|
RITA amat menjaga ‘privasi’ untuk kisah cintanya.
SETIAP pasangan bercinta mahupun sudah bergelar suami isteri mempunyai impian inginkan kebahagian. Namun, untuk memilikinya tidak mudah sekiranya sesama pasangan tiada persefahaman.
Berbicara mengenai hubungan cinta, penyanyi lagu Hot Right Now, Rita Ora yang kini menjalin asmara dengan pengarah Hollywood, Taika Waititi mengakui dia juga mengimpikan sebuah keluarga bahagia.
Rita berkata, dia berharap impiannya untuk memiliki anak yang ramai tercapai satu hari nanti kerana baginya kehadiran cahaya mata juga lambang kebahagiaan.
Bagaimanapun, dia juga enggan memberi sebarang tekanan kepada dirinya untuk membina sebuah keluarga dalam tempoh singkat kerana memerlukan persediaan rapi.
"Saya impikan sebuah keluarga yang besar dan bahagia. Sebagai wanita, kita ada kalanya suka memberi tekanan kepada diri sendiri apabila bercakap soal kehidupan.
"Mungkin ia sudah menjadi lumrah kepada mana-mana wanita untuk mempunyai keinginan membina sebuah keluarga dan kehidupan. Tapi, saya cuba untuk tidak rasa tertekan mengenai hal ini.
"Saya hanya berharap mampu mencapai impian ini (berkahwin) suatu hari nanti dan seterusnya dapat membina sebuah keluarga yang bahagia itu,"katanya.
Terdahulu, pelakon dan penyanyi berusia 31 tahun berkenaan didakwa kini hangat menjalin hubungan cinta dengan pengarah kelahiran New Zealand itu pada awal tahun ini.
Rita juga dilaporkan sudah membawa Waititi bertemu keluarganya di London, sekali gus menguatkan lagi khabar angin mengenai hubungan cinta yang terjalin antara mereka.
Bercerita mengenai kisah cintanya dengan Waititi, Rita menegaskan dia lebih selesa untuk tidak berkongsi secara terperinci kerana mahu menjaga privasi.
"Saya mahu melindungi sesuatu yang saya sangat hargai seperti ikatan perhubungan. Bagi saya mahu kisah peribadi diri tidak perlu terlalu dibuka dan dikongsikan kepada umum.
"Saya tidak gemar berkongsi kisah peribadi secara berlebih-lebihan dan cukup sedikit saja. Ini kerana, ada baiknya saya simpan sendiri kisah cinta itu dan mahu melindunginya," katanya.
Mengenai kariernya, Rita berkata, dia mempunyai perancangan tersendiri dalam nyanyian dan lakonan. Malah, katanya dia gembira kerana kemunculan mendapat maklum balas yang baik daripada peminat.
"Saya sangat terharu dengan sokongan diterima. Saya mahu ucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong dan menerima hasil kerja seni saya. Terima kasih dan saya amat hargai," katanya.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|