itu, Tony menjadi takut lalu segera mengalihkan kerusi itu ke bilik bawah tanah. Dia tidak mahu ada orang lain terus menjadi korban.
Tanpa Sengaja
Tahun 1978, seorang penghantar bir yang kebetulan sedang mengalihkan stok ke bilik bawah tanah secara tidak sengaja duduk di atas kerusi itu untuk melepaskan penat.
Dia memberitahu Tony betapa selesanya kerusi itu. Malangnya, dia terbunuh dalam kemalangan hanya beberapa jam setelah meninggalkan pub tersebut.
Tidak tahan terus melihat orang tidak bersalah mati angkara kerusi berhantu itu, Tony bertindak menyerahkan kerusi tersebut kepada muzium Thirsk dengan syarat, sesiapa pun tidak dibenarkan untuk duduk di atasnya.
Kerana itu, sejak 30 tahun yang lalu, pihak muzium telah menggantung kerusi tersebut di dinding supaya tiada sesiapa yang akan mendudukinya lagi.
SUMBER:https://penunggu.com/lagenda-urban/kerusi-maut/
|
|
|
|
|
|
|
| |
|