LANGKAWI: Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negara ini bakal menjadi kediaman canggih apabila kerajaan merangka inisiatif memasang kabel gentian optik terus ke rumah di penempatan itu.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, inisiatif perintis bagi projek itu berjaya dilaksanakan di dua PPR baharu di pulau ini.
"Sebanyak 1,000 rumah PPR hampir siap di pulau ini dilengkapi kabel gentian optik, sekali gus muncul PPR pertama di negara ini mempunyai kemudahan canggih itu.
"Kita akan menjadikan PPR di Langkawi sebagai model untuk dilaksanakan di tempat lain," katanya pada sidang media selepas meninjau PPR Anggerik Lestari di Kuah di sini, hari ini.
Reezal Merican berkata, pelaksanaan inisiatif itu membolehkan penghuni menikmati kemudahan internet lebih laju memenuhi keperluan asas semasa.
Katanya, kementerian akan melihat semua 154 projek PPR dan ada antaranya diserahkan kepada kerajaan negeri untuk membolehkan pemasangan wayar dilaksanakan.
"Ada projek PPR yang kita pasang 'hotspot' menerusi program Jalinan Digital Negara (JENDELA) PPR," katanya.
Beliau berkata, kemudahan terbabit diyakini mampu memberi tahap daya huni lebih tinggi kepada penghuni PPR yang rata-ratanya mewakili golongan B40 mencari rezeki dengan berniaga secara dalam talian.
Terdahulu, Reezal Merican meninjau Loji Rawatan Termal (Insinerator) di Kampung Belanga Pechah yang selesai proses pembaikan dan bakal beroperasi semula bulan depan.
Beliau berkata, loji berkeluasan 12.73 hektar yang turut dilengkapi Rawatan Air Larut Resap (LTP) itu mampu mengendalikan 80 tan sampah sehari.